Topik diikuti
Pergi ke BHkuLadang ikan trout pertama S’pura mula operasi, sasar hasilkan 3,000 tan setahun
Ladang ikan trout pertama S’pura mula operasi, sasar hasilkan 3,000 tan setahun
Blue Aqua International yakin berpotensi sumbang kepada matlamat 30 peratus keperluan protein tempatan jelang 2035
Ladang ikan trout pertama S’pura mula operasi, sasar hasilkan 3,000 tan setahun
Ladang ikan trout pertama di Singapura yang menyasarkan pengeluaran sehingga 3,000 tan ikan trout pelangi setahun telah mula beroperasi.
Terletak di Neo Tiew Crescent, di kawasan Lim Chu Kang, kemudahan berteknologi tinggi di darat dengan keluasan 1.6 hektar itu akan menghasilkan 1,200 tan ikan trout pelangi setahun, pada peringkat awal.
Demikian menurut Blue Aqua International, syarikat teknologi ternakan hidupan laut atau akuakultur udang yang mengusahakan ladang berkenaan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, yang juga Pengasas Blue Aqua, Encik Farshad Shishehchian, berkata syarikat itu merancang meningkatkan pengeluaran kepada 3,000 tan setahun menjelang 2028.
Menurutnya, ladang tersebut berpotensi menyumbang kepada sasaran semakan Singapura untuk memenuhi 30 peratus keperluan makanan protein tempatan menjelang 2035. Sasaran itu merangkumi pengeluaran telur dan makanan laut.
Perkembangan terbaharu itu mencerminkan minat berterusan syarikat-syarikat dalam sektor pengeluaran makanan tempatan meskipun industri tersebut berdepan pelbagai cabaran, termasuk penutupan beberapa ladang sejak 2022.
Ikan trout pelangi merupakan spesies air sejuk yang lazimnya diternak di rantau Eropah dan Amerika Utara.
Namun, Blue Aqua berkata pengeluaran tempatan dapat menawarkan bekalan lebih segar dan berdaya tahan, berbanding bergantung sepenuhnya kepada bahan import.
Encik Farshad berkata trout pelangi ialah jenis ikan premium berkhasiat yang mendapat penerimaan meluas dalam kalangan pengguna.
“Ia kaya dengan protein dan asid lemak Omega-3 serta mempunyai rasa yang bersih,” katanya sambil menambah, industri ikan trout sudah matang dan mempunyai pasaran kukuh.
Bagi menternak spesies ikan yang sensitif dan memerlukan air dingin itu dalam iklim tropika, ladang berkenaan perlu mengekalkan persekitaran yang stabil dan terkawal, termasuk memastikan suhu air sentiasa rendah serta kandungan oksigen terlarut berada pada tahap tinggi.
Bagi tujuan itu, kemudahan tersebut menggunakan teknologi Sistem Akuakultur Kitar Semula (RAS), iaitu kaedah berasaskan darat yang menapis dan menggunakan semula air secara berterusan dalam persekitaran terkawal.
Teknologi itu membolehkan suhu, mutu air dan tahap biokeselamatan dipantau dengan teliti tanpa dipengaruhi keadaan cuaca di luar.
Ia juga sesuai untuk operasi ladang yang mempunyai ruang dan tenaga kerja terhad.
“Dengan menghasilkan spesies ikan premium secara tempatan sepanjang tahun, ladang ini dapat mengukuhkan daya tahan bekalan makanan serta menyingkatkan rantaian antara pengeluaran dengan pengguna,” kata Blue Aqua.
Encik Farshad berkata kira-kira $35 juta telah dilaburkan bagi pembangunan ladang ikan trout tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pelaburan keseluruhan syarikat itu sebanyak $45 juta untuk mengembangkan operasi akuakulturnya di Singapura.
Agensi Makanan Singapura (SFA) turut memberikan sokongan menerusi Dana Transformasi Kelompok Agromakanan.
Menurut Encik Farshad, pelaburan tambahan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat apabila ladang itu beralih daripada fasa pentauliahan kepada peningkatan pengeluaran sebelum mencapai kapasiti penuh.
Blue Aqua turut mengendalikan ladang dan pusat penetasan udang di Singapura.
Walaupun syarikat itu kini memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, ia merancang mengembangkan operasi dan mengeksport ikan trout premium ke beberapa pasaran serantau yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap makanan laut segar bermutu tinggi.
Blue Aqua, sebelum ini, mengumumkan pada Januari 2022 bahawa ladang tersebut dijangka mula beroperasi pada 2023.
Mengulas kelewatan pembukaannya, Encik Farshad berkata ia berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kerumitan mereka bentuk sistem akuakultur kitaran semula air sejuk dalam persekitaran tropika, serta cabaran kejuruteraan dan pembinaan.
Beliau turut mengakui jadual asal projek itu “agak bercita-cita tinggi”.
Sektor perladangan tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan penutupan operasi dan penurunan hasil pengeluaran akibat kos modal dan tenaga yang tinggi, peningkatan kos operasi serta keyakinan pelabur yang kian lemah.
Encik Farshad menambah, keuntungan syarikat itu bergantung pada penggunaan teknologi, skala operasi dan kawalan pengurusan yang kukuh.
Menurutnya, model perniagaan Blue Aqua berasaskan kepadatan pengeluaran yang tinggi di kawasan tanah yang terhad, pengeluaran sepanjang tahun tanpa bergantung pada cuaca, mutu air yang terkawal, risiko biokeselamatan lebih rendah, kesegaran produk yang lebih baik serta perancangan tuaian yang sistematik.
“Walaupun perladangan berasaskan darat melibatkan kos modal dan utiliti lebih tinggi, ladang ini direka untuk mengimbangi cabaran tersebut menerusi skala besar, daya penghasilan tinggi, kedudukan sebagai produk premium, pengeluaran yang boleh dijangka dan kawalan operasi yang kukuh,” katanya.
Blue Aqua juga sedang meneroka kerjasama dalam bidang tenaga bersih bagi meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan jejak karbon operasinya pada masa hadapan.
