Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan penunggang e-skuter, e-basikal bantu 63 gelandangan

Jan 14, 2024 | 6:30 PM
BAKTI KEPADA MASYARAKAT: Pengasas We The Brotherhood Scooterz, Encik Shahful Kamalrulzaman Ahamad (tujuh dari kanan), bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lapan dari kanan, duduk) selepas selesai daya usaha Homeless 5.0.
BAKTI KEPADA MASYARAKAT: Pengasas We The Brotherhood Scooterz, Encik Shahful Kamalrulzaman Ahamad (tujuh dari kanan), bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lapan dari kanan, duduk) selepas selesai daya usaha Homeless 5.0. - Foto ihsan SHAHFUL KAMALRULZAMAN AHAMAD

Ketika ramai yang sedang nyenyak tidur pada awal pagi 13 Januari lalu, sekumpulan 16 penunggang basikal dan skuter elektrik pula aktif mencari gelandangan yang memerlukan bantuan.

Hasilnya, mereka menemukan 63 gelandangan di sekitar kawasan Bedok South, Chai Chee dan Bedok North.

Usaha murni membantu gelandangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan ‘We The Brotherhood Scooterz’ itu sempena ulang tahun mereka yang ketujuh pada 2024.

Pengasas kumpulan itu, Encik Shahful Kamalrulzaman Ahamad, 39 tahun, berkata mereka menyiapkan 70 beg yang mengandungi barang makanan kering, air mineral, tuala muka, pembersih tangan, berus gigi dan ubat gigi yang telah diagihkan kepada gelandangan yang mereka temui.

Operasi mencari gelandangan itu bermula sekitar 1 pagi pada 13 Januari dari Aranda Country Club.

“Kami sangat terkejut dengan jumlah gelandangan yang kami temui itu kerana kami tidak jangkakan jumlahnya sebanyak ini. Jumlah itu telah meningkat sejak operasi terakhir kami dua tahun lalu.

“Selalunya kami akan mencari mereka (gelandangan) di kolong blok, pantai dan ada juga di semak-semak yang tidak mudah dilihat.

“Perasaan bercampur apabila saya berjumpa dengan gelandangan. Ada rasa marah dan sedih. Tapi saya meletakkan diri saya dalam keadaan seperti mereka dan mula berfikir apa akan terjadi kalau saya seperti begini,” ulas Encik Shahful.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, turut turun padang bertemu dengan kumpulan itu.

“Saya harap kita sama-sama akan meneruskan usaha untuk beramal, berbakti dan juga menjalankan kehidupan kita bersama,” ujarnya.

Selain membantu golongan gelandangan di sini, Encik Shahful berkata kumpulannya juga giat membantu mereka yang kurang berkemampuan termasuk dengan mengecat rumah mereka serta berkunjung ke rumah orang tua dan rumah anak yatim.

Malah, mereka turut menyingsing lengan untuk menghulur bantuan kepada masyarakat yang memerlukan di luar negara termasuk di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg