Minat terhadap tarian kuda kepang masih kukuh, bahkan bangkit semula sejak kebelakangan ini, didorong faktor seperti pengaruh media sosial, kata pengamal dan pakar.
Presiden Persatuan Kuda Kepang Singapura, Encik Iswandiarjo Wismodiarjo, memberitahu Berita Minggu (BM) jumlah kumpulan kuda kepang di Singapura meningkat daripada lima kepada 45 kumpulan sejak 2008.
Setakat ini, terdapat seramai sekitar 1,400 anggota kuda kepang merentasi 45 kumpulan kuda kepang di Singapura.
“Lima kumpulan utama ini berpecah kepada kira-kira 45 kumpulan.
“Ini kerana ada anggota yang ingin menjadi ketua sendiri. Ketua lama sudah berusia jadi ramai anak murid yang ingin mengambil alih sebagai ketua,” jelasnya.
Baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan semula satu nasihat di media sosial yang mengingatkan masyarakat beberapa amalan dalam kuda kepang, termasuk dirasuk dan melakukan perkara seperti mengunyah kaca serta meminum berbaldi air, bercanggah dengan Islam.
Menurut Encik Iswandiarjo, kumpulannya iaitu Kesenian Tedja Timur – antara kumpulan kuda kepang tertua di sini – cuba membuat penyesuaian bagi menjauhi amalan yang menyimpang daripada Islam.
Ini membawa kepada peningkatan dalam minat terhadap seni itu, katanya.
Contohnya, unsur menurun atau dirasuk tidak lagi wujud dalam kalangan banyak kumpulan kuda kepang di Singapura, kata Encik Iswandiarjo, meskipun ada juga kumpulan yang masih mengamalkannya.
Kesenian Tedja Timur masih melibatkan amalan seperti ‘makan kaca’ tetapi anggota disarankan memakan pisang sebelum persembahan kerana serpihan kaca akan melekat di pisang dan tidak mencederakan mulut.
Mereka kemudian meludahkan kaca di dalam baldi air sebelum meminum air dari baldi tersebut supaya tidak tertelan kaca.
Diminta pendapatnya, seorang ustaz yang giat mendekati kumpulan kuda kepang tetapi enggan namanya disiarkan, berkata penggunaan alat peraga sebegitu boleh menimbulkan isu ‘memperdayakan’ penonton dan menimbulkan fitnah dalam kalangan mereka yang menyaksikan aksi tersebut.
Kesenian Tedja Timur mempunyai sekitar 120 anggota – kira-kira 70 daripada mereka merupakan anggota logistik, manakala sekitar 50 anggota pula adalah penari dan pemuzik.
Satu lagi kumpulan kuda kepang setempat, Telung Turonggo, yang diwawancara BM pula berkata mereka tidak melakukan amalan menurun kerana menyifatkan ia “amalan orang lama”.
Sementara itu, penyelidik seni, Encik Zulkifli Mohamed Amin, berkata minat terhadap kuda kepang bangkit semula disebabkan usaha untuk menghidupkan semula budaya, inisiatif pendidikan serta pengaruh media sosial.
“Terdapat gerakan semakin berkembang dalam masyarakat Melayu bagi menghidupkan dan mengekalkan kesenian tradisional sebagai cara untuk menyambung semula ikatan dengan warisan mereka.
“Ini menjangkau kepada kumpulan etnik Jawa, Bawean, Bugis dan lain lagi. Kuda kepang, satu tarian tradisional Jawa, telah menjadi tumpuan kepada usaha ini,” kata Encik Zulkifli, yang membuat penyelidikan khusus tentang kuda kepang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg