Keluarga yang mempunyai anak yang layak akan menerima kredit LifeSG Anak atau tokokan ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) pada Julai.
Setiap keluarga akan menerima $500 dalam bentuk kredit LifeSG Anak bagi setiap anak yang berusia 12 tahun dan ke bawah.
Sekitar 300,000 pelajar berusia antara 13 dengan 20 tahun pula akan menerima tokokan sekali sahaja sebanyak $500 ke dalam akaun Edusave atau PSEA masing-masing.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada Februari.
Ia bagi membantu keluarga menampung kos membesarkan anak, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 3 Julai.
Kanak-kanak yang lahir antara 2013 dengan 2024 dijangka menerima kredit LifeSG Anak sekitar minggu depan bermula 7 Julai, manakala mereka yang lahir pada 2025 akan menerimanya pada April 2026.
Sekitar 450,000 kanak-kanak dijangka menerima kredit tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Kredit itu boleh digunakan untuk perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, ubat-ubatan, bil api air atau pengangkutan.
Kredit LifeSG Anak akan dimasukkan ke dalam dompet digital di aplikasi LifeSG milik pemegang amanah Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi anak berkelayakan.
Tiada permohonan diperlukan dan penerima akan dimaklumkan melalui SMS sebaik sahaja kredit tersebut telah dimasukkan ke dalam dompet digital mereka.
Menerusi aplikasi LifeSG, kredit itu dapat digunakan untuk perbelanjaan menggunakan kaedah PayNow, UEN, QR atau NETS QR.
Ibu bapa pelajar yang layak juga akan dimaklumkan melalui SMS apabila tokokan $500 telah dimasukkan ke dalam akaun Edusave atau PSEA anak mereka.
Menurut MOE dan MSF, tokokan itu adalah tambahan kepada sumbangan tahunan Edusave oleh pemerintah bagi membantu keluarga yang mempunyai anak lebih ramai, menampung perbelanjaan berkaitan pendidikan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg