Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan pemandu kenderaan sewa privet nasional gesa Grab tangguh ubah skim bonus

Bimbang perubahan bakal kurangkan pendapatan kebanyakan pemandu sepenuh masa
Jun 24, 2025 | 2:31 PM
Grab, NPHVA
Grab dijadual melaksanakan perubahan pada skim insentif bagi pemandunya mulai 1 Julai, termasuk pengenalan ‘Streak Zones’ dan semakan semula kadar bonus bulanan. Namun, langkah itu menerima bantahan daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) yang bimbang dan mahukan perbincangan lanjut. - Foto ST

Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) telah meminta platform e-hailing, Grab, agar menangguhkan pelaksanaan perubahan skim insentifnya yang dijadual bermula 1 Julai bagi “perbincangan lanjut”.

Dalam satu mesej dalam aplikasi yang dihantar kepada para pemandu pada 20 Jun, Grab mengumumkan bahawa mulai 1 Julai, ‘Streak Zones’ akan ditawarkan kepada semua pemandu rakan kongsi, bersama semakan semula skim bonus bulanan sedia ada, lapor The Straits Times (ST).

‘Streak Zones’ sebelum ini telah diuji pada Mei 2024.

Ia membolehkan pemandu menempah slot masa lebih awal selama dua jam untuk memandu di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan semua tempahan mereka diterima secara automatik.

Slot itu biasanya melibatkan waktu sibuk.

Pemandu akan menerima pulangan tunai 5 peratus bagi setiap perjalanan yang diselesaikan.

“Bayaran dibuat keesokan harinya, meningkatkan aliran tunai bagi pemandu,” kata Grab kepada ST.

Namun, NPHVA bimbang perubahan itu akan mengurangkan pendapatan kebanyakan pemandu sepenuh masa, kata penasihat persatuan itu, Cik Yeo Wan Ling, dalam sebuah hantaran Facebook pada 23 Jun.

Skim bonus bulanan Grab, yang sebelum ini dikenali sebagai Grab Streak Bonus, mempunyai tiga peringkat, setiap satu dengan struktur bonus tersendiri. 

Semakin banyak perjalanan yang dilengkapkan oleh pemandu dalam sebulan, semakin tinggi peratusan bonus yang diterima berdasarkan jumlah perjalanan dan peringkat mereka.

Namun mulai 1 Julai, peratusan bonus akan dikurangkan.

Sebagai contoh, bonus bagi perjalanan ke-300 hingga ke-499, yang kini bermula pada 8 peratus, akan dikurangkan kepada 4 peratus untuk pemandu di tahap paling rendah.

Pada masa ini, pemandu yang melengkapkan sekurang-kurangnya 300 perjalanan layak menerima bonus tunai sebanyak $30, $80 atau $100, bergantung pada tahap insentif masing-masing.

Namun mulai 1 Julai, pemandu di tahap terendah tidak akan mendapat bonus tersebut, manakala jumlah bagi dua tahap seterusnya turut dikurangkan kepada $30 dan $50.

Pemandu di tahap tertinggi yang menyelesaikan 651 atau lebih perjalanan pula masih boleh memperoleh bonus sehingga 21 peratus, berbanding 701 perjalanan yang diperlukan dalam skim sedia ada.

Bonus mingguan antara $25 dengan $68 juga akan diberikan kepada pemandu yang menyelesaikan lebih banyak ‘Streak Zones’.

Cik Yeo, Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata perubahan itu menjadikan pendapatan pemandu lebih sukar dijangka.

“Kerumitan itu membuatkan pemandu sukar menentukan sama ada mereka akan memperoleh pendapatan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

NPHVA mengulangi gesaan agar Grab mengadakan “perundingan lebih bermakna” sebelum membuat perubahan yang mempengaruhi pendapatan pemandu, ujar Cik Yeo. 

Beliau juga menyatakan tiada jaminan bahawa slot ‘Streak Zones’ akan mencukupi untuk semua pemandu.

Sebagai respons, Grab memberitahu ST bahawa keputusan menyalurkan semula dana daripada skim bonus bulanan kepada peluasan ‘Streak Zones’ bertujuan memastikan slot yang mencukupi bagi mereka yang ingin menyertainya.

Grab bagaimanapun tidak memberi maklum balas sama ada ia akan menangguhkan pelancaran ciri baru tersebut.

Syarikat itu berkata langkah tersebut akan meningkatkan potensi pendapatan pemandu, memadankan bekalan dengan permintaan tinggi, serta menyokong pemandu sambilan dan memberi ganjaran kepada pemandu sepenuh masa.

Ciri ‘Streak Zones’ dibangunkan bersama pemandu melalui ujian kecil dan perbincangan kumpulan fokus, dengan peningkatan seperti mengurangkan slot dari tiga jam kepada dua jam dan mengurangkan keperluan dalam talian daripada 85 peratus kepada 70 peratus.

Dalam ruangan komen pada hantaran Facebook Cik Yeo, beberapa pemandu turut menyuarakan cadangan agar tambang asas dinaikkan, sistem harga yang lebih telus malah ada yang mengusulkan supaya skim insentif seperti itu dimansuhkan terus.

Grab dijadual mengadakan sesi maklum balas bersama para pemandunya pada 26 Jun bagi membincangkan perubahan skim bonus itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg