Sekitar 100 peserta masyarakat Cina dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an tahun akan meraih manfaat daripada satu inisiatif yang dibiayai pemerintah bagi memupuk kepimpinan masa depan masyarakat tersebut sepanjang lima tahun akan datang.
Para peserta tersebut harus aktif dalam masyarakat Cina dan menunjukkan minat mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat, bagi melayakkan diri mengikuti Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina.
Demikian menurut Pengerusi Kumpulan Perhubungan Masyarakat Cina (CCLG), Encik Chee Hong Tat, di Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA) di Toa Payoh pada 20 Ogos.
Semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) dalam bahasa Mandarin pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata bahawa SFCCA dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) akan membangunkan satu program kepimpinan untuk memupuk generasi pemimpin masyarakat Cina akan datang.
Pemerintah akan menyediakan sokongan pembiayaan bagi menjayakan program tersebut, katanya.
SFCCA, yang merupakan badan utama bagi persatuan suku kaum Cina dengan 251 anggota, menyatakan bahawa minat generasi muda terhadap budaya Cina dan kumpulan masyarakat Cina telah merosot sejak beberapa tahun lalu.
Persatuan suku kaum di sini kini menghadapi cabaran dalam peralihan dan kesinambungan kepimpinan, lapor The Straits Times (ST).
Encik Chee, yang juga Menteri Pembangunan Negara, berkata pemerintah akan bekerjasama dengan SFCCA bagi membantu persatuan suku kaum memodenkan operasinya, khususnya persatuan suku kaum lebih kecil yang mungkin tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membangunkan huraian digital.
“Oleh itu, salah satu cara ialah pemerintah bekerjasama dengan SFCCA, dan melalui SFCCA, kita boleh membangunkan satu set perkhidmatan yang dikongsi bersama, dan dapat dimanfaatkan oleh pelbagai persatuan suku kaum,” katanya.
Perkhidmatan yang dikongsi bersama itu boleh merangkumi bidang seperti sumber manusia, kewangan, pengurusan keanggotaan dan sukarelawan, pengurusan acara, dan publisiti, tambahnya.
SFCCA dan SCCCI akan menubuhkan satu pasukan petugas untuk bekerjasama dengan CCLG bagi melakarkan kurikulum, dan mengenal pasti anggota majlis muda atau pengarah lembaga yang mempunyai potensi kepimpinan untuk menyertai kursus tersebut.
Sekitar 20 peserta dijangka mengikuti kursus tersebut setiap tahun sepanjang lima tahun akan datang.
Kursus tahunan itu dijangka bermula menjelang pertengahan 2026.
Ia akan merangkumi modul mengenai kepimpinan strategik dan organisasi, dan pandangan mengenai dasar pemerintah.
Selain itu, ia akan turut menyediakan peluang menjalin rangkaian kenalan dan dialog bersama pemegang jawatan politik dan pemimpin kanan masyarakat.
Presiden SFCCA, Encik Thomas Chua, melahirkan harapan agar pemimpin muda akan memimpin masyarakat Cina dalam memupuk interaksi antara kaum dan menggalak persefahaman bersama, di samping membantu pendatang baru berintegrasi dengan lebih baik bersama masyarakat Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg