Masjid Ar-Raudhah menyambut ulang tahunnya yang ke-32, pada Jumaat, 24 Januari 2025.
Sempena ulang tahun masjid yang terletak di Bukit Batok East Avenue 2 ini, pelbagai acara kerohanian telah diladakan. Antaranya pihak masjid telah melancarkan buku agama yang berupa kompilasi hadis berjudual Fadilat Al-Quran Cahaya Kehidupan – Kompilasi Hadith Raudhahtul Quran yang pertama kalinya dicetak.
Buku ini disusun oleh Ketua Pembangunan Dakwah di Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Ahmad Syarif Senewi, dan telah dilancarkan di dewan solat masjid tersebut.
Pelancaran buku hadis ini juga demi mencari dana bagi projek peningkatan masjid, dan setiap naskhah berharga $5 atau pembayaran diterima seikhlasnya daripada penderma.
Selain itu, usaha menerbitkan buku hadis ini juga adalah bagi menggalak pembacaan dan pemahaman hadis dalam kalangan orang ramai, khususnya, jemaah di Masjid Ar-Raudhah.
Antara program lain sempena ulang tahun masjid adalah bacaan tahlil dan doa selamat. Bacaan tahlil dan doa selamat ini dikhaskan untuk kesejahteraan kakitangan dan pasukan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah, bagi yang masih hidup atau yang sudah berpulang ke rahmatullah.
Mereka yang hadir juga turut disajikan dengan nasi beriani selepas solat Jumaat.
Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, berkata sempena acara ulang tahun ke-32 masjid ini, pelbagai program menarik telah dijayakan. Selain mahu terus memakmurkan masjid, acara itu juga diharap membantu meningkatkan lagi dana bagi projek peningkatan masjid.
Masjid Ar-Raudhah dijangka menjalankan kerja peningkatan pada akhir 2025 ini. Justeru, sokongan daripada masyarakat setempat amat dihargai.
“Antara program sempena ulang tahun ke-32 ini, pihak kami telah mengadakan program bacaan tahlil dan doa selamat serta kesejahteraan, untuk pegawai dan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah, bagi yang masih berkhidmat ataupun mereka yang telah meninggalkan kita. Kami menyanjung dan mengenang segala usaha, jasa serta pengorbanan mereka yang telah berkhidmat dan menjadi relawan di Masjid Ar Raudhah.
“Di samping itu, bagi mengumpul dana untuk projek peningkatan masjid yang bakal berlangsung pada akhir tahun 2025, sebuah buku agama berupa kompilasi hadis telah kami lancarkan. Semoga dengan usaha kecil ini, masyarakat Islam kita akan berterusan mendalami ilmu agama, khususnya dalam pembacaan Al-Quran dan menghayati hadis, sebagai pedoman hidup dan sumber ajaran Islam,” ujar Ustaz Mohamed Ali.
Kerja naik taraf Masjid Ar-Raudhah dijangka menelan belanja $12.2 juta, dan setakat ini hanya $6 juta telah berjaya dikumpulkan.
“Alhamdulillah, setakat ini segala usaha Masjid Ar-Raudhah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada warga setempat. Namun begitu, banyak lagi kutipan dana yang perlu kami laksanakan.
“Kami berharap masyarakat di sini akan terus menyokong kami dan melestarikan masjid-masjid setempat,” jelas Ustaz Mohamed Ali lagi.
SEKILAS
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank kepada akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantarkan cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan poskan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg