Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin S’pura: Aidiladha pupuk kebersamaan, daya tahan, ihsan masyarakat Islam S’pura
Pemimpin S’pura: Aidiladha pupuk kebersamaan, daya tahan, ihsan masyarakat Islam S’pura
Pemimpin S’pura: Aidiladha pupuk kebersamaan, daya tahan, ihsan masyarakat Islam S’pura
Sambutan Hari Raya Haji membuka peluang untuk seisi masyarakat menghayati erti persamaan sesama manusia, di mana jua kita berada,
Di samping itu, ia juga peringatan agar kita dapat memberikan sepenuh jiwa dan raga kita kepada golongan yang tidak bersalah tetapi masih terperangkap dalam kancah peperangan serta konflik, dan dinafikan keperluan asas untuk menjalani kehidupan yang sewajarnya.
Itulah pesanan Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam hantaran Facebook pada 27 Mei, sempena Hari Raya Aidiladha.
“Semoga keamanan akhirnya kembali, berteraskan penghormatan terhadap kedaulatan dan hak semua bangsa,” jelasnya lagi.
Sambil melahirkan harapan agar umat Islam yang mendirikan ibadah haji di Tanah Suci berada dalam keadaan selamat dan penuh nikmat, Encik Tharman berkata pengertian haji itu meluas, di mana menerusi pengorbanan, budi dan kerendahan hati, kita dapat meraih kehidupan bermakna.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, terharu dengan daya tahan dan semangat kemasyarakatan yang ditunjukkan semua pihak yang terlibat dalam ibadah korban.
“Saya juga berterima kasih kepada masjid-masjid, para sukarelawan dan rakan kerjasama atas usaha mereka dalam memastikan para penerima bantuan terus disokong, di sebalik cabaran yang menjejas bekalan haiwan ternakan untuk ibadah korban.
“Usaha ini mencerminkan ikatan yang teguh dalam masyarakat kita,” tambahnya.
Encik Wong juga berharap 900 anggota jemaah haji Singapura yang sedang menunaikan ibadah haji di Arab Saudi mendapat haji yang mabrur dan diberkati di samping pulang ke Singapura dengan selamat.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut menyampaikan ucapan Aidiladha beliau dalam hantaran berasingan pada 27 Mei, dengan menyatakan perayaan ini merupakan “detik merenung kembali nilai-nilai pengorbanan, belas kasihan dan mengambil berat terhadap orang lain”.
