Baru-baru ini, isu mengenai pengabaian dan pembuangan haiwan peliharaan menarik perhatian ramai. BERITA HARIAN mewawancara beberapa kumpulan kebajikan haiwan mengenai usaha mereka memupuk kesedaran mengenai isu pengabaian, serta usaha menyokong pemilik untuk mengekalkan haiwan peliharaan mereka.
Sejak aturan lesen bela kucing di bawah Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) bermula pada 1 September, terdapat ramai pemilik kucing yang berasa risau dan ada juga yang telah melepaskan kucing-kucing peliharaan kerana takut didenda atau tidak mampu menampung kos, kata Cik Amy Sim, pengasas Trap Neuter Release (TNR) sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan.
Cik Amy Sim sering mencari kucing-kucing terbiar di kawasan perumahan dan perindustrian dan memastikan mereka dikembiri untuk mengawal pembiakan dan masalah kucing terbiar.
Beliau mengumpul dana dan mendapatkan bantuan penyokong lain.
“Kami perlu menyebarkan mesej kepada empunya kucing supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan kesayangan mereka.
“Jika tidak mampu jaga, lebih baik kembirikan kucing anda. Lagipun, kucing yang telah dikembiri dapat hidup lebih lama, dan kurang berpenyakit,” ujar Cik Sim.
Kenyataan bersama AVS dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah memberi jaminan kepada pemilik bahawa mereka yang mempunyai lebih dua kucing masih boleh menyimpan kucing-kucing mereka, asalkan ia dipasang mikrocip dan berada dalam keadaan baik dan terkawal.
“Permohonan untuk pelesenan kucing bermula dari September 2024, tetapi tempoh peralihan adalah hingga 31 Ogos 2026. Pemilik kucing ada banyak masa lagi untuk membuat perancangan bagi kucing-kucing yang sedia ada.
“Mereka yang mempunyai lebih daripada dua kucing tidak perlu risau, kerana aturan itu hanya akan menjejas mereka yang ingin menyimpan kucing dari 31 Ogos 2026 sahaja,” kata kenyataan tersebut.
Walaupun begitu, ramai juga pemilik kucing khuatir tidak mampu mengembirikan kucing-kucing mereka kerana kosnya terlalu tinggi dan mereka mempunyai terlalu banyak kucing.
Salah seorang pemilik kucing yang terasa tersepit ialah Cik Norliah Mustakim, 56 tahun, yang memiliki 14 kucing.
“Pada awalnya saya mempunyai hanya dua kucing yang saya beli pada 2016, tetapi lama kelamaan, kucing saya membiak dan sekarang saya mempunyai 14 kucing.
“Ada yang telah kami berikan kepada orang. Tetapi saya belum bersedia untuk berpisah dengan kucing saya, kerana saya yang menjaga mereka sejak mereka lahir,” kata Cik Norliah.
Menurut Cik Norliah, kos penjagaan kucing sangat tinggi dan beliau membelanjakan sekurang-kurangnya $400 untuk makanannya saja.
“Kos makanan tiap bulan dalam $400, belum termasuk kos jika perlu pergi ke doktor haiwan. Paling mahal saya pernah bayar ialah $2,000 untuk seekor kucing saya yang mengalami kencing tersumbat dan perlu menginap di hospital haiwan,” kata Cik Norliah, yang pada awal Oktober mempunyai lima kucing yang belum dikembiri.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Thenuga Vijakumar, presiden Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), menggalakkan keluarga berpendapatan rendah mendapatkan bantuan bagi kucing-kucing mereka.
Pemilik kucing yang mempunyai kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru atau jingga, boleh memohon khidmat mengembiri kucing secara percuma.
“Kami berpendapat jika keluarga itu susah, secara langsung mereka memerlukan bantuan.
“Justeru pihak kami mengambil kira kad Chas, sebagai sistem untuk menapis permohonan dan menyediakan bantuan untuk keluarga yang mempunyai kucing dan perlukan khidmat kami,” terang Cik Thenuga.
Cik Norliah, yang tinggal di rumah flat dua bilik di Punggol Northshore, adalah antara penerima bantuan untuk kelima-lima kucingnya yang telah pun dikembirikan dan dipasang mikrocip.
Kos pengangkutan untuk kucing-kucingnya juga dibiayai oleh CWS.
“Ini amat membantu saya, kerana selain kos berjumpa doktor haiwan, saya juga ada masalah pengangkutan untuk kucing-kucing saya, jadi saya amat bersyukur mendapat bantuan untuk kucing-kucing saya…” tambah Cik Norliah.
CWS memberi perhatian kepada kebajikan kucing dalam dua program yang didukungnya.
Pertama ialah Program Kembiri Kucing Komuniti iaitu proses memerangkap-kembiri-kembalikan.
CWS membayar sebahagian besar kos itu dengan subsidi separa daripada AVS.
Kedua ialah Program Kembiri Kucing Peliharaan, yang merupakan program intervensi awal untuk membantu keluarga yang mengalami masalah kewangan mengembiri kucing mereka supaya dapat mengelakkan lebihan penduduk di rumah, dengan itu mengurangkan risiko kucing terbiar.
Bagi pemilik kucing, Encik Murad Ismail, 43 tahun, yang telah mengembirikan dua kucing peliharaannya, beliau belum lagi ingin memasang mikrocip buat waktu ini.
“Saya pun tak tahu berapa lama lagi mereka akan hidup, jadi saya tidak mahu menambah stres kepada mereka,” katanya.
“
Kami berpendapat jika keluarga itu susah, secara langsung mereka memerlukan bantuan. Justeru pihak kami mengambil kira kad Chas, sebagai sistem untuk menapis permohonan dan menyediakan bantuan untuk keluarga yang mempunyai kucing dan perlukan khidmat kami.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg