Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid gigih dekati masyarakat majmuk menerusi ‘Salam Neighbours’

Jan 17, 2025 | 9:54 AM
Kanak-kanak juga turut bergembira dan bermain dengan permainan istana lantunan (bouncing castle) yang disediakan. 
Kanak-kanak juga turut bergembira dan bermain dengan permainan istana lantunan (bouncing castle) yang disediakan.  - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Dalam usaha mahu menjadi mesra masyarakat, Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan program ‘Salam Neighbours’ pada 29 Disember 2024 lalu. Program ini bertujuan mendekati penduduk kejiranan di kawasan berdekatan masjid yang terletak di Bukit Batok East Avenue 2, sambil mengeratkan hubungan antara mereka.

Acara ‘Salam Neighbours’ diadakan di Blok 441, Bukit Batok West Avenue 8.

Menurut Pegawai Agama Masjid dan Pengurusan Sukarelawan di Masjid Ar-Raudhah, Ustazah Nur Adila Selamat, masjid kini bukan sekadar menjadi tempat ibadah, malah turut merangkumi pelbagai aspek lain, demi mendekati masyarakat berbilang agama dan bangsa di sini.

“Sebagai masjid, pihak kami bukan hanya berfungsi sebagai pusat ibadah pembangunan sosial, bahkan sebagai pusat penghubung dan penyambung kepada masyarakat di sekitar kawasan masjid.

“Melalui program seperti ‘Salam Neighbours’ ini, masjid boleh memainkan peranan lebih aktif dalam memberi manfaat dan membina hubungan yang lebih baik dengan jiran di sekitar masjid,” jelas Ustazah Nur Adila.

Ustazah Nur Adila turut memberitahu Berita Harian (BH), program tersebut juga bertujuan mengenali lebih dekat penduduk di sekitar masjid, memahami keperluan mereka, dan mendengar pandangan atau cabaran yang mereka hadapi.

“Seperti Masjid Ar-Raudhah, pihak masjid di sini juga memainkan peranan sebagai pusat kegiatan sosial yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Maka dengan program ‘Salam Neighbours’, pihak kami boleh memperkenalkan lebih banyak lagi program atau kegiatan yang melibatkan masyarakat, seperti kelas agama, kursus kemahiran, atau kegiatan kebajikan yang memberi manfaat kepada semua,” kata Ustazah Nur Adila.

Beliau turut berkata dalam Islam, penting menjaga hubungan baik sesama jiran dan masyarakat. Program seperti ‘Salam Neighbours’ memberi peluang kepada mereka menunjukkan kasih sayang dan kepedulian kepada jiran-jiran, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Masjid boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjalin hubungan yang erat dengan masyarakat sekeliling dan mendengar maklum balas daripada mereka. Dengan memahami keperluan mereka, kita boleh menjadi lebih proaktif dalam merancang program-program yang mampu memberi impak positif kepada orang ramai.

“Untuk menjangkau lebih ramai lagi penyertaan daripada orang ramai, pihak kami memanfaatkan media sosial, serta mempromosikan program-program Masjid Ar-Raudhah melalui portal melalui alam maya. Dengan ini, ia boleh memudahkan pihak masjid berkomunikasi dan berkongsi kegiatan yang diadakan di masjid serta mengajak orang ramai turut serta,” ujar Ustazah Nur Adila.

Pada acara ‘Salam Neighbours’, Masjid Ar-Raudhah telah menyediakan hidangan bufet untuk hadirin, permainan kanak-kanak seperti permainan istana lantunan (bouncing castle), dan perkhidmatan gunting rambut turut ditawarkan secara percuma untuk kanak-kanak, sempena persediaan mereka kembali ke sekolah pada 2025.

“Sambutannya sangat menggalakkan. Dewan penuh dengan kehadiran masyarakat Melayu/Islam dari kawasan kejiranan di sini. Sesetengah mereka juga mengambil kesempatan berjumpa dan bersembang bersama kawan dan kenalan, sambil anak-anak mereka bergembira dengan permainan yang kami disediakan. Ada yang juga singgah sebentar setelah pergi ke pasar,” kata Ustazah Nur Adila lagi.

Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak masjid untuk mendekati masyarakat setempat.

“Dengan mengadakan acara seperti ‘Salam Neighbours’ ini, masjid bukan hanya menjadi sekadar sebuah pusat ibadah, bahkan pusat yang mampu memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Malah, ia juga boleh menguatkan talian utuh dan ukhuwah Islamiah, dan mempererat silaturahim antara jiran,” jelas Ustaz Mohamed Ali.

SEKILAS:

Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan dihantar melalui pos ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg