Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kos khidmat bas ulang-alik Marine Parade cecah $1j setahun

Aug 7, 2024 | 5:49 PM
Khidmat bas ulang-alik yang ditawarkan kepada penduduk di GRC  Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat dan tidak termasuk hari cuti.
Khidmat bas ulang-alik yang ditawarkan kepada penduduk di GRC Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat dan tidak termasuk hari cuti. - Foto ST

Khidmat bas ulang-alik percuma yang ditawarkan kepada penduduk GRC Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten sejak tiga minggu lalu merupakan sebuah projek masyarakat tempatan yang menelan belanja sekitar $1 juta untuk beroperasi setiap tahun.

Kos ini, antara lain, dibiayai menerusi sokongan modal awal sekali sahaja sebanyak $200,000 oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.

Menjawab soalan berhubung khidmat bas itu di sidang Parlimen pada 7 Ogos, Encik Tan menambah, khidmat perintis itu disediakan bagi melengkapi khidmat pengangkutan awam sedia ada.

Ia juga berdasarkan maklum balas penduduk warga emas yang mendapati “lebih mencabar secara jasmani untuk berjalan ke pelbagai pusat pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pusat masyarakat”.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) parti pembangkang telah memfailkan soalan berkaitan khidmat bas itu, termasuk mengenai perbelanjaan dan kos pendanaan.

Antaranya, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), telah bertanya tentang kos keseluruhan khidmat bas tersebut dan sumber pendanaan bagi perbelanjaannya.

Encik Tan dalam jawapannya berkata peruntukan modal awal sekali sahaja sebanyak $200,000 itu adalah menerusi geran pemadanan yang disediakan pemerintah untuk setiap CDC.

“Pada dasarnya, pemerintah memadankan derma yang dikumpulkan CDC dengan geran yang boleh digunakan CDC untuk menyokong daya usaha masyarakat dalam usaha mereka memupuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan melibatkan semua.

“Jumlah selebihnya diperolehi daripada derma yang dikumpul CDC, serta badan akar umbi masing-masing,” kata beliau.

Khidmat bas ulang-alik perintis itu, yang bermula pada 8 Julai 2024, beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk hari cuti, dan menghubungkan penduduk yang tinggal di GRC Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten ke kemudahan seperti stesen MRT, poliklinik dan pusat penjaja.

Encik Tan berkata kos keseluruhan bagi khidmat perintis selama setahun itu berjumlah sekitar $150,000 bagi setiap divisyen untuk setiap laluan.

Geran CDC South East yang diberi itu berjumlah sekitar $2,400 bagi setiap divisyen, setiap bulan.

Sejak tiga minggu lalu, sekitar 1,000 penduduk telah memanfaatkan khidmat bas ulang-alik itu setiap minggu. Lebih 10,000 penduduk telah berdaftar bagi khidmat bas ulang-alik itu, dengan lebih 40 peratus daripadanya merupakan warga emas berusia 65 tahun ke atas, sejauh ini.

Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan. - Foto MDDI

Encik Tan berkata adalah terlalu awal untuk menilai sama ada khidmat itu berkesan atau tidak.

Beliau menambah, selain kadar penggunaan, kemampanan kewangan merupakan faktor penting dalam penyediaan khidmat itu.

“Oleh sebab geran CDC disediakan berdasarkan sekali sahaja, badan-badan akar umbi bagi Kelompok Bandar Marine Parade perlu mengumpulkan wang untuk membiayai kos keseluruhan operasi atau memperhalusi model pembiayaannya bagi kemampanan lebih luas,” kata beliau.

Dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, telah bertanya sama ada pendanaan boleh disediakan kepada kawasan undi lain, dan jika sumber boleh disediakan untuk melancarkan khidmat bas ulang-alik percuma di kawasan lain.

Encik Tan berkata banyak percubaan khidmat bas ulang-alik tempatan sebelum ini telah dihentikan disebabkan kadar penggunaan yang rendah atau cabaran kewangan.

“Oleh itu, masih terdapat pelbagai aspek perkhidmatan untuk disahkan dan diperhalusi melalui usaha perintis ini. CDC lain akan mengkaji pengalaman dan dapatan projek perintis ini terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan untuk memulakan inisiatif yang serupa,” kata beliau.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied).
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied). - Foto MDDI

Dalam soalan susulan para AP, Encik Pritam antaranya, telah bertanya apakah khidmat bas ulang-alik di Marine Parade itu membuka pintu kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memperkenalkan khidmat serupa di kawasan lain melalui sistem pengangkutan awam.

Sekiranya tidak, beliau mempersoalkan apakah yang ditunjukkan menerusi pelancaran khidmat bas di Marine Parade itu tentang pendekatan pemerintah terhadap kesaksamaan dan keadilan dalam menggunakan geran yang dibiayai pembayar cukai untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura.

Menjawab, Encik Tan berkata khidmat bas itu adalah inisiatif masyarakat yang serupa dengan inisiatif kemasyarakatan lain yang disokong CDC. Contohnya, CDC menyokong pelbagai inisiatif masyarakat seperti pasar masyarakat, melalui geran, namun sebahagiannya juga dibiayai oleh pihak lain seperti badan akar umbi dan penderma.

Pada masa yang sama, beliau berkata tujuan khidmat bas itu adalah untuk memberikan kemudahan tambahan kepada penduduk.

“Seperti saya katakan dalam jawapan asal saya, adalah amat mencabar untuk dikekalkan disebabkan kadar penggunaan dan juga kemampanan kewangan… Bagi usaha perintis ini, CDC akan menyemak selepas setahun, dan menentukan sama ada ia berkesan, dan kemudian kami akan mempertimbangkan sama ada ia sesuai bagi divisyen tersebut,” kata beliau.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata khidmat bas ulang-alik itu satu daya usaha masyarakat. Oleh itu, ia dijalankan secara berasingan daripada rangkaian pengangkutan awam.

Encik Pritam telah memohon Timbalan Speaker, Encik Christopher de Souza, untuk melanjutkan masa perbahasan selama 15 hingga 20 minit lagi, namun permohonannya ditolak kerana tempoh masa bagi soalan Parlimen sudah pun melebihi lima minit.

“Peruntukan modal awal sekali sahaja sebanyak $200,000 itu adalah menerusi geran pemadanan yang disediakan pemerintah untuk setiap CDC. Pada dasarnya, pemerintah memadankan derma yang dikumpulkan CDC dengan geran, yang boleh digunakan CDC untuk menyokong daya usaha masyarakat dalam usaha mereka memupuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan melibatkan semua. Jumlah selebihnya diperolehi daripada derma yang dikumpul CDC, serta badan akar umbi masing-masing.”
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.

“Dengan penduduk warga emas yang semakin tumbuh di Singapura, di mana satu daripada empat warga Singapura akan mencapai usia 65 tahun ke atas menjelang 2030, apakah khidmat bas kelompok Marine Parade ini membuka pintu bagi LTA memperkenalkan khidmat kelompok serupa di tempat lain di Singapura melalui sistem pengangkutan awam? Jika tidak, apakah yang ditunjukkan oleh pelancaran khidmat bas kelompok Marine Parade ini tentang pendekatan pemerintah terhadap kesaksamaan dan keadilan dalam menggunakan geran dibiayai pembayar cukai untuk berkhidmat kepada warga Singapura?”
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg