Topik diikuti
Pergi ke BHkuKuih tradisional gergasi rancakkan festival di Tampines
Kuih tradisional gergasi rancakkan festival di Tampines
Festival ‘The Great Tampines Kueh-scape’ rai warisan bilang budaya Singapura sempena Festival Keluarga Nasional 2026
Kuih tradisional gergasi rancakkan festival di Tampines
Taman permainan yang dilengkapi kuih-muih tradisional gergasi menyemarakkan suasana Our Tampines Hub (OTH) dengan pelancaran rasmi Festival The Great Tampines Kueh-scape pada 20 Jun.
Festival sembilan hari itu bertujuan meraikan warisan berbilang budaya Singapura menerusi pameran imersif, persembahan dan juga pengalaman interaktif untuk seisi keluarga.
Festival itu dirasmikan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC Tampines.
Diadakan sempena Festival Keluarga Nasional 2026 anjuran Keluarga Sepanjang Hayat, lebih 10,000 pengunjung dijangka menghadiri festival itu sepanjang ia dibuka.
Menjelaskan lanjut, jurucakap OTH berkata festival tersebut mewujudkan peluang bagi penduduk untuk berkumpul dan berhubung antara satu sama lain.
“Sambutan tahun ini meneruskan matlamat tersebut dengan mengubah unsur budaya yang dekat di hati masyarakat menjadi pengalaman bersama yang mudah diakses, menarik dan bermakna untuk semua peringkat usia.
“Lebih daripada sekadar pameran dan persembahan, festival ini mencerminkan komitmen OTH dalam memupuk sebuah masyarakat yang terangkum dan bertenaga, yang mana penduduk boleh berinteraksi, mengambil bahagian dan mencipta kenangan yang berkekalan bersama,” katanya.
Antara tarikan utama ialah Kueh Gym, sebuah taman permainan bertemakan kuih yang menampilkan pelbagai kuih bersaiz gergasi, termasuk gelang panjat muruku dan tangga berbentuk kuih lapis.
Pengunjung turut berpeluang bermain di sekitar replika besar ang ku kueh yang menjadi tumpuan utama ruang tersebut.
Pengunjung juga berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai cabaran ringkas si kawasan OTH dan pusat beli-belah Tampines Mall, menerusi permainan aplikasi mudah alih yang mengajak peserta meneroka lokasi tertentu sambil membuka dan mengumpul kuih digital.
Mereka yang berjaya menyelesaikan cabaran itu berpeluang menebus pek hadiah eksklusif, selagi stok masih ada.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, sebanyak 9,000 kupon permainan percuma disediakan kepada keluarga dan penduduk berpendapatan rendah, manakala minuman Yeo’s turut ditawarkan secara percuma kepada pengunjung.
Kenangan dan pengalaman sepanjang festival itu pula boleh dikongsi menerusi Tembok Masyarakat, atau Community Wall, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam menggalakkan penduduk berkongsi kenangan serta tradisi keluarga masing-masing.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai persembahan sepanjang cuti sekolah Jun, termasuk pertunjukan akrobatik udara, persembahan gendang pelbagai budaya yang menghimpunkan 250 belia di bawah pimpinan kumpulan genderang Melayu, Nadi Singapura, serta sesi nyanyian beramai-ramai serta persembahan muzik secara langsung.
