Lazimnya, kebanyakan Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) berlatih di hutan tebal atau meronda di jalan raya.
Namun, sekumpulan khas NSF sedang ‘berperang’ di alam maya untuk membanteras penipuan atau ‘scam’.
Dikenali sebagai Pengendali Jenayah Siber Perkhidmatan Negara (NSCO), mereka meneroka media sosial untuk mencari penipu dan menyekat laman web penipuan supaya tidak lagi dapat diakses orang ramai.
Terdapat 10 NSF dalam jawatan baru itu, yang diperkenal pada 2024 untuk memperkukuh usaha Singapura dalam menangani penipuan.
Pada 2024, mangsa penipuan kehilangan $1.1 bilion.
Seorang jurucakap polis berkata, pihaknya merancang untuk terus mengembangkan jawatan NSCO itu bagi menyokong lebih banyak usaha membanteras jenayah siber.
Seorang anggota kumpulan perintis, Konstabel Khas (SC) Irfan Daniyal Mohammad Shaarin, 21 tahun, menyamakan usaha mengesan kegiatan penipuan di media sosial umpama menjadi pemburu di hutan.
“Sejurus sahaja saya memulakan tugas, keadaannya lepas bebas buat saya.
“Secara proaktif, saya akan mencari sesiapa atau apa sahaja yang memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam usaha menghapuskan akaun-akaun sedemikian,” ujar beliau.
SC Irfan dan rakannya, SC Tan De Xun, 22 tahun, berkongsi pengalaman mereka dengan akhbar, The Straits Times (ST), pada 9 Julai di Kompleks Polis Cantonment.
Mereka berdua memiliki diploma dalam teknologi maklumat dan tidak menyangka akan berkhidmat kepada negara dengan cara sebegitu semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
SC Tan beranggapan beliau akan menjadi kerani pentadbiran, memandangkan kebanyakan rakan-rakannya ditempatkan dalam tugas sedemikian.
Namun, beliau dipanggil untuk ujian kebolehan dan temu duga bagi jawatan baru tersebut.
Polis berkata pemilihan untuk jawatan itu dilakukan semasa Kursus Asas Pegawai Polis.
NSF yang sesuai dipilih berdasarkan kebolehan dan kemahiran mereka.
Peranan SC Tan, yang bertugas di Pusat Perisikan Ancaman di bawah Komand Jenayah Siber Polis, membantu pegawai polis mengenal pasti dan menyekat laman web penipuan.
Contoh laman web palsu yang akan disekatnya termasuk akaun yang menyamar sebagai selebriti atau pemimpin politik untuk menjual mata wang kripto, atau laman web bank tiruan yang menipu mangsa.
SC Tan, yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang sistem kecerdasan buatan (AI) perniagaan di universiti, berkata:
“Masa saya di sini memuaskan kerana dengan menyekat laman web penipuan, saya melindungi penduduk tempatan daripada terdedah kepadanya.”
Di Komand Antipenipuan, SC Irfan mencari kegiatan penipuan di media sosial seperti akaun yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
Beliau bekerjasama dengan pegawai polis untuk memaklumkan pemilik wadah media sosial, yang dimestikan bertindak segera di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian.
Antara penipuan biasa yang ditemuinya adalah hantaran palsu mengenai baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang cuba mengumpan pengguna supaya mengklik pautan ke laman web yang boleh mencuri maklumat peribadi mereka.
Pada Februari, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan seperti ini, sambil menyatakan bahawa mangsa mungkin melihat hantaran Instagram yang mengarahkan mereka mendapatkan baucar CDC melalui pautan RedeemSG yang palsu.
Menurut SC Irfan, cabaran dalam menentang jenayah siber ialah akaun penipuan yang muncul berulang kali.
Beliau berkata: “Setiap kali saya menurunkan satu akaun penipuan, saya akan melihat satu lagi akaun dengan nama serupa dalam tempoh beberapa hari atau beberapa jam.”
Berkongsi pengalamannya, SC Irfan berkata beliau telah melihat beberapa anggota keluarga dan rakannya menjadi mangsa penipuan, hingga mendorong beliau berusaha lebih gigih supaya nasib serupa tidak menimpa orang lain.
“Saya tidak tahan melihat orang yang saya sayang rasa tidak berdaya... jadi saya bekerja dalam bidang yang boleh memberi impak kepada lebih ramai orang pada masa depan,” tambahnya.
SC Irfan, yang dari kecil ingin menjadi pegawai polis, menambah:
“Walaupun saya tidak meronda di lapangan atau bergelut dengan penjenayah, saya melakukan apa yang saya mampu dengan kebolehan saya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg