Radar cuaca pesawat Singapore Airlines (SIA) yang mengalami gelora udara teruk pada Mei 2024 – mengakibatkan seorang penumpang terkorban dan 79 lain cedera – tidak mengesan sebarang isyarat gelora udara atau cuaca buruk pada skrin paparan untuk mengemudi di kokpit.

Pada masa yang sama, pemeriksaan visual oleh kru penerbangan di luar kokpit tidak mendapati sebarang awan atau cuaca buruk di kawasan sekitaran ketika pesawat bergerak dalam laluan penerbangan.

Demikian dapatan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura yang diterbitkan pada 19 Mei menjelang ulang tahun kedua penerbangan malang SQ321 itu.

Hasil siasatan setebal lebih 60 halaman itu mendedahkan bahawa TSIB tidak menolak kemungkinan imej corak cuaca tidak dipaparkan sama sekali atau dipaparkan secara tidak tepat pada skrin paparan bagi mengemudi pesawat terbabit.

TSIB berkata: “Pasukan siasatan berpendapat bahawa radar cuaca memaparkan imej corak cuaca berselang-seli semasa penerbangan dan tidak menolak kemungkinan imej corak cuaca tidak dipaparkan sama sekali atau tidak dipaparkan secara tepat (pada skrin Paparan Kemudi).

“Ini mengambil kira rekod penyelenggaraan dan apa yang diperhatikan semasa penerbangan (pesawat terjejas) kembali (dari Bangkok ke Singapura).”

Penerbangan tersebut sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura pada 21 Mei 2024, apabila pesawat jenis Boeing 777-300ER itu mengalami gelora udara teruk ketika melalui ruang udara di barat daya Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, sebelum pesawat berlepas kembali ke Singapura pada 26 Mei tanpa penumpang.

Secara umum, juruterbang menggunakan maklumat daripada skrin paparan kemudi pesawat untuk mengetahui corak cuaca dalam laluan penerbangan dan membuat penyesuaian pada hala tuju laluan berdasarkan maklumat yang dipaparkan.

Imej corak cuaca dipaparkan pada skrin menerusi imej berwarna hijau, kuning dan merah.

Hijau menandakan kemungkinan keadaan cuaca yang agak tenang manakala merah memberi isyarat kemungkinan keadaan cuaca agak ekstrem. Kuning pula menunjukkan kemungkinan keadaan cuaca yang sederhana.

TSIB berkata ketika kejadian itu berlaku, skrin paparan kemudi menunjukkan imej corak cuaca yang tidak menentu.

Laporan TSIB turut mendapati terdapat dua kejadian di mana imej corak cuaca tidak dipaparkan atau dikesan dengan tepat melalui radar cuaca bagi pesawat terbabit – iaitu pada 29 April 2024 dan 1 Mei 2024.

Terdapat juga satu kejadian corak cuaca tidak dikesan radar cuaca yang berlaku pada 15 Mei 2024 – skrin paparan kemudi tidak menunjukkan imej sama sekali, meskipun kru penerbangan melihat pembentukan awan di luar kokpit.

Sekitar waktu kejadian, laporan itu menambah, terdapat empat pesawat yang beroperasi di ruang udara Myanmar – masing-masing menggunakan model radar cuaca dan jenis pesawat berbeza.

Pesawat sedemikian juga terbang pada ketinggian berbeza daripada SQ321, yang berada pada ketinggian 37,000 kaki apabila kejadian berlaku, dan tidak mengambil laluan sama dengan penerbangan terbabit, kata TSIB.

Namun, keempat-empat pesawat menyimpang daripada laluan asal untuk mengelakkan daripada keadaan cuaca di sekitar kawasan kejadian.

Laporan itu menyatakan adanya pembentukan awan pada ketinggian berbeza di sekitar barat daya Myanmar.

Ketika waktu kejadian, TSIB berkata kru penerbangan mengakui laluan penerbangan bebas daripada sebarang awan hasil perbualan antara juruterbang di kokpit yang diperoleh daripada alat Perakam Suara Kokpit (CVR).

Sehubungan itu, laporan tersebut mendapati SQ321 naik mendadak dari 36,937 kaki ke 37,228 dan kemudian 37,362 kaki sebelum menjunam ke 37,143 kaki.

Pesawat itu kemudian naik mendadak ke 37,438 kaki sebelum ia kembali stabil di ketinggian 37,000 kaki.

Semua itu berlaku dalam tempoh kurang dua saat, tambah laporan tersebut.

Biro itu menambah, gelora udara teruk itu disebabkan fenomena ‘updraft’ atau arus udara yang bergerak ke atas.

Lajur udara itu bertindak seperti lif yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan boleh menyebabkan ketinggian pesawat meningkat secara tiba-tiba.