Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koswe bak ‘perekat’ lima beradik M’sia yang bekerja di S’pura

Jun 30, 2024 | 5:30 AM
Walaupun tidak duduk sebumbung di Johor, lima beradik asal Malaysia (dari kiri) Encik Muhammad Hanafi Sariman, Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Muhammad Hamizi Sariman, Encik Hery Kurniawan Abdullah dan Encik Mohd Hamizan Sariman dapat merapatkan lagi ukhuwah mereka ketika bekerja bersama-sama di FedEx Singapura.
Walaupun tidak duduk sebumbung di Johor, lima beradik asal Malaysia (dari kiri) Encik Muhammad Hanafi Sariman, Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Muhammad Hamizi Sariman, Encik Hery Kurniawan Abdullah dan Encik Mohd Hamizan Sariman dapat merapatkan lagi ukhuwah mereka ketika bekerja bersama-sama di FedEx Singapura. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Apabila menyebut tentang Koswe, orang ramai lazimnya terfikir tentang kesesakan lalu lintas dan ribuan orang beratur panjang membuat perjalanan antara Johor Bahru dengan Singapura.

Namun, bagi lima beradik asal Malaysia, jambatan bersejarah itu membolehkan mereka merapatkan lagi ukhuwah mereka.

Walaupun tidak menetap di rumah sama di Johor, kehidupan mereka saling bersilang apabila mereka melintasi Koswe untuk pergi bekerja di Singapura.

Digelar ‘The Sariman Brothers’ oleh rakan sekerja, adik-beradik ini terdiri daripada Encik Hery Kurniawan Abdullah, 34 tahun; Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, 31 tahun; Encik Mohd Hamizan Sariman, 28 tahun; Encik Muhammad Hanafi Sariman, 25 tahun; dan Encik Muhammad Hamizi Sariman, 23 tahun.

Koswe bukan sekadar mangkin untuk mereka pergi ke tempat kerja, malah menurut mereka, ia ibarat perekat yang mengeratkan mereka sebagai adik-beradik.

Menaiki motosikal masing-masing, mereka bekerja di FedEx Singapore di Airport Logistics Park.

Menurut mereka, perjalanan ke tempat kerja memakan masa kira-kira tiga jam ulang-alik dari rumah.

Encik Hery, yang sudah lapan tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan usia lapan tahun dan anak lelaki usia lima tahun; serta Encik Hanafi yang baru sahaja mengikat tali pertunangan, masing-masing tinggal di Taman Pulai Indah, Skudai, dan Bakar Batu, Johor Bahru.

Tiga beradik yang lain – Encik Khairul, Encik Hamizan dan Encik Hamizi – masih belum berumah tangga dan tinggal bersama di rumah sewa di Larkin.

Encik Hery bekerja sebagai Ejen Operasi Kanan; Encik Khairul dan Encik Hamizi bekerja sebagai Ejen Operasi; Encik Hamizan bekerja sebagai Pengendali Kargo; manakala Encik Hanafi bekerja sebagai Pentadbir Operasi.

(Dari kiri) Encik Mohd Hamizan Sariman, Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Hery Kurniawan Abdullah, Encik Muhammad Hanafi Sariman dan Encik Muhammad Hamizi Sariman menunggang motosikal masing-masing melintasi Koswe untuk ke tempat kerja di Singapura.
(Dari kiri) Encik Mohd Hamizan Sariman, Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Hery Kurniawan Abdullah, Encik Muhammad Hanafi Sariman dan Encik Muhammad Hamizi Sariman menunggang motosikal masing-masing melintasi Koswe untuk ke tempat kerja di Singapura. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Mereka semua bekerja di bahagian kargo kecuali Encik Hanafi yang bekerja di dalam pejabat.

Sebelum fajar menyingsing di Johor Bahru, Encik Hanafi akan mulakan harinya.

“Paling awal kerja saya bermula ialah sekitar 5 pagi, jadi saya akan keluar rumah sekitar 3.30 pagi.

“Dalam kalangan kami berlima, sayalah yang biasa menghadapi kesesakan lalu lintas di Koswe kerana saya buat perjalanan pada waktu sibuk,” ujar Encik Hanafi.

Mengulas tentang kesesakan lalu lintas di Koswe, Encik Hamizi berkata ia menguatkan daya tahan mental mereka.

Beliau berkata sambil bergurau: “Memandang kami sudah biasa tempuh kesesakan lalu lintas di Koswe, kesesakan lalu lintas di tempat lain tidak apa-apa…”

Encik Hery, sebagai abang sulung dan sudah bekerja di FedEx selama 10 tahun, merupakan inspirasi kepada adik-adiknya untuk menyertai syarikat itu.

“Saya bermula sebagai pengendali kargo dan perlahan-lahan naik pangkat ke ejen operasi kanan.

“Pada pendapat saya, pekerjaan di sini stabil, jadi saya menarik mereka masuk ke sini supaya mereka boleh cari rezeki yang sempurna,” kongsinya.

Encik Hamizan menambah: “Selepas abang, satu persatu daripada kami menyertai FedEx. Bekerja di tempat yang sama membolehkan kami terus terlibat dalam kehidupan masing-masing.”

Menurut lima beradik itu, waktu rehat dan makan tengah hari ibarat perhimpunan keluarga bagi mereka berbincang tentang segala-galanya – daripada urusan keluarga hingga rancangan masa depan.

Apabila ditanya tentang peri pentingnya Koswe dalam kehidupan mereka, Encik Khairul berkata ia seperti penghubung yang memberi mereka peluang untuk mencari nafkah dan memastikan kebajikan keluarga terutama ibu bapa mereka yang tinggal sendirian di kampung di Simpang Renggam.

“Sebelum ini ada di antara kami pernah bekerja di bengkel kereta dan kilang tetapi pendapatan di FedEx lebih stabil, jadi kami amat menghargai peluang bekerja di sini,” ujarnya.

“Koswe adalah jambatan yang menghubungkan kami,” kata Encik Hamizi. “Tanpanya, mengekalkan hubungan rapat kami adalah lebih sukar kerana di situlah laluan kami bersilang setiap hari.”

Bagi lima beradik yang terdiri daripada (kiri) Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Mohd Hamizan Sariman, Encik Muhammad Hanafi Sariman, Encik Muhammad Hamizi Sariman dan Encik Hery Kurniawan Abdullah, pentingnya Koswe ibarat penghubung yang membolehkan mereka mencari nafkah demi kebajikan keluarga.
Bagi lima beradik yang terdiri daripada (kiri) Encik Mohd Khairul Yusuf Sariman, Encik Mohd Hamizan Sariman, Encik Muhammad Hanafi Sariman, Encik Muhammad Hamizi Sariman dan Encik Hery Kurniawan Abdullah, pentingnya Koswe ibarat penghubung yang membolehkan mereka mencari nafkah demi kebajikan keluarga. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Sebagaimana Koswe mengeratkan ikatan kekeluargaan antara lima beradik itu, ia juga melambangkan ikatan yang berkekalan antara Malaysia dengan Singapura.

Menurut Encik Hery, sebagai penghubung penting yang memudahkan perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya, Koswe juga mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan memupuk persefahaman dan kerjasama bersama.

“Koswe bukan sahaja membantu kami kekal berhubung sebagai sebuah keluarga bahkan menggambarkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara kita juga.

“Ia adalah jambatan yang menyatukan masyarakat dan negara,” terangnya.

Dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924, Koswe menjangkau lebih satu kilometer dan menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Tanggal 28 Jun menandakan ulang tahun ke-100 Koswe, yang terus memainkan peranan penting dalam ikatan sosio-ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg