Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan MSF: Ikatan, daya tahan keluarga S’pura kuat

Jul 15, 2024 | 6:14 PM
Majoriti keluarga yang ditinjau Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) didapati mempunyai ketahanan keluarga sederhana hingga tinggi yang bererti mereka akan dapat bangkit daripada cabaran bersama-sama sebagai sebuah keluarga.
Majoriti keluarga yang ditinjau Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) didapati mempunyai ketahanan keluarga sederhana hingga tinggi yang bererti mereka akan dapat bangkit daripada cabaran bersama-sama sebagai sebuah keluarga. - Foto ST

Kebanyakan warga Singapura berasakan keluarga mereka kuat dan berdaya tahan.

Ini berdasarkan tinjauan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) ke atas keluarga di sini pada 2023.

Tinjauan yang melibatkan 2,000 keluarga itu mendapati 85.9 peratus keluarga melaporkan skor ketahanan keluarga sederhana hingga tinggi, dan 25.1 peratus daripada keluarga melaporkan skor ketahanan keluarga yang tinggi.

Ini bererti keluarga sedemikian secara amnya akan dapat bangkit daripada cabaran bersama-sama sebagai sebuah keluarga.

Mereka telah melakukan Soal Selidik Ketahanan Keluarga Walsh (Walsh Family Resilience Questionnaire).

Keluarga yang mendapat skor 3 ke atas daripada keseluruhan 5 dalam soal selidik itu dianggap mempunyai daya tahan sederhana hingga tinggi, sementara mereka yang mempunyai ketahanan tinggi mendapat skor 4 ke atas.

Daripada tiga hal utama yang mendasari skor daya tahan keseluruhan, keluarga yang mempunyai daya tahan keluarga sederhana hingga tinggi mendapat skor tertinggi dalam domain komunikasi dan penyelesaian masalah (skor sederhana 3.83), diikuti oleh domain sistem kepercayaan keluarga (3.80) dan corak organisasi (3.74).

Komunikasi dan penyelesaian masalah merujuk kepada keupayaan mendekati kesukaran dengan jelas, menyokong satu sama lain dan meluahkan emosi secara terbuka.

Sistem kepercayaan keluarga merujuk kepada keupayaan mencari hikmah di sebalik kesusahan dan mengekalkan pandangan positif.

Corak organisasi pula merujuk keupayaan untuk mengekalkan fleksibiliti, keterkaitan dan memanfaatkan sumber sosial dan ekonomi.

Majoriti responden dalam tinjauan itu, atau 86 peratus, juga melaporkan mempunyai keluarga yang rapat dan 67.5 peratus mengekalkan hubungan rapat dengan anggota keluarga di luar keluarga terdekat mereka.

Tinjauan MSF itu juga mendapati keluarga kekal barisan pertama sokongan bagi majoriti warga emas.

Sebanyak 82.5 peratus responden berusia 65 tahun ke atas menyatakan mereka akan merujuk kepada keluarga untuk mendapatkan bantuan apabila mereka memerlukan sokongan fizikal seperti penjagaan atau apabila perlu melakukan sesuatu.

Pada masa yang sama, majoriti atau 93.1 peratus responden berusia 15 hingga 64 tahun pula bersetuju adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa mereka.

Memuji perangkaan yang menggalakkan itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

“Saban tahun, dalam pelbagai portfolio yang saya pegang, saya dapat melihat kepentingan keluarga, sama ada dalam meletakkan asas yang kukuh untuk kesihatan dan kesejahteraan pada tahun-tahun awal atau membantu bekas pesalah berubah.

“Saya gembira majoriti warga Singapura menghargai keluarga, dengan hampir sembilan dalam 10 responden dalam tinjauan MSF baru-baru ini setuju bahawa keluarga yang kukuh ialah kunci kepada masyarakat yang utuh dan kohesif.”

Encik Masagos telah menyertai Majlis Keluarga Sepanjang Hayat sebagai tetamu terhormat di Acara Penghargaan Pesta Keluarga Nasional, yang diadakan di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 15 Julai.

Antara dapatan Laporan Trend Keluarga

1) Perkahwinan & perceraian

– Jumlah perkahwinan pada 2023 turun 3.7% berbanding 2022

– Kadar perkahwinan yang terbubar sebelum ulang tahun ke-10 merosot daripada 17% bagi kohort perkahwinan 2005 ke 15.3% bagi kohort perkahwinan 2012

2) Tahun awal kanak-kanak

– Lebih ramai bapa terlibat dalam penjagaan anak; 53% bapa ambil cuti bapa pada 2021 berbanding 47% pada 2016

– Kadar kemasukan prasekolah kohort kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun naik daripada 75% pada 2013 kepada 90% pada 2023

– Bilangan kanak-kanak dengan keperluan pembangunan yang terlibat dalam program campur tangan awal naik seganda dari 3,824 pada 2015 ke 9,850 pada 2023

3) Hubungan keluarga

– 85.9 peratus keluarga melaporkan skor ketahanan keluarga sederhana hingga tinggi

– 93.1 peratus responden setuju adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa

“Saya gembira majoriti warga Singapura menghargai keluarga, dengan hampir sembilan dalam 10 responden dalam tinjauan MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) baru-baru ini setuju bahawa keluarga yang kukuh ialah kunci kepada masyarakat yang utuh dan kohesif.”
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg