Lebih 200 individu sedang disiasat atas peranan mereka dalam kes-kes penipuan yang melibatkan kerugian melebihi $5.84 juta, berikutan operasi polis selama dua minggu.
Mereka disyaki terlibat sebagai penipu atau ‘keldai wang’ dalam lebih 980 kes, termasuk penipuan pelaburan, pekerjaan, e-dagang, penyamaran sebagai rakan atau pegawai pemerintah, dan penipuan sewa, lapor The Straits Times (ST).
Suspek-suspek tersebut terdiri daripada 83 wanita dan 149 lelaki, berumur antara 17 dengan 77 tahun.
Operasi di seluruh Singapura itu dijalankan dari 23 Mei hingga 5 Jun, menurut satu kenyataan polis pada 6 Jun.
Kes penipuan semakin meningkat di Singapura, dengan jumlah kes yang dilaporkan meningkat setiap tahun sejak 2019.
Pada 2024, terdapat 51,501 kes penipuan dilaporkan dengan kerugian melebihi $1.1 bilion – kali pertama lebih satu bilion dolar hilang akibat penipuan dalam setahun di negara ini.
Suspek-suspek dalam operasi terbaru itu disiasat atas kesalahan menipu, mengubah wang haram, atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen.
Jika disabitkan kesalahan menipu, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda.
Mereka yang disabitkan kesalahan pengubahan wang haram boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga $500,000, atau kedua-duanya.
Mana-mana individu yang didapati bersalah kerana menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda hingga $125,000, atau kedua-duanya.
Bagi maklumat lanjut mengenai penipuan, lungsuri laman beralamat www.scamshield.gov.sg atau hubungi talian ScamShield di 1799.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penipuan boleh menghubungi talian polis di 1800-255-0000 atau menghantar maklumat dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg