Dalam tempoh kurang satu saat, daya graviti di dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 berubah dengan begitu mendadak.

Berikut perincian kejadian yang berlaku pada 24 Mei 2024, berdasarkan laporan akhir yang dikeluarkan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB).

– 7.30 pagi, Koordinasi Masa Sejagat (UTC); 3.30 petang waktu Singapura: Pesawat tersebut sedang terbang pada ketinggian 37,000 kaki ketika menghampiri pantai barat daya Myanmar.

Kru kabin sedang bersiap untuk menghidangkan sarapan, dan penumpang mula dikejutkan daripada tidur.

Tiada sebarang imej radar cuaca dipaparkan pada skrin kemudi juruterbang, dan mereka mendapati laluan penerbangan di hadapan bebas daripada awan, kecuali beberapa awan tinggi yang kelihatan jauh.

– 7.44 pagi: Kru penerbangan menghubungi kawalan trafik udara Yangon untuk meminta sedikit perubahan laluan penerbangan dengan alasan faktor cuaca, tetapi TSIB menjelaskan langkah itu lebih bersifat taktikal dan bukan kerana kebimbangan sebenar.

Pihak kawalan trafik udara Yangon kemudian menawarkan laluan alternatif yang diterima kru penerbangan.

7.45 pagi UTC: Kru penerbangan melaraskan julat paparan sistem kemudi bagi tujuan perancangan laluan penerbangan.

Salah seorang juruterbang berkata tiada sebarang paparan cuaca dikesan dan pelarasan itu merupakan prosedur rutin.

Rakaman suara kokpit juga tidak merakam sebarang perbincangan mengenai cuaca antara kedua-dua juruterbang.

– 7.49 pagi: SQ321 mula mengalami gelora udara dengan pecutan menegak, dalam tempoh 17 saat.

Seorang juruterbang menyedari kelajuan pesawat semakin menghampiri tahap yang keterlaluan, lalu memberi amaran kepada rakan setugas dan mengaktifkan brek kelajuan.

Beliau turut menyalakan lampu tanda tali pinggang keledar sambil menyebut, “seat belt on”.

Mereka tidak sempat membuat pengumuman kepada para penumpang.

Meter altitud pesawat mencatat peningkatan ketinggian dan sistem ‘autopilot’ menundukkan muncung pesawat untuk mengekalkan paras 37,000 kaki, namun, pesawat terus naik hingga 37,362 kaki.

– 7.49 pagi: Gelora udara teruk melanda pesawat. Pecutan menegak menjunam dalam tempoh 0.6 saat sebelum melonjak semula dalam empat saat berikutnya.

Sistem amaran kehilangan daya angkat, diaktifkan seketika. Kru penerbangan kemudian mematikan sistem pandu auto dan mengendalikan pesawat secara manual selama 21 saat.

– 7.51 pagi: Kawasan di luar pesawat kelihatan cerah. Rakaman suara kokpit merakam juruterbang utama berkata: “Macam mana tiba-tiba…” katanya sambil menambah, “Biar saya alihkan ini dan lihat,” namun tiada perbincangan lanjut direkodkan.

Menurut TSIB, juruterbang itu terkejut dengan gelora udara yang berlaku secara tiba-tiba lalu membuka pelindung cahaya tingkap untuk melihat keadaan di luar.

– 7.53 pagi: Kedua-dua juruterbang melaporkan mereka tidak melihat sebarang awan di luar pesawat dan paparan kemudi juga tidak menunjukkan sebarang imej cuaca.

Selepas pesawat kembali stabil dan gelora udara reda, seorang lagi juruterbang berkata: “Baiklah, keadaan sudah jelas… Cuaca pun baik,” katanya. Juruterbang utama bersetuju sambil berkata: “Kini agak jelas.”

Kru kabin kemudian memaklumkan kepada kokpit bahawa terdapat beberapa penumpang dan kru yang cedera di dalam kabin.

– 7.55 pagi: Kru penerbangan melaporkan kejadian gelora udara teruk itu kepada kawalan trafik udara Yangon dan bertanya sama ada pesawat lain turut membuat laporan serupa.

Tiada laporan lain diterima.

Pegawai kanan pertama yang sedang berehat di ruang rehat kru kemudian menuju ke kokpit.

Dalam perjalanan ke kokpit, beliau melihat troli hidangan terbalik, peralatan hidangan rosak dan seorang kru kabin yang cedera sedang diberi bantuan.

– 8.01 pagi: Kru penerbangan mengeluarkan panggilan kecemasan ‘Mayday’ dan meminta pesawat dipesongkan ke Bangkok.

– 8.06 pagi: Kawalan trafik udara Yangon mengarahkan pesawat turun dari paras 37,000 kaki ke 31,000 kaki.

Ketika menuruni altitud, juruterbang utama melihat awan altostratus – iaitu lapisan awan kelabu kebiruan – serta awan kumulus bertaburan di hadapan.

Namun paparan kemudi masih tidak menunjukkan sebarang imej cuaca.

Menurut mereka, hanya selepas pesawat turun di bawah 31,000 kaki barulah imej cuaca mula muncul pada skrin navigasi.

– 8.45 pagi: SQ321 mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Pesawat tiba di tempat meletak kapal terbang yang ditetapkan kira-kira lima minit kemudian, dengan petugas perubatan sudah menunggu.

Mangsa yang cedera kemudian diberi rawatan dan dihantar ke hospital.