Singapura boleh meluaskan lagi kepercayaan logo halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan mengakses pasaran Indonesia yang kaya dengan lebih 250 juta penduduk.
Demikian dikongsi oleh Timbalan Pengarah bagi Pembangunan Halal Muis, Encik Faizal Othman semasa acara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Muis dengan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BJPJH) Kementerian Ehwal Agama Indonesia, untuk menggalakkan pembangunan dan perlindungan ekosistem halal antara Singapura dengan Indonesia dalam bidang pensijilan halal.
MOU itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dan Pengerusi BPJPH, Dr Muhammad Aqil Irham pada 8 Ogos.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian MOU itu ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo.
Di bawah MOU itu, Indonesia dan Singapura akan memperkukuh, menggalakkan dan membangunkan kerjasama dalam menghormati pengiktirafan bersama terhadap pensijilan halal masing-masing.
Muis, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Ogos, berkata bahawa ia juga melibatkan pertukaran pengalaman dan pengetahuan dalam bidang teknologi, sumber manusia, infrastruktur kemudahan, penyelidikan dan pembangunan untuk produk halal, serta kerjasama dalam bidang lain, dapat diputuskan bersama.
Berkongsi tentang manfaat penggunaan teknologi dan kesannya kepada pensijilan halal, Encik Faizal berkata:
“Peraturan yang akan dilaksanakan ini telah menyebabkan sedikit kebimbangan kepada perniagaan di Singapura tetapi dengan pemeteraian MOU hari ini, BPJPH mengiktiraf pensijilan Muis Halal Singapura, dan dengan itu akan memberikan akses kepada produk Halal dari Singapura untuk dieksport ke Indonesia dengan lancar.
“Dengan pemeteraian MOU ini, saya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk perniagaan di Singapura mengembangkan pasarannya, kerana mereka akan mendapat akses kepada kira-kira 250 juta orang di Indonesia.
“Kami sedang melihat bagaimana kami boleh menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan proses pensijilan kami antara kededua negara.
“Dengan ini, kami dapat bertukar maklumat mengenai proses pensijilan, serta produk halal, antara Indonesia dengan Singapura, dan ini akan melibatkan proses pensijilan menjadi lebih pantas dan meningkatkan status pensijilan.”
Dr Aqil, yang juga akur tentang cara MOU tersebut dapat menyokong perdagangan antarabangsa dan import-eksport kededua negara, menambah bahawa pengiktirafan bersama sijil halal ini antara Singapura dengan Indonesia adalah sesuatu yang “sudah ditunggu-tunggu dan pada akhirnya tiba”.
“Kita sama-sama ingin memudahkan para pengusaha supaya mereka dapat menembusi pasaran Indonesia mahupun Singapura.
“Kita akan terus melakukan pembahasan lebih terperinci dan teknikal untuk membahas tindakan lanjut daripada MOU tersebut agar dapat membantu perdagangan kededua negara,” tambah Dr Aqil kepada pihak media.
MOU tersebut juga menandakan MOU Halal ke-5 dimeterai oleh Muis dengan pihak berkuasa halal asing
dalam pasaran majoriti Muslim utama, berikutan empat lagi MOU sebelum ini ditandatangani dengan Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Maghribi.
Encik Masagos, yang turut hadir untuk menyaksikan pemeteraian MOU tersebut, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 8 Ogos bahawa Singapura adalah negara ketiga selepas Arab Saudi dan Malaysia yang menandatangani perjanjian ini sebelum Indonesia mewajibkan pensijilan halal untuk pelbagai produk, makanan dan minuman mulai Oktober akan datang.
Dalam meluaskan peluang pasaran bagi para peniaga dan pengguna Encik Masagos berkata:
“Ini juga merupakan peluang untuk syarikat-syarikat Singapura berkembang ke Indonesia, terutama pengeluar makanan dan bahan tambahan, untuk membawa produk mereka ke Indonesia tanpa sebarang gangguan perdagangan.”
“Saya gembira kerana para pegawai pembangunan halal Muis telah bekerja keras untuk mengenal pasti dan mengembangkan kerjasama mereka,” tambah beliau.
“
“Dengan pemeteraian MOU ini, saya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk perniagaan di Singapura mengembangkan pasarannya, kerana mereka akan mendapat akses kepada kira-kira 250 juta orang di Indonesia.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg