Tindakan yang membawa ancaman kepada masyarakat tidak ada tempat dalam sebuah masyarakat majmuk, kata Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama (Harmony Circle) dalam satu hantaran di Facebook pada 25 September.
Kenyataan tersebut dikeluarkan menyusuli kejadian penemuan sebuah bungkusan mencurigakan di Masjid Al-Istiqamah, pada 24 September.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 25 September telah mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi daging dan ia bukan kejadian terpencil.
Beberapa anggota rangkaian itu turut membuat lawatan ke masjid tersebut pada hari yang sama seiring semangat perpaduan.
Ini termasuk pengasas kuil Di Zang Lin, Venerable Shi You Wei, dan Naib Pengerusi Kuil Sri Vairavimada Kaliamman (SVKT), Encik Dinesh Natarajan.
“Apabila kita berdiri bersatu padu, ia menunjukkan bahawa serangan terhadap satu agama sebenarnya menjejas masyarakat lain juga,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan berasingan.
Dalam pada itu, Harmony Circle telah menyampaikan rasa simpati kepada pihak pengurusan masjid, serta masyarakat Islam yang terkesan akibat kejadian tersebut.
Menurutnya, anggota kumpulan Serangoon Harmony Circle di bawah Harmony Circle, telah berhubung dengan para pemimpin Masjid Al-Istiqamah dan bersedia menghulurkan sokongan.
“Kejadian tersebut menitikberatkan betapa pentingnya usaha mengekalkan keharmonian agama dan kaum yang selama ini menjadi kekuatan utama Singapura,” jelas Harmony Circle.
Menurut Harmony Circle, meskipun kejadian tersebut berjaya ditangani oleh pihak berkuasa dan tiada ancaman lanjut terhadap masyarakat, kejadian itu memberi peringatan tegas mengenai semangat perpaduan.
“Daripada membiarkan rasa takut dan perpecahan menguasai, marilah kita memilih untuk bersatu dengan menyokong antara satu sama lain, kekal tenang, dan memperkukuh kepercayaan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama,” kata kenyataan itu.
Dengan itu, Harmony Circle melahirkan komitmen mereka dalam memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipelihara dalam masyarakat berbilang budaya.
Ini termasuk usaha mendekati masyarakat serta inisiatif lain di kawasan kejiranan, demi membina hubungan rapat dan memperkukuh perpaduan.
“Keharmonian bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia perlu dipupuk, dipelihara dan diwarisi oleh generasi seterusnya,” tambah kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg