Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kosmetik pun perlu sijil halal?

Nov 22, 2024 | 3:55 PM
Indonesia mempunyai undang-undang yang mewajibkan pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman seperti kosmetik.
Indonesia mempunyai undang-undang yang mewajibkan pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman seperti kosmetik. - Foto PIXABAY

Produk bukan makanan dan minuman seperti kosmetik dan berus gigi mungkin diperbuat menggunakan produk sampingan daripada sumber tidak halal.

Justeru itulah sebabnya ada badan menyediakan pensijilan halal bagi produk sedemikian.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga ketua perunding cara SuChi Success Initiatives dan SuChi Halal Consultants, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, berkata umat Islam di seluruh dunia semakin sedar babi, contohnya, mempunyai pelbagai produk sampingan dan ia tidak terhad pada makanan dan minuman.

“Meskipun pendapat dalam kalangan empat mazhab utama berbeza-beza mengenai keizinan menyentuh, memakai atau menggunakan produk sampingan babi, seperti kulit, tulang dan bulu, secara umumnya masih terdapat rasa jijik terhadap babi dan produk yang berkaitan dengan babi yang dianggap ‘tidak halal’ digunakan.

“Contoh produk sedemikian termasuk berus gigi, berus kasut, produk kulit, bone china (tembikar dibuat menggunakan, antara lain, abu tulang), dan freon (bahan gas dalam peti sejuk).

“Itu sebabnya beberapa badan pensijilan halal dalam pasaran halal menyediakan pensijilan halal bagi produk sedemikian. Namun, tidak semua badan pensijilan halal berkongsi pendirian falsafah dan dasar syariah yang sama mengenai produk tersebut,” kata beliau.

Selain bahan dari haiwan yang haram dalam Islam, seperti babi dan keldai, Encik Khair menambah bahawa produk bukan makanan dan minuman juga boleh mengandungi bahan lain yang tidak halal.

Ini seperti alkohol dan bahan lain yang digunakan dalam minuman keras, organisma yang diubah suai secara genetik, kekotoran atau komponen najis, dan darah daging manusia.

Dengan permintaan global yang berterusan bagi produk baru, Encik Khair berkata bahan mentah dan proses penghasilan baru juga terus diperkenalkan dan dijana dengan wujudnya teknologi baru dan inovasi.

“Oleh itu, terdapat keperluan umum untuk memberi jaminan kepada pengguna Islam dan pemain dalam pasaran halal bahawa produk sedemikian, yang bertujuan digunakan (termasuk kegunaan luaran pada kulit, kuku atau rambut), komponennya dan proses penghasilannya mengikut bimbingan dan prinsip agama semasa,” kata beliau.

Encik Khair berkata Indonesia merupakan satu contoh negara yang mempunyai undang-undang mewajibkan pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman.

Beberapa negara lain juga mempunyai peruntukan pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman seperti di Malaysia, Thailand dan Korea Selatan, namun ia tidak wajib.

“Di Malaysia, contohnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai skim pensijilan halal bagi kosmetik di mana undang-undang membolehkan produk tersebut memaparkan logo halal Jakim.

“Bagi Korea Selatan pula, ia merupakan pengeluar kosmetik diperakui halal terbesar di dunia,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg