Kumpulan pengganas semakin memanfaatkan ‘ekonomi gig keganasan’ untuk merekrut individu dan mengembangkan pengaruh sejagat mereka.

Zamil Kanan Fromer-Wexler dari Institut Washington, Dr Matthew Levitt, yang juga Pengarah Program Jeanette dan Eli Reinhard Mengenai Antipengganasan dan Perisikan, berkata mereka yang direkrut tidak semestinya berkongsi ideologi radikal yang sama seperti kumpulan yang melakukan pengganasan.

Malah, individu itu, yang turut merangkumi golongan remaja yang terdedah pada gejala terbabit dalam kegiatan pengganasan, mungkin hanya tertarik kepada modal keuntungan kewangan semata-mata, dan mungkin tidak berminat, tidak tahu, atau terlibat secara langsung dalam tindakan pengganasan.

Dr Levitt berkata demikian dalam ucapannya yang bertajuk, ‘Operasi Luar Iran dan Proksinya Secara Sejagat: Implikasi untuk Asia Tenggara’, dalam sesi dialog tertutup pada 9 Jun, yang diadakan di Hotel Paradox Singapore di Merchant Road.

Beliau berada di Singapura pada 9 dan 10 Jun sebagai Pelawat Terhormat Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara (CENS) Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Dalam ucapannya, Dr Levitt berkongsi bagaimana belia dan rangkaian jenayah terancang telah diupah sebagai proksi kepada kegiatan pengganasan yang beliau sifatkan sebagai ‘ekonomi gig keganasan’.

Menurut Dr Levitt, ‘ekonomi gig keganasan’ ini adalah model transaksi, di mana penaja seperti Iran dan proksi mereka seperti Hezbollah dan Hamas, mengupah rangkaian penjenayah tempatan atau belia untuk melaksanakan operasi demi keuntungan kewangan, dan bukan hanya sebab penjajaran ideologi.

“Kita melihat semakin ramai rakyat Iran, sama ada melalui kumpulan jenayah terancang yang lebih kecil di Eropah, yang menggunakan kumpulan perusuh yang bergabung dengan Russia untuk menyerang atau mengupah orang lain untuk melakukan serangan,” kata Dr Levitt.

Dr Levitt menambah rangkaian proksi itu sering merekrut remaja melalui wadah sosial popular, termasuk Snapchat, Telegram dan laman permainan dalam talian.

Dengan menyasarkan belia rentan yang hanya mencari wang tunai segera atau demi berasa diperkasa, operasi tersebut tidak mudah dikesan oleh metrik antipengganasan tradisional yang mencari tanda radikalisasi agama.

Dr Levitt berkata evolusi taktikal itu merumitkan dengan ketara landskap ancaman untuk Asia Tenggara, sebuah rantau yang mempunyai sejarah kegiatan operasi proksi yang didokumenkan.

“Mereka merekrut remaja berusia 14 tahun, 13 tahun, 18 tahun, kebanyakannya budak lelaki... yang tidak tahu mereka bekerja untuk Iran, mereka tidak tahu apakah sebenarnya yang akan mereka lakukan sehingga saat-saat akhir,” jelasnya.

Dr Levitt menyatakan Singapura sendiri, secara sejarahnya, pernah berhadapan dengan ancaman sedemikian, merujuk pada kes 1990-an, tatkala Hezbollah merekrut lima rakyat Singapura untuk menjalankan pengawasan praoperasi ke atas kedutaan Amerika Syarikat dan Israel.

Baru-baru ini, hubungan rangkaian pengganas di Asia Tenggara ini telah muncul kembali, termasuk plot Hamas yang digagalkan di Greece, di mana ahli sel telah pergi ke sebuah negara anggota Asean untuk menjalankan latihan dan penghasilan bahan letupan.

Menjawab soalan Berita Harian (BH) tentang sama ada terdapat sebab untuk mempercayai ‘ekonomi gig keganasan’ ini kian berleluasa di Singapura, Dr Levitt berkata beliau tidak percaya perkara itu sedang berlaku secara ketara.

Namun, beliau memberi amaran pengaruh ‘ekonomi gig keganasan’ dari badan pengganas di rantau ini mungkin boleh meningkat kerana isu itu “bukanlah sesuatu yang terhad kepada sesuatu kawasan geografi semata-mata”.

Beliau menambah badan ekstremis lain merentasi spektrum ideologi, termasuk kumpulan militan dan ekstremis berhaluan kanan yang tegar, mungkin turut serta dalam menerima pakai strategi ‘ekonomi gig keganasan’ itu juga.

Dr Levitt berkata ejen proksi telah lama mengeksploitasi hab logistik serantau, seperti kes di Thailand, di mana seorang ejen dwinegara menyimpan bahan pembuatan bom, yang disamarkan dalam kotak makanan haiwan peliharaan selama lebih setahun tanpa dikesan.

“Pokoknya ialah Iran dan proksinya bertindak sekarang adalah cara bagaimana kita harus melihat ancaman serangan keganasan dari persekitaran ini secara lebih luas sebagai sebuah entiti,” kata Dr Levitt.

Selain plot operasi, Dr Levitt berkata kebimbangan utama Singapura dan rantau yang lebih luas terletak pada rangkaian perbankan bayangan yang canggih, yang mungkin digunakan negara seperti Iran untuk membiayai operasi sejagatnya.

Beliau menambah risikan kewangan Amerika Syarikat menunjukkan syarikat perdagangan umum di zon perdagangan bebas Timur Tengah kerap berinteraksi dengan rakan niaga yang berpangkalan di Singapura dan Hong Kong untuk membiayai hasil minyak haram.

Rangkaian itu menggunakan pengubahan wang haram berasaskan perdagangan dan mata wang maya untuk menyalurkan ratusan juta dolar kembali kepada proksi, menjadikan Singapura bidang kuasa kritikal untuk pengawasan kewangan.

“Dalam hal ini, terdapat peranan besar yang perlu dimainkan oleh Singapura untuk menjadikannya lebih sukar bagi Iran untuk membiayai kegiatan pengganasannya,” tegas Dr Levitt.

Dr Levitt berkata strategi ‘ekonomi gig keganasan’ ini telah berjaya kerana puak ekstremis yang berbeza semakin bersedia melupakan perbezaan ideologi jika matlamat kontraktor yang direkrut itu sejajar dengan hasrat mereka untuk mengganggu kepentingan negara Barat.

Beliau juga menambah kebangkitan ‘ekonomi gig pengganasan’ memanfaatkan demografi belia yang terhubung di peringkat sejagat dan terasing secara digital kepada dorongan kewangan dan keinginan untuk diterima sebagai sebahagian daripada sebuah tujuan atau kumpulan.

Dengan terbukanya sempadan serantau dan perkembangan seni bina kewangan digital, Dr Levitt berkata agensi perisikan Asia Tenggara mesti beralih melangkaui usaha menjejak radikalisasi ideologi semata-mata, kepada memantau secara aktif rangkaian jenayah transaksional.

“Apa yang berlaku di Timur Tengah tidak semestinya akan berakhir di Timur Tengah,” katanya sambil menekankan ancaman berterusan kumpulan pengganas terhadap kestabilan serantau.

“Mereka (penaja dan proksi) merekrut remaja berusia 14 tahun, 13 tahun, 18 tahun, kebanyakannya budak lelaki... yang tidak tahu mereka bekerja untuk Iran, mereka tidak tahu apakah sebenarnya yang akan mereka lakukan sehingga saat-saat akhir.”
Dr Matthew Levitt, Zamil Kanan Fromer-Wexler dari Institut Washington.