Mendengar azan subuh berkumandang dari seberang Selat Johor pada waktu fajar ketika berada di tepi pantai adalah antara kenangan paling manis semasa zaman kanak-kanaknya pada tahun-tahun 1980-an.
Demikian dikongsi Encik Rudy Zahiruddin Mohamed Omar ketika beliau menyingkap pengalamannya mengunjungi Kampong Lorong Fatimah pada 1980-an.
Encik Rudy, 45 tahun, merupakan seorang penduduk lama di Marsiling. Semasa kecil, beliau sering mengunjungi Kampong Lorong Fatimah yang dahulunya terletak di tapak Pusat Pemeriksaan Woodlands yang ada sekarang.
Beliau, yang sudah berumah tangga dan kini tinggal di flat HDB di Marsiling, akan berjalan kaki kira-kira 20 minit dari rumahnya ke Kampong Lorong Fatimah untuk menikmati suasana damai kampung sambil melawat saudara-maranya yang tinggal di sana ketika itu.
“Saya sebenarnya pencinta alam, jadi setiap kali saya dengar azan subuh dari seberang Tambak, saya akan duduk di tepi laut dan nikmati udara pagi yang segar.
“Ia seolah-olah membawa saya ke alam lain, jauh daripada kesibukan estet kejiranan. Kampung ini bukan sekadar tempat tinggal, malah sebuah masyarakat dengan setiap penduduk saling mengenali dan membantu satu sama lain.
“Berbanding penduduk di flat HDB, penduduk kampung lebih peramah dan lebih terbuka untuk saling mengenali antara satu sama lain,” singkap Encik Rudy, mengenang masa-masa indah di kampung itu.
Sebelum ia dirobohkan, Kampong Lorong Fatimah, yang terletak di sebelah Pusat Pemeriksaan Woodlands lama, merupakan tempat perhentian bagi orang ramai yang berulang-alik antara Malaysia dengan Singapura menerusi Koswe.
Sejak dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924, Koswe menjadi sebahagian penting dalam warisan Malaysia dan Singapura. Tanggal 28 Jun 2024 menandakan ulang tahun ke-100 Koswe, yang turut disambut kedua-dua negara.
Kampong Lorong Fatimah unik kerana pintu masuknya dijaga oleh pegawai imigresen kerana ia terletak bersebelahan dengan Koswe dan pusat pemeriksaan.
“Terdapat pondok polis bantuan Certis Cisco di pintu masuk kampung. Warga Singapura perlu menunjukkan kad pengenalan untuk masuk, manakala pengunjung rakyat Malaysia yang tiba menerusi Koswe perlu menunjukkan pasport mereka,” kongsi Encik Rudy.
Menurut beliau lagi, kehidupan di Kampong Lorong Fatimah penuh dengan suasana mesra, dengan keriuhan bunyi kereta api dan air pasang surut yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian penduduknya.
Ada dua jenis rumah di Kampong Lorong Fatimah – rumah di darat atau atas tanah dan rumah atas air.
Rumah di atas tanah seperti rumah kampung biasa tetapi rumah atas air dibina di atas papan kayu di atas pantai.
“Jika air surut, anda boleh turun dan berjalan di pantai. Saya dan kanak-kanak lain suka cari belangkas,” ujar Encik Rudy.
Beliau menambah bahawa rumah-rumah di Kampong Lorong Fatimah mempunyai anjung dengan anggota keluarga dapat bersantai sambil menjamu selera di situ atau menonton televisyen.
Menurutnya juga, mereka kerap menjemput jiran untuk bersantai bersama dan bersembang.
“Konsep terbuka itu yang hanya wujud di persekitaran kampung dan bukan di flat HDB, mungkin menyebabkan penduduk di sana lebih terbuka untuk bertegur sapa antara satu sama lain,” kata Encik Rudy.
Namun, pada penghujung 1989, hati Encik Rudy hancur apabila beliau mendapat tahu bahawa kampung yang dekat dengan hatinya itu akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Penduduk Kampong Lorong Fatimah terpaksa berpindah dan menetap di flat HDB di Woodlands, Yishun dan kawasan berdekatan lain.
Perpindahan tersebut mengakhiri suasana kampung yang tenang, kehidupan laut yang melimpah serta bunyi ombak memukul pantai di ambang pintu mereka.
Pada September 1989, akhbar The Straits Times (ST) melaporkan bahawa sekitar 1,500 penduduk berkumpul buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Kampong Lorong Fatimah.
Menurut Encik Rudy, satu karnival laut dianjurkan oleh penduduk kampung pada hari itu. Ia melibatkan pelbagai kegiatan seperti pertandingan lumba jong, tarik tali dan memanjat timbunan buluh yang disapu minyak.
Beliau hadir di karnival itu tetapi tidak menyertai apa-apa pertandingan kerana masih kecil ketika itu.
“Saya sangat sedih kampung itu dirobohkan. Ia adalah sebahagian besar daripada kehidupan saya... tempat saya bermain dan berasa tenang,” jelas Rudy, sayu.
Demi menyusur nostalgia terhadap Kampong Lorong Fatimah, Encik Rudy sanggup berjalan dari Taman Marsiling, tempat beliau ditemui Berita Minggu (BM), hingga ke perhentian bas Pusat Pemeriksaan Woodlands yang memakan masa kira-kira 20 minit.
Di belakang perhentian bas tersebut terdapat tangga yang dahulu menghala ke landasan kereta api di Kampong Lorong Fatimah.
Kini, hanya anak tangga teratas masih kelihatan di atas paras tanah, manakala bahagian lain tangga itu kelihatan ‘tenggelam’ dalam tanah.
Di sebalik senyuman hambar yang terukir di bibirnya, terdapat sekelumit keceriaan yang terpancar di matanya.
Kampong Lorong Fatimah mungkin tinggal dalam lipatan sejarah, namun kenangan yang ditinggalkannya kekal terpahat dalam hati Encik Rudy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg