Belia merupakan golongan pelapis yang akan memikul tanggungjawab dalam membangunkan dan mengemudi Singapura satu hari nanti.
Disebabkan itu, keupayaan dan daya kepimpinan mereka harus digilap dari sekarang.
Sesetengah belia terdorong untuk melibatkan diri dalam isu nasional dan merasakan penting untuk berkongsi pandangan dan menyuarakan pendapat supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
Namun, terdapat segolongan lagi yang kurang berani untuk ke depan dan bagi sesetengah pihak, langkah ini dilihat mengurangkan peluang untuk menggilap potensi mereka ini.
Sentimen ini disuarakan para belia semasa menghadiri acara Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) yang mengupas mengenai aktivisme dalam kalangan belia pada 31 Julai lalu.
Sesi dialog itu dibarisi Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan, Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Salah seorang peserta dialog tersebut, Julia Erina Muhamad Hairin, 19 tahun, mengatakan kemajuan merupakan suatu yang penting di Singapura maka belia harus turut setanding.
“Belia Singapura harus menjadi proaktif dan mereka juga harus ada keyakinan untuk menceburi minat mereka.
“Jika mereka tidak melakukan apa-apa, mereka akan kekal di suatu tempat itu dan tidak akan ada kemajuan,” ujar pelajar prauniversiti satu Madrasah Wak Tanjong itu.
Antara lain, Cik Ainul Md Razib, yang bekerja sebagai Pembangun Perisian, mengutarakan bahawa belia harus lebih mengambil tahu mengenai dasar Singapura dan terlibat secara aktif dalam masyarakat.
Beliau yang berusia pertengahan 20-an, menambah belia akan membentuk generasi seterusnya dan menyumbang kepada ekonomi dan bidang pembangunan, maka kepekaan ini akan membantu mereka untuk lebih terlibat dengan masa depan Singapura.
Walaupun belia sedar akan perkara yang boleh mereka lakukan untuk masa depan negara, mereka harus lebih berani dan keluar dari zon selesa.
Buat Aiman Hazeeq Rohaizad, yang juga merupakan pelajar prauniversiti satu Madrasah Wak Tanjong, beliau berpendapat belia masa kini kurang ambil tahu mengenai dasar Singapura kerana mereka merasakan bahawa ia sudah sempurna.
Beliau berkata: “Belia masa kini sebenarnya berada dalam keadaan yang terlalu selesa. Tetapi, penting untuk kita mengetahui dasar terkini supaya kita boleh melakukan perubahan, bukan berubah menjadi lebih buruk tetapi menjadi lebih baik.”
“Penting bagi belia untuk ke hadapan pada usia sebegini supaya di masa hadapan nanti, mereka peka akan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Singapura,” kata pelajar 19 tahun itu yang berkongsi bahawa beliau mengalu-alukan belia untuk ke hadapan seperti melakukan kerja sukarelawan, supaya dapat memahami isu sekeliling.
Cik Ainul menambah, ramai belia Singapura kelihatan lebih gemar untuk elak membuat risiko walaupun mempunyai laluan kerjaya yang lebih pelbagai dan perwakilan minoriti yang lebih baik.
Menurutnya, hal itu dapat diatasi dengan adanya bimbingan atau ‘mentorship’, yang memainkan peranan penting dalam membantu membina daya tahan dan keyakinan diri yang lebih baik dalam kalangan belia hari ini.
Dialog masyarakat edisi kali ini disambut baik oleh para belia.
Encik Muhammad Nurakif Nasrun, 27 tahun, berkata beliau gembira kerana dialog sebegini memberinya peluang untuk “dengar secara langsung daripada pemerintah yang cuba untuk memahami pendapat belia” dan dapat memberikan belia huraian untuk kemajuan sebuah masyarakat.
Cik Ainul pula mengalu-alukan dialog seperti ini, yang menurutnya “sukar dan terhad tetapi penting untuk mengenal pasti dan merancang cara yang berbeza untuk mengurus isu peringkat masyarakat tertentu”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg