Dua dana pejabat keluarga tunggal (SFO) yang menerima insentif cukai telah didapati ada kaitan dengan kumpulan warga Kemboja Chen Zhi, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, namun insentif itu telah dihentikan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Demikian dedah Encik Chee yang juga timbalan pengerusi MAS semasa bercakap di Parlimen pada 5 November.
“Memandangkan siasatan sedang dijalankan, saya meminta pemahaman bahawa saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai butirannya pada peringkat ini,” kata Encik Chee sebagai respons kepada soalan Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied).
Encik Tiong bertanya sama ada terdapat individu yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat atas dakwaan aktiviti jenayah rentas sempadan atau disabitkan kesalahan dalam kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura, ada mengendalikan pejabat keluarga bebas cukai di sini.
Dalam jawapannya, Encik Chee hanya menyebut Chen Zhi, pengasas Prince Holding, dengan mengatakan bahawa MAS telah setakat ini mengenal pasti dua dana SFO yang dikaitkan dengan individu yang dikenakan sekatan.
Pada 14 Oktober, sekatan Perbendaharaan Amerika telah diumumkan terhadap Chen Zhi, konglomeratnya Prince Holding Group, dan rakan-rakannya.
Mereka didakwa terlibat dalam aktiviti haram berskala besar seperti penipuan mata wang kripto “penyembelihan babi”, penipuan wayar dan pengubahan wang haram.
Encik Chee menyatakan bahawa siasatan pengubahan wang haram oleh polis Singapura terhadap Chen Zhi dan rakan-rakan berkaitan sedang dijalankan.
Pada 2018, Chen Zhi menubuhkan pejabat keluarga, DW Capital Holdings, di Singapura.
Ia mendakwa menguruskan aset lebih $60 juta, dan juga mendakwa menerima insentif cukai 13U (dahulunya dikenali sebagai 13X) daripada MAS, menurut laporan Bloomberg.
Dalam jawapannya di Parlimen, Encik Chee mengetengahkan langkah sedia ada dan menekankan keperluan bagi pendekatan yang ditentukur (calibrated).
SFO yang dikaitkan dengan individu yang disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram itu mewakili “bahagian yang sangat kecil” daripada keseluruhan sektor, iaitu kurang daripada 1 peratus, terang Encik Chee.
“Kita perlu kekal terbuka kepada pejabat keluarga yang tulen dan pelabur tulen, untuk terus mengembangkan industri perkhidmatan kewangan kita dan mewujudkan pekerjaan yang baik buat rakyat kita.”
Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) juga telah memfailkan soalan bertulis tentang berapa banyak entiti yang telah memohon insentif cukai di bawah seksyen 13U Akta Cukai Pendapatan, dan berapa banyak yang telah diberikan ini.
Encik Chee berkata bahawa berdasarkan data yang ada sejak tiga tahun lalu, kira-kira 3 peratus daripada 1,300 permohonan untuk skim insentif cukai untuk dana di bawah seksyen 13O dan 13U Akta telah ditolak.
Beberapa bakal pemohon menarik balik minat mereka untuk memohon apabila soalan dikemukakan dan keperluan dijelaskan pada peringkat prapermohonan, tambahnya.
Beliau menyatakan sebagai sebahagian proses permohonan, individu dan entiti ditapis berdasarkan pangkalan data untuk memastikan tiada laporan mengenai penglibatan mereka dalam aktiviti haram.
Dana SFO juga dikehendaki membuka dan menyelenggara akaun dengan bank berlesen MAS dan tertakluk kepada usaha wajar dan pemeriksaan pemantauan berterusan.
Encik Tiong turut bertanya sama ada pemerintah akan mewajibkan usaha wajar yang dipertingkatkan terhadap hubungan pelanggan sedia ada merentasi semua sektor kewangan yang dikawal selia.
Beliau juga bertanya sama ada akan ada penyaringan semula pemegang insentif cukai sedia ada dan bukan hanya pemohon baru.
Encik Chee tidak menjawab secara langsung soalan tersebut, namun berkata bahawa MAS akan terus menyemak semula peraturan dan prosedurnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg