Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koswe sambut 100 tahun hubungkan S’pura, M’sia

Pemimpin kedua-dua negara serta Johor akur ia ikon ikatan persaudaraan, persahabatan serta sejarah
Jun 28, 2024 | 7:21 PM
Bagi menyambut ulang tahun ke-100 Koswe, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan  (dua dari kiri), dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri),  melepaskan 100 burung merpati di titik tengah  lintasan itu pada 28 Jun. Turut hadir ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (memakai jaket di tengah-tengah Dr Balakrishnan dan Datuk Onn).
Bagi menyambut ulang tahun ke-100 Koswe, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kiri), dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kiri), melepaskan 100 burung merpati di titik tengah lintasan itu pada 28 Jun. Turut hadir ialah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (memakai jaket di tengah-tengah Dr Balakrishnan dan Datuk Onn). - Foto ZAOBAO

Koswe Johor-Singapura mencecah usia 100 tahun pada 28 Jun 2024. Sebuah majlis diadakan di titik tengah Koswe, yang menandakan sempadan antarabangsa antara Singapura dengan Malaysia, untuk menyambut ulang tahun ke-100 laluan yang menghubungkan dua negara itu.

Majlis itu dirasmikan bersama oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut hadir di majlis itu.

Di majlis tersebut, 100 burung merpati dilepaskan untuk melambangkan ulang tahun ke-100 jambatan bersejarah itu.

Pihak kedua-dua negara juga menandatangani sebuah plak sambutan 100 tahun Koswe dan menukar-nukar cenderamata berbingkai.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menulis satu catatan di Facebook dengan berkata beliau berharap dapat mengukuhkan hubungan antara dua negara ini bagi 100 tahun akan datang.

Dalam satu catatan Facebook pada 28 Jun, Dr Balakrishnan berkata Koswe adalah ikon yang menandakan ikatan persaudaraan dan persahabatan unik serta jalinan sejarah Singapura dan Johor.

“Ia telah menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi begitu banyak generasi rakyat Singapura dan Malaysia yang telah menyeberang salah satu lintasan darat yang paling sibuk di dunia itu.

“Saya berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail, dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi atas penganjuran sambutan 100 Tahun Koswe pagi tadi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn atas usaha gigih beliau bagi meningkatkan pengalaman pengguna untuk semua orang yang melintasi Koswe,” tulis Dr Balakrishnan.

Datuk Onn berkata simbolisme sambutan ulang tahun ke-100 Koswe adalah tanda keakraban hubungan antara Johor dan Singapura. Dalam satu catatan Facebook pada 28 Jun, beliau berkata Koswe mempunyai nilai sejarah istimewa sejak ia dibina pada 1919. Ia merupakan sambungan darat pertama merentasi Selat Tebrau.

“Semoga jalinan ini mengukuhkan lagi kedudukan Johor-Singapura sebagai antara destinasi pelaburan terbaik, lebih-lebih lagi apabila dasar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilaksanakan tidak lama lagi. Insya-Allah.

Pada hari sama, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan Datuk Onn melancarkan sebuah pameran bergerak anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) di Perpustakaan Daerah Woodlands.

Dipanggil ‘The Causeway: A Century of Connections’ (Koswe: Hubungan Seabad), pameran itu bertujuan meneroka asal usul dan evolusi Koswe. Ia juga menonjolkan kepentingannya dalam kehidupan rakyat Singapura dan Malaysia.

Selaras dengan kata-kata Dr Balakrishnan, Encik Tong, dalam ucapan pembukaannya, berkata Koswe adalah lambang persaudaraan dan persahabatan antara Malaysia dan Singapura.

“Di tengah-tengah pasang surut Selat Johor, Koswe sentiasa kekal mengalir, membolehkan interaksi orang dengan orang selama ini.

“Ia bukan sekadar laluan untuk kenderaan, Koswe telah memberi kita laluan ke arah persaudaraan dan persahabatan.

“Sememangnya Koswe telah menjadi simbol kepada hubungan yang tidak terhitung dan hubungan kekal mendalam yang mengikat Singapura dan Malaysia,” ujar Encik Tong.

Dalam ucapannya di pelancaran pameran tersebut, Datuk Onn berkata pembina Koswe mungkin tidak dapat menjangka bahawa mereka telah mencipta lebih daripada sekadar suatu prasarana.

Ciptaan mereka itu telah melakukan lebih daripada sekadar berfungsi sebagai arteri penting yang menghubungkan rakyat Singapura dan Johor.

“Ia lebih daripada sekadar salah satu lintasan paling sibuk di dunia. Ia bukan sahaja memudahkan pergerakan barangan dan manusia, malah telah memupuk hubungan yang mendalam dan bermakna antara wilayah kita.

“Koswe telah mengubah kehidupan yang tidak terkira banyaknya, dan ia membolehkan orang ramai mendapatkan pendidikan, latihan dan pekerjaan, untuk meneroka peluang baru atau mengekalkan hubungan peribadi,” ujar Datuk Onn.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg