Kukuh harmoni.
Berpegang pada prinsip menjalin kemesraan dan keharmonian dalam sebuah masyarakat majmuk, Masjid Ar Raudhah sekali lagi menganjurkan kunjungan muhibah ke beberapa kelab masyarakat, kondominium berhampiran kawasan masjid, rumah tumpangan dan kuil bersempena perayaan Tahun Baru Cina.
Ini juga membina, mengukuh dan menguatkan silaturahim sesama manusia yang digalakkan dalam Islam. Apatah lagi di dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Singapura.
Rombongan diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, serta ketua kanan masjid, Encik Shuhaimi Maridin, dan beberapa kakitangan Masjid Ar-Raudhah. Lawatan bermula dari 9 pagi sehingga 1 petang.
Sekotak buah limau dan sekeping kad ucapan “Selamat Tahun Baru Cina” menjadi buah tangan. Tidak lupa, iringan kata-kata ucapan “Gong Xi Fa Cai – Xin Nian Kuai Le” dan “Huat Ah!” turut disampaikan. Begitulah yang dilakukan oleh wakil Masjid Ar-Raudhah dalam kunjungan mesra tahunannya pada 27 Januari 2025 lalu ke beberapa tempat dalam kawasan perumahan Bukit Batok bersempena Tahun Baru Cina ini.
Kunjungan pertama yang dilakukan oleh rombongan mereka adalah di perumahan Regent Height Condo yang terletak berhampiran Masjid Ar-Raudhah. Ini untuk menyebarkan rasa “mesra masjid” dan bertujuan mendekati dan merapatkan lagi jarak antara penduduk dengan masjid.
Rombongan masjid telah menemui pihak pengurusan kondominium itu. Sebuah lagi kondominium yang turut dikunjungi ialah Hillvew Regency Condo.
Menyemarakkan dan meraikan keharmonian sebuah masyarakat berbilang agama amatlah dialu-alukan. Sesi lawatan Masjid Ar-Raudhah termasuklah Zu-Lin Temple, sebuah kuil Buddha yang terletak di Bukit Batok West Avenue 5.
Pihak pengurusan kuil menyambut dengan besar hati. Selain itu, mereka mengunjungi juga rumah tumpangan orang-orang tua Bukit Batok Home For The Aged dan Ren Ci Nursing Home. Pihak pengurusan kededua rumah tumpangan menyambut kunjungan mereka dengan gembira.
Lawatan bersempena perayaan Tahun Baru Cina oleh rombongan Masjid Ar-Raudhah juga meliputi beberapa kelab masyarakat seperti Kelab Masyarakat Bukit Batok, Kelab Masyarakat Bukit Batok East, Kelab Masyarakat Hillview dan Kelab Masyarakat Hong Kah North.
Kunjungan mereka ke Kelab Masyarakat Bukit Batok disambut mesra oleh Menteri Negara (Kementerian Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, yang juga Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok.
“Kami amat berbesar hati atas sambutan Encik Murali Pillai biarpun jadual beliau agak sibuk pada hari itu,” kata Ustaz Mohamed Ali.
Sepanjang hari kunjungan tersebut, sekotak limau dan kad ucapan dihadiahkan kepada setiap pihak pengurusan pihak yang dilawati.
“Kunjungan kami sangatlah dialukan-alukan. Sambutan pihak pengurusan amat baik.
“Mereka berasa gembira menerima buah tangan yang kami berikan, juga ucapan “Selamat Tahun Baru Cina” dalam Bahasa Mandarin,” ujar Pengurus Korporat Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad, yang turut sama dalam kunjungan tempoh hari.
DERMA KEPADA PROJEK NAIK TARAF MASJID AR-RAUDHAH
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg