Pemerintah akan terus membantu rakyat Singapura yang berdepan isu kos sara hidup selama ia diperlukan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sambil memberi jaminan bahawa baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bukan sekadar “inisiatif sekali sahaja”.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran peruntukan baucar bantuan CDC ketujuh, yang menyaksikan setiap isi rumah rakyat Singapura akan menerima $500 dalam bentuk baucar CDC bermula 13 Mei.
Separuh daripada baucar itu – atau $250 – boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian, manakala separuh lagi boleh digunakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.
Pasar raya yang menerima baucar CDC ialah Ang Mo Supermarket, Cold Storage, Giant Singapore, HAO Mart, NTUC FairPrice, Prime Supermarket, Sheng Siong, dan U Stars Supermarket.
Baucar tersebut, yang boleh ditebus dalam talian di go.gov.sg/cdcv, boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025.
Encik Wong berkata ia merupakan sebahagian daripada bantuan yang lebih banyak daripada pemerintah.
“Saya ingin memberi jaminan kepada anda semua bahawa ini bukan inisiatif sekali sahaja. Pemerintah akan terus menghulurkan bantuan selama ia diperlukan,” ujarnya.
Pemerintah, jelasnya tidak menyalurkan bantuan melalui rebat dan baucar sahaja, malah akan meneroka usaha lain demi bantu memberikan lebih keyakinan dan jaminan di setiap peringkat kehidupan rakyat Singapura.
“Kami telah dan akan terus mengkaji semula dan mengemas kini serta memperkukuh sistem sokongan sosial kami dalam pelbagai aspek – sama ada perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan atau persaraan,” katanya.
Ini termasuk bantuan dalam bentuk kredit LifeSG dan penambahan dana Edusave untuk kanak-kanak, serta rebat U-Save.
Terdapat baucar SG60 pada Julai, bernilai $600 bagi setiap rakyat dewasa Singapura yang berusia antara 21 dengan 59 tahun, dan $800 bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
Encik Wong menerangkan jumlah bantuan boleh mencecah bukan sahaja ratusan, malah ribuan dolar.
“Dalam tahun kewangan ini sahaja, sebuah keluarga biasa yang terdiri daripada empat orang dengan dua anak kecil akan menerima sekitar $5,000 dalam bentuk bantuan.
“Golongan berpendapatan rendah serta warga emas akan menerima bantuan yang lebih banyak,” katanya.
Peruntukan ketujuh baucar CDC itu menyusuli pemberian baucar bernilai $300 pada Januari 2025, yang juga boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025.
Baucar CDC diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas semangat perpaduan mereka dalam waktu sukar itu, serta menyokong peniaga.
Skim tersebut diteruskan selepas pandemik untuk membantu meringankan kesan kenaikan harga ke atas rakyat Singapura.
Encik Wong mengumumkan semasa Belanjawan 2025 bahawa terdapat dua pemberian baucar sebanyak $500 pada Mei 2025 dan $300 pada Januari 2026.
Beliau turut berkongsi mengenai kemampanan program baucar tersebut, serta sebab Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dinaikkan dan berkata mengekalkan tanggungjawab fiskal telah menjadi pendekatan pemerintah sejak dahulu lagi.
“Kami mahu pastikan apabila kami membelanjakan lebih banyak, ia dilakukan untuk kepentingan rakyat Singapura, tetapi perbelanjaan itu mampan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.
Beliau berkata keputusan menaikkan cukai lebih awal pada dekad ini dibuat untuk menampung jurang pembiayaan dalam kewangan awam, apabila perbelanjaan kewangan Singapura dijangka meningkat tetapi hasilnya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan tersebut.
“Ia merupakan keputusan yang sukar untuk dibuat, ia sememangnya tidak popular, tetapi ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan ia adalah perkara yang bertanggungjawab untuk dilakukan,” tambahnya.
Majlis pelancaran itu dianjurkan oleh kelima-lima mayor – Pengerusi Jawatankuasa Mayor yang juga Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Mayor CDC South East, Encik Fahmi Aliman; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; Mayor CDC Central, Cik Denise Phua Lay Peng; dan Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo.
Menerusi kenyataan Facebook pada malam 13 Mei, Cik Low, berkata 38 peratus isi rumah sudah menebus baucar CDC untuk Mei.
“Sejak pelancarannya pagi tadi, sekitar 500,000 isi rumah Singapura – iaitu hampir 38 peratus daripada 1.33 juta isi rumah Singapura – telah menebus Baucar CDC mereka.
“Secara keseluruhan, sebanyak $1.92 bilion telah dibelanjakan sejak Skim Baucar CDC dilancarkan pada Disember 2021,” tulisnya.
Beliau turut menambah Baucar CDC yang diberikan pada Januari melihat lebih 1.29 juta isi rumah – bersamaan 97.3 peratus daripada keseluruhan isi rumah – telah menebus baucar mereka.
“Lebih $320 juta telahpun dibelanjakan, dengan sekitar $154 juta dibelanjakan di gerai penjaja dan runcit kawasan kejiranan yang mengambil bahagian, manakala sekitar $166 juta dibelanjakan di pasar raya yang mengambil bahagian,” tambahnya.
Bagi konsultan kewangan, Cik Iffah Farhanah Shaharuddin, 25 tahun, bantuan CDC membantunya sekeluarga mengurangkan kos barangan dapur mereka, terutama dengan ibunya, Cik Nor Hayati Ismail, 56 tahun, menghidapi kanser paru-paru sejak 2017.
Setakat ini, hanya Cik Iffah dan bapanya, Encik Shaharuddin Sharif, 62 tahun, bekerja secara tetap.
Bapanya bekerja sebagai pengurus di EM services dan abangnya, Encik Fitri Hamizan, 29 tahun, sedang menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan bekerja sambilan sebagai penolong jurutera.
Cik Iffah berkata rawatan ibunya menelan belanja sehingga $500,000 setahun, sebahagian besar disebabkan pil Alectinib – pil yang mampu menghalang kanser tumor membiak.
Sebiji pil bernilai $200 dan menurut Cik Iffah, ibunya harus memakannya kerana rawatan seperti Imunoterapi, Kemoterapi, Laser, Radioterapi kurang berkesan untuknya.
Beliau berkata baucar itu mampu menampung keperluan pasar mereka selama sebulan, yang boleh mencecah sehingga $500.
Beliau, yang menginap di Marsiling bersama kededua ibu bapa dan abangnya, berkata:
“Baucar tersebut banyak bantu kami, kerana kami boleh gunakannya untuk beli barang runcit dan juga makanan di pusat penjaja.
“Ia juga membantu kerana ayah saya tidak perlu gunakan duitnya untuk beli barangan dapur, sebaliknya salur duit itu untuk bayar bil rumah, hospital, dan kanser.”
“
“Saya ingin memberi jaminan kepada anda semua bahawa ini bukan inisiatif sekali sahaja. Pemerintah akan terus menghulurkan bantuan selama ia diperlukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg