Topik diikuti
Pergi ke BHkuKredit LifeSG Anak $500 bagi anak S’pura 12 tahun dan ke bawah diagih mulai 14 Julai
Kredit LifeSG Anak $500 bagi anak S’pura 12 tahun dan ke bawah diagih mulai 14 Julai
Bantuan ringankan kos sara hidup boleh digunakan untuk barangan dapur, utiliti dan farmasi melalui kod QR
Kredit LifeSG Anak $500 bagi anak S’pura 12 tahun dan ke bawah diagih mulai 14 Julai
Keluarga yang mempunyai anak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah akan menerima kredit LifeSG Anak sebanyak $500 bagi setiap anak mulai 14 Julai.
Kredit tersebut boleh digunakan untuk membantu menampung perbelanjaan isi rumah seperti barang runcit, bil utiliti dan barangan farmasi, menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 13 Julai.
Keluarga yang mempunyai anak yang lahir antara 2014 dengan 2025 akan menerima kredit berkenaan mulai 14 Julai.
Sementara itu, kredit bagi anak yang lahir pada 2026 akan diagihkan pada April 2027.
Semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan pemberian kredit sebanyak $500 ini sebagai sebahagian langkah membantu meringankan beban keluarga dalam kos membesarkan anak.
Kredit ini merupakan tambahan kepada tokokan kredit LifeSG Anak sebanyak $500 yang telah diagihkan kepada lebih 450,000 kanak-kanak pada 2025.
Kredit ini boleh digunakan di kedai fizikal mahupun dalam talian yang menerima pembayaran melalui PayNow UEN QR dan NETS QR.
Kredit berkenaan akan dimasukkan secara automatik kepada pemegang amanah Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi anak yang layak, berdasarkan rekod MSF sehingga tarikh penilaian kelayakan pada 1 Jun.
Tiada permohonan diperlukan.
Para pemegang amanah boleh mengakses kredit tersebut menerusi aplikasi LifeSG mereka.
Penerima akan dimaklumkan melalui pesanan ringkas (SMS) selepas kredit dimasukkan ke dalam dompet digital mereka di dalam aplikasi LifeSG.
Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penipuan, MSF menyatakan pemberitahuan melalui SMS yang dihantar kepada ibu bapa hanya akan menggunakan nama paparan ‘gov.sg’.
Pesanan tersebut juga hanya akan mengandungi maklumat mengenai status agihan serta ketetapan dan syarat berkaitan.
Pemegang amanah tidak akan diminta untuk membalas SMS tersebut atau memberi sebarang maklumat peribadi.
Para pemegang amanah CDA perlu memastikan nombor telefon bimbit dalam profil Singpass masing-masing telah dikemas kini supaya mereka dapat menerima pemberitahuan tersebut, kata MSF.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://go.gov.sg/clc2026.
