Topik diikuti
Pergi ke BHkuKuota haji 900 tempat disahkan bagi S’pura untuk 2027
Zaqy turut mohon kuota tambahan bagi masa depan.
Kuota haji 900 tempat disahkan bagi S’pura untuk 2027
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, telah menandatangani perjanjian haji bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, bagi mengesahkan kuota 900 tempat untuk jemaah Singapura bagi 2027.
Walaupun jumlah kuota itu kekal sama seperti pada 2025 dan 2026, Encik Zaqy berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan di Arab Saudi untuk mendapatkan tempat tambahan pada masa hadapan.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman media sosialnya pada 10 November, Encik Zaqy berkata pihak berkuasa akan terus menjalin hubungan rapat dengan rakan-rakan di Arab Saudi.
Ini bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah Singapura terpelihara, memandangkan keadaan di Timur Tengah yang masih tidak menentu.
“Yang paling penting, saya mahu para jemaah kita berangkat dengan tenang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah.
“Buat semua yang sedang membuat persiapan untuk menunaikan haji, semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan memberkati perjalanan anda, insya-Allah,” katanya.
Pada 5 November, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengumumkan bahawa ia telah meluluskan 37 pakej daripada 10 ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik bagi musim haji akan datang.
Harga pakej-pakej itu adalah antara $13,864 dengan $21,199, bergantung pada pakej yang dipilih dan aturan penginapan bilik, dengan bakal jemaah boleh memilih pakej bagi 18, 23, 25 atau 28 hari.
Ia lebih rendah berbanding harga antara $14,190 dengan $29,895 bagi pakej 24, 25 atau 29 hari yang ditawarkan untuk musim haji 2026.
Dalam video itu, Encik Zaqy turut menarik perhatian kepada usaha MUIS yang telah bekerjasama dengan GSA untuk menawarkan lebih banyak pilihan pakej pada harga yang lebih berpatutan.
Ini termasuk pilihan perjalanan yang lebih singkat selama 18 hari, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
“Masa menanti, usaha menabung, urusan cuti, serta hal-hal keluarga—apabila tiba giliran anda, pastinya anda berharap agar segala-galanya berjalan lancar.
“Kami telah mendengar maklum balas anda, khususnya mengenai kos pakej Haji dan tempoh masa perjalanan tersebut.
“Oleh itu, kami telah melakukan beberapa penambahbaikan bagi musim haji tahun hadapan (2027),” kata Encik Zaqy.
Beliau juga berkata bahawa harga pakej tertinggi yang disenaraikan bagi 2027 juga hampir 30 peratus lebih rendah berbanding 2026.
Pada 5 November, MUIS turut menggesa bakal jemaah musim haji 2027 supaya tidak berurusan dengan individu atau ejen pelancongan tanpa kebenaran yang menawarkan pakej haji atau khidmat berkaitan.
Ia menambah pakej dan perkhidmatan haji bagi jemaah Singapura di bawah aturan haji rasmi negara ini harus ditempah daripada GSA yang dilantik oleh mereka.
Encik Zaqy sedang mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingga 14 November bagi urusan persiapan haji 2027, pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh kerjasama kemanusiaan dan dua hala.
Di Jeddah, beliau turut menghadiri Persidangan dan Pameran Haji tahunan yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, yang menghimpunkan wakil negara peserta untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan haji.
Di Kahirah pula, Encik Zaqy akan bertemu para ulama serta rakan kerjasama dalam pendidikan tinggi Islam, termasuk rakan kerja dan anggota Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).