Ibu bapa yang mempunyai anak warga Singapura kini berbelanja kurang bagi prasekolah mereka berbanding lima tahun lalu, menurut statistik yang dikongsi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam Laporan Trend Keluarga sulungnya.
Yuran penjagaan bayi median bagi kanak-kanak warga Singapura turun sedikit daripada $1,275 pada 2019 kepada $1,235 pada 2023, manakala yuran penjagaan kanak-kanak median berkurangan daripada $800 kepada $720 dalam tempoh sama.
Yuran tersebut adalah bagi prasekolah di bawah skim pengendali utama (AOP) dan rakan kongsi (POP), yang menerima pembiayaan daripada pemerintah untuk mengekalkan yuran mereka pada had tertentu bagi memastikan kemampuan.
Ini bermakna isi rumah berpendapatan median yang anaknya menyertai pusat penjagaan bayi seluruh hari kendalian AOP membelanjakan 5.9 peratus daripada pendapatan isi rumahnya bagi prasekolah pada 2023, berbanding 7.5 peratus pada 2019.
Isi rumah berpendapatan median yang anaknya menyertai pusat penjagaan kanak-kanak seluruh hari kendalian AOP pula membelanjakan 3.1 peratus daripada pendapatan isi rumahnya bagi prasekolah pada 2023, berbanding 4.6 peratus pada 2019.
Dalam pada itu, jumlah tempat penjagaan kanak-kanak seluruh hari meningkat lebih seganda daripada 96,340 pada 2013 kepada 194,972 pada 2023.
MSF dalam laporannya juga berkata dengan lebih banyak keluarga mempunyai suami dan isteri bekerja serta mempunyai pemahaman lebih tinggi tentang kepentingan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, kadar kemasukan kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun ke prasekolah naik daripada 75 peratus pada 2013 kepada 90 peratus pada 2023.
Kadar kemasukan kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun ke prasekolah juga meningkat sepanjang 10 tahun lalu dan kekal tinggi pada 95 peratus pada 2023.
Sementara itu, lebih ramai kanak-kanak berkeperluan pembangunan juga menerima sokongan lebih tepat pada masanya.
Kanak-kanak ini lazimnya tidak mencapai pencapaian perkembangan, misalnya, dalam aspek pertuturan, pemikiran, sosialemosi atau fizikal.
Contoh keperluan perkembangan mereka termasuk kelewatan pertuturan dan bahasa, kelewatan perkembangan global dan gangguan spektrum autisme.
Jumlah kanak-kanak sedemikian yang mengikuti program campur tangan awal meningkat lebih seganda, daripada 3,824 pada 2015 kepada 9,850 pada 2023.
Pada 2023, kapasiti Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-kanak (Eipic) dan pengendali persendiriannya bertambah 1,100 tempat, iaitu peningkatan 26 peratus daripada 2022.
Eipic menyokong kanak-kanak berkeperluan perkembangan, seperti autisme dan kelewatan perkembangan bahasa.
Semasa pelancaran Laporan Trend Keluarga itu pada Acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 15 Julai, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata data yang terkumpul menggalakkan.
“Trend ini patut dirai, kerana ini bermakna lebih ramai kanak-kanak membesar dengan sokongan dan bimbingan yang mereka perlukan daripada ibu bapa mereka, walaupun kedua-dua ibu bapa bekerja,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg