Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) baru-baru ini melancarkan kempen kesedaran mengenai pengabaian dan pembuangan haiwan peliharaan menerusi satu papan iklan di Yishun.
Papan iklan itu memaparkan seekor kucing yang diletakkan di atas katil di antara beberapa patung beruang.
Papan iklan yang ditukar setiap hari, akan menunjukkan keadaan kucing itu yang memburuk.
Pada hari ketujuh, kucing itu hilang sama sekali
Kempen itu menjadi tular selepas SPCA memuat naik video mengenai kempen tersebut di media sosial mereka, yang telah mempunyai lebih 1,000 ‘like’ setakat ini.
Dengan kerjasama agensi pengiklanan Leo Burnett Singapore, kempen itu bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat terhadap masalah pengabaian dan pembuangan haiwan peliharaan yang semakin berleluasa.
Menurut Pengarah Eksekutif SPCA, Cik Aarthi Sankar, SPCA telah memerhatikan peningkatan dalam kes pengabaian dan pembuangan haiwan peliharaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau memberitahu Berita Harian (BH) terdapat peningkatan dalam jumlah kes tersebut walaupun terdapat peningkatan dalam liputan media tentang masalah pada masa yang sama.
“Kami memutuskan untuk melancarkan kempen yang melangkaui bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran, bahkan juga kami mahu memacu tindakan.
“Memandangkan kempen ini perlu dilaksanakan tanpa meletakkan haiwan dalam keadaan menderita, kami ingin menggambarkan kemerosotan keadaan haiwan peliharaan yang diabaikan secara beransur-ansur di papan iklan,” jelas Cik Aarthi.
Statistik daripada SPCA menunjukkan bahawa kes pembuangan haiwan peliharaan semakin meningkat, dengan sebanyak 102 kes dari Januari hingga September 2024 dilaporkan kepada SPCA.
Sebanyak 56 kes sedemikian dilaporkan pada 2020, 49 kes pada 2021, 62 kes pada 2022 dan 137 kes pada 2023.
Bagi kes di mana kebajikan haiwan peliharaan terjejas pula, SPCA mendedahkan bahawa terdapat sebanyak 590 kes dilaporkan dari Januari hingga September 2024.
Sebanyak 319 kes sedemikian dilaporkan pada 2020, 211 kes pada 2021, 319 kes pada 2022, dan 558 kes pada 2023.
Kebajikan haiwan yang terjejas termasuk keadaan hidup yang buruk, masalah kesihatan yang tidak dirawat, meninggalkan haiwan peliharaan tanpa pengawasan dan membenarkan haiwan peliharaan berkeliaran di luar rumah, antara lain.
Menurut Cik Aarthi, kempen tersebut dilancarkan di kawasan Yishun setelah mempertimbangkan lokasi-lokasi yang mempunyai insiden maklum balas berkaitan haiwan yang lebih tinggi.
Beliau mendedahkan bahawa sebanyak 93 peratus daripada orang awam yang lalu-lalang tidak menyedari kemerosotan keadaan kucing di papan iklan itu.
“Kami berharap orang ramai akan menyedari betapa mudahnya untuk gagal mengesan pengabaian haiwan peliharaan tidak kira di rumah mereka sendiri atau di rumah jiran, dan untuk lebih menyesuaikan diri dengan keperluan haiwan peliharaan mereka.
“Tetapi kami juga terharu kerana 7 peratus orang yang lalu-lalang di hadapan papan iklan itu berjaya memerhatikan pengabaian (kucing itu).
“Untuk golongan 7 peratus itu, kami berharap kesedaran itu akan memperkasakan mereka untuk bertindak dan menyebarkan maklumat… agar lebih ramai orang peduli tentang kebajikan haiwan,” ujar Cik Aarthi.
Sebagai langkah seterusnya, SPCA menyediakan laman web yang menawarkan tip penjagaan haiwan peliharaan bagi pemilik yang ingin memastikan mereka memenuhi keperluan haiwan mereka.
Tambah Cik Aarthi, bau najis atau air kencing yang kuat dari sesebuah rumah mungkin menjadi petunjuk untuk kes pengabaian haiwan peliharaan.
“Jika kita tahu jiran kita punya haiwan peliharaan di rumah tetapi unit mereka tidak berpenghuni untuk beberapa hari, ini boleh menimbulkan kebimbangan.
“Kempen-kempen akan datang bakal ditentukan berdasarkan isu-isu semasa mengenai kebajikan haiwan.
“SPCA sentiasa memantau landskap kebajikan haiwan di Singapura untuk mengenal pasti trend yang memerlukan tindakan,” kongsi Cik Aarthi.
SPCA menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang kes pengabaian atau pembuangan haiwan peliharaan melalui talian kecemasan 24 jam di 6287 5355 sambungan 9.
“
“Kami berharap orang ramai akan menyedari betapa mudahnya untuk gagal mengesan pengabaian haiwan peliharaan tidak kira di rumah mereka sendiri atau di rumah jiran, dan untuk lebih menyesuaikan diri dengan keperluan haiwan peliharaan mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg