Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah menyerahkan sekeping cek simbolik bernilai AS$854,000 ($1.1 juta dolar) kepada Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi membantu warga di Gaza.
Cek tersebut diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid kepada Timbalan Pengarah Wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara Unicef, Encik Marc Rubin pada 4 September di Amman, Jordan.
Ia turut disaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang sedang melakukan lawatan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan dari 1 hingga 5 September.
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Masagos merakamkan penghargaannya kepada Pemerintah Jordan atas sokongan mereka terhadap usaha Singapura memudahkan penyampaian bantuan ke Gaza.
“Usaha bersama ini menekankan komitmen bersama kita untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin dan rakyat Gaza yang terjejas oleh krisis kemanusiaan yang berterusan ini.
“Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan Timur Tengah untuk menyumbang bekalan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“(Kita) menekankan keperluan mendesak untuk bantuan-bantuan sampai kepada mereka yang sangat memerlukan,” kata Encik Masagos.
Cek tersebut merupakan cek kedua yang diserahkan RLAF kepada Unicef di bawah kempen Rayuan Ramadan yang dilancarkan pada Mac.
Cek pertama berjumlah $1 juta dolar telah diserahkan oleh mantan CEO RLAF, Encik Muhammad Faizal Othman pada April.
Semasa di Jordan, Encik Masagos dan pegawai RLAF turut diberikan perkembangan tentang penggunaan dana oleh Unicef dan keadaan bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Unicef berkongsi dengan lebih mendalam usaha bantuan kemanusiaan mereka di lapangan dan situasi di Gaza. Jordan memainkan peranan penting di tengah-tengah ketegangan di rantau ini.
“Unicef memberi jaminan bahawa derma akan disalurkan ke ruang-ruang selamat untuk kanak-kanak mencari bantuan, serta akses kepada pendidikan mereka yang terhenti sejak krisis bermula,” kata Encik Masagos.
RLAF berkata ia berpuas hati bahawa dana tersebut digunakan dengan baik setakat ini untuk membantu kanak-kanak, wanita dan keluarga di Gaza, sambil memastikan keperluan kritikal dipenuhi dengan berkesan.
Encik Masagos berkata jumlah sumbangan Singapura setakat ini ialah $17 juta bagi membantu krisis kemanusiaan di Gaza.
Bantuan-bantuan yang telah dihulurkan merangkumi penyediaan bekalan perubatan, bantuan makanan, barangan sanitasi dan bantuan lain untuk meringankan penderitaan warga yang terjejas.
“Apa yang berlaku di Gaza bukan sesuatu yang akan cepat berakhir. Dengan itu, RLAF telah membuat satu keputusan untuk membuat lagi satu pungutan dana untuk mereka yang memerlukan di Gaza nanti.
“Saya harap masyarakat akan terus membantu, memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan menerusi pungutan dana ini,” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg