Dalam usaha menentang pengubahan wang haram menerusi sistem kewangan Singapura, kumpulan yang dianggap sebagai barisan hadapan seperti agensi hartanah dan peniaga barangan mewah akan dinasihatkan tentang cara mengenal pasti tanda amaran bagi urus niaga yang mencurigakan.
Kumpulan perniagaan sedemikian, yang turut dianggap sebagai penjaga kawalan akan dilibatkan agensi relevan tentang cara membina keupayaan mereka dalam mencegah dan mengenal pasti risiko dalam pengubahan wang haram.
Langkah membanteras pengubahan wang haram dikongsi pada 4 Oktober, dalam satu laporan oleh Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) mengenai Anti Pengubahan Wang Haram (AML), kepada media di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Selain pencegahan, laporan itu turut menekankan rangka kerja pengesanan dan penguatkuasaan yang sedang dipertingkatkan.
Sidang akhbar itu diketuai Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang juga Pengerusi IMC mengenai Pengubahan Wang Haram; dan turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling serta Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.
Cik Indranee menegaskan bahawa kumpulan yang dianggap penjaga kawalan merupakan kumpulan kritikal dalam mencegah pengubahan wang haram, maka lebih banyak sokongan akan diberikan kepada mereka.
“Sektor berkepentingan yang menyelia akan mengemas kini panduan mereka dalam beberapa bulan akan datang supaya kumpulan penjaga kawalan ini lebih jelas tentang apa yang diperlukan daripada mereka.
“Kami juga akan membantu kumpulan penjaga kawalan ini untuk membina keupayaan, seperti latihan tentang perkara yang perlu perhatian dalam mengenal pasti urus niaga yang mencurigakan selain memberi pemahaman lebih baik tentang kewajipan mereka,” katanya.
Antara sektor berkepentingan yang menyelia termasuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bagi institusi kewangan dan bank; dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) bagi akauntan dan penyedia perkhidmatan korporat (CSP).
Jawatankuasa itu ditubuhkan pada November 2023 untuk mengkaji rangka kerja anti-pengubahan wang haram Singapura berikutan penahanan 10 warga asing pada Ogos tahun itu.
Kes itu dianggap sebagai pengubahan wang haram terbesar di Singapura yang melibatkan lebih $3 bilion harta dan aset dirampas oleh pihak berkuasa.
Sembilan lelaki dan seorang wanita, berasal dari China, dijatuhi hukuman penjara antara 13 dengan 17 bulan.
Cik Indranee menambah bahawa kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion itu memberikan pengajaran berharga tentang bagaimana penjenayah telah menyesuaikan taktik mereka untuk mengelak daripada dihidu penguatkuasa Singapura.
IMC ditubuhkan untuk mengkaji semula rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram di sini untuk memastikan sistem Singapura kekal relevan terhadap taktik penjenayah yang semakin licik.
Walaupun langkah ke atas firma yang dikawal selia seperti bank, CSP dan agensi hartanah telah diperketatkan, firma tidak dikawal selia seperti peniaga kereta juga akan dinasihatkan tentang cara mencegah dana haram daripada menceroboh sistem.
Apabila ditanya sama ada terdapat senarai barangan bernilai tinggi yang perlu diberi perhatian, Cik Indranee berkata penjenayah yang terlibat dalam pengubahan wang haram biasanya akan membeli barangan mahal seperti hartanah mewah dan kereta untuk mengekalkan nilai hasil haram mereka.
Namun, pembelian tersebut semakin mudah dikenal pasti oleh pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan anti-pengubahan wang haram.
IMC turut memberi tumpuan kepada pengesanan pengubahan wang haram.
Singapura juga akan mengukuhkan mekanisme perkongsian maklumat antara agensi pemerintah dengan perbaiki komunikasi untuk mengesan dengan pantas, jenayah yang berpotensi berlaku.
Salah satu caranya ialah menerusi wadah baru yang akan diperkenalkan, Silang Pengesahan AML Nasional untuk Penilaian Ancaman oleh Agensi Pemerintah (Navigate), yang akan diketuai Pasukan Polis Singapura (SPF).
Di bawah Navigate, agensi penguatkuasa undang-undang serta agensi berkaitan yang lain akan menapis pangkalan data satu sama lain untuk mengenal pasti firma yang mencurigakan dengan lebih pantas.
Navigate akan dilancarkan dalam beberapa tahun akan datang.
Pemerintah juga akan menubuhkan kumpulan kerja, diketuai oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan SPF, untuk mengemas kini dasar operasi, proses perkongsian data dan keupayaan pengesanan.
Rang undang-undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Perkara Lain yang diluluskan di Parlimen pada 6 Ogos, akan membenarkan mahkamah Singapura mengarahkan penjualan harta yang dirampas, yang dikaitkan dengan jenayah, tanpa persetujuan pihak terbabit.
Sebelum ini, pihak berkuasa terpaksa menyelenggara hartanah tersebut sekiranya tiada kata sepakat dicapai antara pihak.
Sektor berkepentingan yang menyelia kumpulan penjaga kawalan juga akan sentiasa menyemak semula rangka kerja denda bagi mencegah pengubahan wang haram agar ia kekal setara dengan jenayah yang mereka lakukan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg