Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin agama kecam perbuatan jejas keamanan rumah ibadat

Sep 25, 2025 | 9:34 PM
Shanmugam, pemimpin agama
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (kanan) semasa pertemuan dengan pemimpin agama di Masjid Al-Istiqamah pada 25 September. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Para pemimpin agama setempat telah menggesa masyarakat Singapura agar terus bersatu hati demi menjaga keharmonian beragama serta mengecam sebarang tindakan yang menjejas keamanan.

Ini menyusuli kejadian bungkusan berisi daging yang diterima Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North Avenue 2 pada 24 September.

Masjid tersebut terpaksa dikosongkan ekoran bungkusan yang mencurigakan itu.

Menurut beberapa pemimpin agama yang mengunjungi masjid itu pada 25 September sebagai tanda prihatin dan sokongan, kejadian tersebut turut menimbulkan keresahan dalam kalangan penganut agama lain.

Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura dalam satu hantaran di Facebook berkata tempat-tempat ibadat harus kekal sebagai ruang selamat bagi orang ramai:

“Masjid, kuil, gereja dan rumah ibadat lain di Singapura merupakan tempat perlindungan bagi ramai.

“Ia harus kekal sebagai ruang yang selamat dan tenteram bagi semua yang mencari ketenangan, renungan dan ibadat secara berjemaah.”

Kenyataan itu menegaskan pendirian IRO dalam menentang sebarang tindakan yang mengancam keamanan dan keselamatan rumah ibadat Singapura, atau yang boleh menjejas keharmonian beragama.

“Sesuatu perbuatan yang ditujukan terhadap satu agama adalah perbuatan terhadap semua agama.

“Kami berdiri teguh bersama saudara-saudara Muslim dan berdoa agar keamanan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk kita terus berkekalan,” ujar IRO.

Pengasas kuil Di Zang Lin, Venerable Shi You Wei, yang ditemui di Masjid Al-Istiqamah berkongsi beliau berasa bimbang ketika mendengar berita tersebut.

“Kejadian sebegini tidak seharusnya berlaku di Singapura, lebih-lebih lagi di negara kita yang sudah lama mengekalkan keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Beliau, yang merupakan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS), turut menitikberatkan sikap saling menghormati serta pemahaman yang betul terhadap agama lain.

“Saya menasihatkan agar anggota masyarakat umum mempunyai pemahaman yang betul tentang mana-mana agama.

“Tidak perlu juga untuk merendahkan atau menafikan agama lain. Bagi mereka yang tidak beragama sekalipun, adalah lebih baik untuk tidak mencampuri urusan agama kerana ia perkara yang dekat di hati penganutnya,” ujar beliau.

Pengasas Kuil Di Zang Lin, Venerable Shi You Wei (kiri), bersama Naib Pengerusi Kuil SVKT, Encik Dinesh Natarajan, menekankan kepentingan menjaga kehormatan dan saling berwaspada demi mengekalkan keharmonian bersama.
Pengasas Kuil Di Zang Lin, Venerable Shi You Wei (kiri), bersama Naib Pengerusi Kuil SVKT, Encik Dinesh Natarajan, menekankan kepentingan menjaga kehormatan dan saling berwaspada demi mengekalkan keharmonian bersama. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Naib Pengerusi Kuil SVKT, Encik Dinesh Natarajan.

Menurut beliau, masyarakat tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya perlu saling bergantung dan berwaspada demi mengekalkan keharmonian bersama.

Kejadian tersebut tambah beliau, harus dijadikan peringatan tentang pentingnya keselamatan dan keharmonian sosial di Singapura.

“Sekiranya perkara seperti ini berlaku, bukan sahaja masyarakat Islam yang akan terkesan, malah masyarakat Cina, Buddha, atau mana-mana pihak lain juga boleh turut terjejas.

“Kita semua perlu lebih berwaspada dan tidak memandang ringan dalam hal sebegini. Kejadian ini wajar menjadi peringatan bahawa keselamatan dan keharmonian mesti dijaga bersama.

“Kami daripada masyarakat Hindu bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan kepada masyarakat Islam,” ujar beliau.

Didorong semangat menolong, Encik Dinesh berkata pihaknya telah menghubungi pihak masjid dan menawarkan bantuan.

“(Apabila ia berlaku) Kami terus menghubungi pihak masjid untuk bertanya keadaan mereka dan jika ada apa-apa bentuk bantuan segera yang diperlukan.

“Meskipun sekadar keperluan harian seperti makanan atau minuman, kami memang sedia membantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, sokongan padu yang ditunjukkan oleh para pemimpin agama lain memang dihargai oleh anggota jemaah seperti Encik Mohd Ali Mahmood, 73 tahun.

Beliau yang kerap menunaikan solat subuh di Masjid Al-Istiqamah dan sudah menetap di daerah Sengkang selama lapan tahun berkata:

“Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa keamanan yang kita nikmati bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia perlu dipelihara bersama.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg