Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang meneroka bentuk pensijilan halal baru bagi produk bukan makanan dan minuman, di tengah-tengah permintaan kian meningkat bagi produk sedemikian sedang umat Islam berkembang di seluruh dunia.
Bagaimanapun, jika disediakan Muis, pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman seperti kosmetik dan farmaseutikal mungkin bagi tujuan eksport sahaja bagi perniagaan memenuhi keperluan dan syarat halal negara lain.
Ini kerana ada negara mempunyai peraturan yang memerlukan pensijilan halal bagi produk yang diimport ke negara mereka, kata Timbalan Pengarah, Pembangunan Halal, Muis, Encik Muhd Faizal Othman, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Indonesia, misalnya, mempunyai undang-undang mewajibkan semua produk yang diedarkan dan diperdagangkan di negara itu mempunyai sijil halal. Akhbar Jakarta Globe melaporkan pada 2021 bahawa semua produk ubat dan kosmetik yang diimport, diedar dan dijual di negara itu mesti mempunyai sijil halal.
Encik Faizal berkata Muis akan belajar kepakaran negara lain yang mempunyai rejim pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman, sebagai sebahagian usaha membina daya tahan sistem pensijilan halal di sini, yang dimulakan pada 1978.
Buat masa ini, Muis menawarkan tujuh jenis skim pensijilan halal – kesemuanya bagi memenuhi pelbagai kategori industri makanan dan yang berkaitan dengan makanan.
“Kami akan meneliti perkara ini dan melihat pada cara membina daya tahan sistem kami serta cara melakukannya. Prosesnya mungkin lebih kurang serupa dengan proses pensijilan halal bagi makanan dan minuman.
“Namun, kami akan mempelajari kepakaran negara lain dan melihat bagaimana ia boleh diterapkan dalam sistem kami,” kata beliau.
Islam merupakan agama paling pesat berkembang di dunia, dengan terdapat sekitar 1.9 bilion Muslim sejagat pada 2020, menurut Pusat Penyelidikan Pew. Jumlah itu dijangka meningkat kepada 2.8 bilion, atau sekitar 30 peratus penduduk dunia, menjelang 2050.
Menurut laman pengumpulan dan visualisasi data Statista, pasaran halal global bernilai lebih AS$2 trilion ($2.7 trilion) pada 2021 dan berpotensi berkembang kepada sekitar AS$2.8 trilion menjelang 2025.
Laporan lanjut di Muka 7
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg