Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan kebajikan minta bantuan, 6 arnab diselamat dari taman di Bukit Panjang

Jan 5, 2025 | 7:20 PM
Sekurang-kurangnya enam ekor arnab terbiar telah diselamatkan dari kawasan Taman Semula Jadi Zhenghua sejak Disember.
Sekurang-kurangnya enam ekor arnab terbiar telah diselamatkan dari kawasan Taman Semula Jadi Zhenghua sejak Disember. - Foto BUNNY WONDERLAND FACEBOOK

Satu kumpulan penyelamat arnab meminta bantuan daripada penduduk di kawasan Taman Semula Jadi Zhenghua yang terletak di estet Bukit Panjang supaya sentiasa memerhatikan jika terdapat beberapa ekor arnab yang terbiar.

Dalam catatan Facebook pada 4 Januari, Bunny Wonderland, sebuah kumpulan kebajikan haiwan persendirian dengan 20,000 pengikut di Facebook, berkata ia menerima laporan mengenai arnab terbiar berhampiran Blok 468 Segar Road.

Ia juga menerima laporan mengenai tiga lagi arnab terbiar yang dilihat di kawasan itu pada hari itu.

Dalam hantaran Facebook terbarunya pada 5 Januari, kumpulan itu berkata ia masih mencari dua daripada arnab terbiar itu – seekor berwarna putih dan seekor lagi coklat.

Beberapa pemilik arnab telah menyertai pencarian itu dan sukarelawan akan terus mengawasi kawasan itu pada masa yang berbeza dalam sehari, katanya, lapor The Straits Times (ST).

Menggalakkan penduduk estet lain membantu dalam usaha menyelamat, kumpulan itu berkata masa terbaik untuk mencari adalah pada waktu pagi antara 8 pagi dengan 10 pagi, dan pada waktu malam dari 6 petang hingga 10 malam, apabila arnab bergerak aktif dan mencari makanan.

Sekurang-kurangnya enam ekor arnab telah diselamatkan dari kawasan Taman Semula Jadi Zhenghua sejak Disember.

Lima diselamatkan oleh Bunny Wonderland dan seekor diselamatkan oleh Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA).

“Sudah jelas bahawa taman ini malangnya telah menjadi tempat pembuangan haiwan peliharaan yang tidak diingini,” kata Bunny Wonderland.

Kumpulan itu merayu kepada penduduk di kawasan itu supaya sentiasa berwaspada.

“Jika anda melihat arnab atau melihat sesuatu yang luar biasa, hubungi kami dengan segera supaya kami boleh membantu.

“Bersama-sama, kita boleh menghentikan pengabaian haiwan peliharaan dan memastikan haiwan ini mendapat penjagaan yang sewajarnya.”

Ia menambah bahawa seorang pencinta haiwan yang prihatin, yang membantu Bunny Wonderland menyelamatkan arnab kelima dari kawasan itu, telah melaporkan kejadian itu kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).

ST telah menghubungi AVS dan Bunny Wonderland untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg