Umat Islam diingatkan agar tidak terjebak dalam pelampauan seperti sikap terlalu jumud dan kaku sehingga menolak sebarang bentuk penyesuaian, seolah-olah agama tidak memberi ruang kepada perubahan keadaan.

Mereka juga digesa agar tidak juga terjerat dengan sikap meremehkan hukum-hakam agama sehingga mengabaikan prinsip dan hukum jelas yang ditetapkan Allah swt.

Sebaliknya, dalam menjalani kehidupan, masyarakat Islam digalakkan agar terus mengamalkan pendekatan wasatiyah, atau yang seimbang, dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.

Demikian antara intipati khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, di Masjid Assyakirin, pada pagi 27 Mei.

Sekitar 7,500 anggota jemaah hadir semasa solat Aidiladha di masjid itu, yang diadakan dalam tiga sesi berasingan.

Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, turut hadir sebagai tetamu terhormat bagi sesi pertama yang bermula pada 7 pagi.

Dalam khutbah bertajuk Menelusuri Hikmah Dalam Pelaksanaan Ibadah itu, Dr Nazirudin berkata pendekatan ini penting, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, ketegangan sosial serta salah faham terhadap Islam.

“Umat Islam tidak hidup untuk dirinya sendiri. Pengorbanan kita hari ini melepasi batasan peribadi kepada insan sekeliling, dan seluruh umat manusia.

“Dalam dunia yang berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, ketegangan sosial dan salah faham terhadap Islam, umat Islam perlu tampil sebagai sumber rahmat, hikmah dan penyelesaian,” kata beliau.

Sesuatu hukum, tambah Dr Nazirudin, tidak boleh difahami semata-mata berdasarkan penulisan dalam kitab tanpa mengambil kira realiti kehidupan semasa.

“Bayangkan – jika syariat hanya terikat pada satu bentuk pelaksanaan yang jumud dan sempit, pasti manusia akan berhadapan dengan kesukaran dalam melaksanakan ketaatan dan menzahirkan ketakwaan dalam situasi yang berbeza-beza.

“Sedangkan Allah swt. mengetahui zaman dan keadaan akan terus berubah, manakala cabaran yang dihadapi manusia akan berbeza-beza,” kata beliau.

Khutbah itu menggariskan dua bentuk pelampauan yang sering menjerat manusia.

Golongan yang dipanggil ‘ifrat’ atau terlalu jumud, jelasnya, “membataskan dan mengecilkan ruang yang asalnya luas dalam syariat”.

Mereka yang digelar ‘tafrit’ pula mencari alasan tanpa sandaran kukuh untuk menghalalkan apa yang jelas haram, hanya kerana ingin mengikut hawa nafsu.

Dr Nazirudin menggalakkan umat Islam agar mengambil jalan pertengahan atau ‘Wasatiah’.

“Jalan pertengahan ini, atau ‘Wasatiah’ bukan menggadaikan prinsip agama, malah itulah antara prinsip agama. Ia adalah keseimbangan yang lahir daripada kefahaman yang mendalam terhadap kesempurnaan syariat ini, bahawa ia teguh pada prinsip, tetapi luas dalam pelaksanaan,” katanya.

Keseimbangan dapat dilihat dalam kehidupan seorang Muslim yang memahami agamanya dengan baik.

“Dia tidak menjadikan agama sebagai beban, dan tidak pula menjadikannya ringan tanpa prinsip dan panduan. Sebaliknya, dia menjadikan agama sebagai cahaya yang membimbing langkah dalam menghadapi perubahan zaman,” ujar Dr Nazirudin.

Beliau menarik perhatian kepada pelaksanaan ibadah haji hari ini, di mana ia lebih tersusun dan dikawal dengan lebih rapi dan ketat, kerana jumlah jemaah yang jauh lebih ramai.

Lantas, kemajuan dimanfaatkan untuk membantu jemaah haji melaksanakan ibadah dengan lebih selamat dan teratur.

Perkara sama turut diketengahkan dalam pelaksanaan ibadah korban.

“Jika dahulunya ia dilakukan dan diagihkan dalam kalangan masyarakat setempat, namun pada hari ini, ia turut dilaksanakan di pelbagai tempat di merata dunia bagi mengutamakan golongan yang lebih memerlukan,” ujar Dr Nazirudin.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan umat Islam untuk memperdalamkan kefahaman agama dengan bukan sekadar bertanya sama ada sesuatu perkara “boleh atau tidak boleh”, tetapi memahami hikmah dan tujuan di sebalik sesuatu hukum.

“Ilmu bukan sekadar mengetahui hukum halal dan haram, tetapi memahami tujuan dan hikmah di sebalik sesuatu hukum. Kita perlu beralih daripada semata-mata bertanya, ‘Boleh atau tidak boleh?’, kepada soalan yang lebih meluas dan mendalam: ‘Apakah tujuan dan matlamat (atau maqasid) di sebalik ajaran
ini?’,” tambahnya.

Penting juga untuk umat Islam meletakkan kepercayaan bahawa penyesuaian yang berasaskan ilmu adalah sebahagian keindahan syariat.

“Penyesuaian bukan kelemahan agama, tetapi tanda keluasan rahmat Allah swt. Umat yang memahami ini akan menjadi umat yang lebih yakin, lebih tenang, dan lebih anjal menghadapi cabaran zaman,” kata beliau.

Dr Nazirudin menambah: “Maka marilah kita menjadi umat yang berilmu dalam memahami agama serta yakin dalam mengamalkannya. Semoga Allah swt. menjadikan kita umat yang teguh imannya, benar kefahamannya dan indah akhlaknya dalam menzahirkan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.”