Majlis Khatam Al-Quran Perdana yang pertama oleh Nur Al-Quran Singapura telah diadakan di Masjid Ar-Raudhah sambil menyumbang dana untuk peningkatan semula masjid tersebut.
Acara ini disertai seramai 300 anggota kumpulan Nur Al-Quran pada 8 September lalu. Seramai 31 pentadbir telah bersama-sama membantu menjayakan majlis yang berlangsung di masjid yang terletak di Bukit Batok East Avenue 2 itu.
Kumpulan Nur Al-Quran telah ditubuhkan pada Januari 2017. Sehingga kini, ia terdiri daripada 71 kumpulan dan mempunyai seramai 3,120 ahli. Malah ahlinya bukan setakat di Singapura bahkan dari luar negara seperti Abu Dhabi, Dubai, Mesir, Las Vegas di Amerika Syarikat, Italy, Perancis, Jerman, China, India, New Zealand, Australia, Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Selesai majlis Khatam Al-Quran, Masjid Ar-Raudhah mengadakan bengkel Tahsin Al-Quran, atau memperelok bacaan Al-Quran, yang dipimpin oleh Penasihat Nur Al-Quran Singapura, Ustaz Mohd Ali Atan, yang juga Pengerusi Eksekutif Kanan di Masjid Ar-Raudhah.
Ustaz Mohd Ali berkata majlis dan bengkel yang diadakan mendapat sambutan menggalakkan.
“Alhamdulillah ahli beri maklum balas positif bengkel Tahsin dan minta diadakan lagi. Terima kasih kepada semua ahli Nur Al-Quran yang mengambil bahagian, yang menderma dan yang menghulur sumbangan makanan untuk majlis tersebut. Semoga diberkati Allah swt dengan berkat Al-Quran. Baca Al-Quran, hidup berkah,” kata Ustaz Mohd Ali.
Selain Masjid Ar-Raudhah, Kumpulan Nur Al-Quran Singapura telah diundang menyertai majlis Khatam Al-Quran di masjid-masjid lain sambil membantu mengumpul dana. Antaranya Masjid Al-Amin, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Angullia, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Masjid An-Nur, Masjid Mujahidin dan Masjid Hussain Sulaiman.
Masjid Ar-Raudhah masih lagi giat mengumpul dana untuk peningkatannya yang bakal bermula pada akhir tahun ini. Projek ini memerlukan $8.5 juta bagi menampung kos peningkatan dan prasarana lain.
Masjid ini akan dinaik taraf dengan memperkenalkan kemudahan penting, khususnya bagi mewujudkan lebih banyak ruang solat jemaah, menaik taraf bilik darjah tadika dan menjadikannya lebih mesra orang kurang upaya dan mesra warga emas.
Memandangkan penduduk yang semakin menua, masjid ini menyasarkan untuk menyediakan kemudahan yang lebih mudah diakses oleh warga emas dan jemaah kurang upaya bagi memastikan mereka dapat menggunakan kemudahan masjid dengan selesa lebih-lebih lagi untuk penduduk berdekatan.
Sebelum ini, pelbagai usaha dijalankan seperti jualan sate amal, nasi beriani amal dan juga kempen berwakaf sebanyak $50 bagi satu lot dan wakaf eksklusif $100 dengan penderma akan mendapat hadiah istimewa kurma Ajwa satu kilogram selagi stok masih ada.
Cara menyumbang kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. Tabung Masjid: Sila berikan sumbangan anda ke dalam tabung yang disediakan di masjid ini.
2. PayNow ke: UEN S93MQ0024E atau imbas kod QR yang disediakan.
3. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC Akaun 501-806368-001.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg