Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah S’pura lindungi alam sekitar, tangani isu tenaga dan perubahan iklim

Meter elektrik pintar, kenaikan cukai karbon antara langkah yang akan diambil pada 2026
Dec 23, 2025 | 4:11 PM
alam sekitar, sorotan utama 2025, kitar semula
Agensi air negara, PUB, sedang mengkaji cara terbaik melindungi kawasan pesisir di pelbagai bahagian negara daripada paras air yang semakin meningkat. - Foto ST

2025 merupakan tahun yang mencabar buat alam sekitar.

Walaupun krisis iklim terus melanda dunia, termasuk Asia Tenggara, komitmen negara untuk menanganinya seolah-olah semakin pudar akibat pergolakan politik sejagat.

Namun, di tengah-tengah suasana suram ini, sinar harapan mula kelihatan.

Beberapa perkembangan penting sepanjang 2025, dan fokus utama untuk 2026, wajar diberi perhatian.

Perkembangan tenaga bersih

Singapura tetap teguh dengan sasaran mencapai pelepasan sifar bersih bagi sektor tenaga menjelang 2050, lapor The Straits Times (ST).

Menyusuli beberapa inisiatif penting pada 2025, lebih banyak kemajuan dijangka berlaku dalam sektor ini pada tahun mendatang.

Sektor tenaga menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pelepasan karbon Singapura.

Walaupun Singapura belum memuktamadkan tenaga nuklear, ia kekal mengawasi perkembangannya terutama reaktor modular kecil (SMR). Julai 2025 menyaksikan penubuhan sebuah institut penyelidikan dan keselamatan nuklear di Universiti Nasional Singapura (NUS), bertujuan membina kepakaran.

Pada September, firma perunding Mott MacDonald ditugaskan mengkaji keselamatan dan kebolehlaksanaan teknologi nuklear termaju seperti SMR.

Pada Oktober pula, Singapura memeterai perjanjian pertukaran maklumat dengan institusi-institusi nuklear di Amerika Syarikat. Pasukan nuklear khusus turut dibentuk di Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dalam usaha mempercepat peralihan tenaga, Singapura juga sedang giat meneroka import tenaga bersih dari rantau ini.

Negara ini menyasarkan untuk mengimport 6 gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang 2035, dan setakat ini telah mengeluarkan lesen bersyarat bagi projek berjumlah 8.35GW.

Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, menegaskan bahawa import tenaga boleh diperbaharui menawarkan potensi paling besar dalam jangka terdekat, dan sasaran itu boleh ditingkatkan bergantung pada kerjasama serantau.

Pada April, Singapura melantik Singapore Energy Interconnections (SGEI), sebuah syarikat berkaitan pemerintah, bagi membangunkan infrastruktur tenaga rentas sempadan.

Langkah ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik pembiayaan baru, memandangkan minat institusi kewangan terhadap infrastruktur sedemikian sebelum ini rendah akibat kos dan risiko yang tinggi.

Namun, Singapura dijangka terus bergantung pada gas asli, yang kini membentuk sekitar 95 peratus campuran bahan api negara.

Teknologi penangkapan karbon pula berpotensi mengurangkan pelepasan daripada loji janakuasa, dengan projek perintis dijadualkan bermula pada 2026 di loji sisa-ke-tenaga.

Meter elektrik pintar menjelang 2026

Pelaksanaan meter elektrik pintar di seluruh negara dijangka siap menjelang akhir 2026.

Meter ini membolehkan pengguna menjejak corak penggunaan tenaga dan mengurangkan penggunaan elektrik.

Pengguna juga boleh menjimatkan kos dengan melanggani pelan kadar mengikut masa penggunaan yang menawarkan kadar berbeza mengikut waktu.

Setakat 10 Disember, lebih 1.3 juta meter elektrik pintar telah dipasang bagi tempat kediaman, merangkumi sekurang-kurangnya 80 peratus isi rumah di Singapura.

Skim pemulangan bekas minuman

Di tengah-tengah penurunan kadar kitar semula domestik, skim pemulangan bekas minuman akan dilancarkan pada 1 April 2026.

Pengguna akan membayar tambahan 10 sen bagi minuman dalam botol dan tin bersaiz antara 150ml hingga tiga liter, yang akan dipulangkan sepenuhnya apabila bekas kosong dikembalikan di pusat pemulangan yang ditetapkan.

Skim ini akan berlangsung sehingga 31 Mac 2033, dengan lebih 1,000 pusat pemulangan ditempatkan di pasar raya dan kawasan awam.

Pelancarannya menyusuli beberapa kali penangguhan sejak diumumkan pada 2020, termasuk penangguhan terakhir ke 2026 atas permintaan pengilang minuman yang memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri.

Kenaikan cukai karbon

Cukai karbon Singapura akan meningkat daripada $25 setiap tan pelepasan kepada $45 setiap tan pada 2026, dan boleh mencecah antara $50 hingga $80 setiap tan menjelang 2030.

Cukai ini bertujuan memberi insentif kepada syarikat pelepasan besar untuk beralih kepada tenaga lebih bersih, meningkatkan kecekapan atau mengguna teknologi rendah karbon.

Sekitar 50 kemudahan di Singapura tertakluk kepada cukai karbon, terutamanya dalam sektor perkilangan, tenaga, sisa dan air, yang menyumbang kira-kira 70 peratus pelepasan negara.

Namun, pemberian elaun cukai kepada sesetengah syarikat pelepasan besar menimbulkan kebimbangan bahawa keberkesanan isyarat harga cukai karbon mungkin terjejas.

Beberapa kumpulan alam sekitar telah menggesa pemerintah agar lebih telus mengenai kadar kenaikan cukai selepas 2028 serta penggunaan elaun tersebut.

Rang Undang-Undang Perlindungan Pesisir Pantai

Satu Rang Undang-Undang Perlindungan Pesisir Pantai baru dijangka dibentangkan pada 2026 bagi memperincikan tanggungjawab pihak berkepentingan.

Langkah ini seiring usaha melindungi pesisir Singapura daripada kenaikan paras laut, yang diunjurkan akan meningkat sehingga 1.15 meter menjelang 2100.

PUB sedang menjalankan kajian perlindungan pesisir di pelbagai lokasi, termasuk Pulau Sentosa dan kawasan pesisir barat daya negara.

Kajian pertama di kawasan bandar-pantai timur bermula pada 2021, dengan cadangan seperti penghadang pesisir dan pelantar bertingkat diumumkan pada Ogos.

Rang undang-undang baru ini juga akan membuka laluan kepada penglibatan perniagaan tepi laut dan pemilik hartanah persendirian sebagai barisan pertahanan kedua.

Paras laut Singapura diunjurkan meningkat sehingga 1.15 meter menjelang 2100.

Menjelang pertengahan 2026, PUB akan melancarkan kod amalan perlindungan pesisir untuk menetapkan piawaian reka bentuk dan pembinaan struktur perlindungan.

Panduan ini membantu pemilik bangunan dan pemaju hartanah meningkatkan daya tahan premis mereka terhadap banjir.

Mengimbas kembali 2025: Sasaran pertanian dikaji semula

Pada November, Singapura menggugurkan sasaran ‘30 menjelang 30’ dan menggantikannya dengan sasaran baru bagi pengeluaran serat dan protein menjelang 2035.

Langkah ini diambil selepas semakan selama setahun, susulan cabaran besar yang dihadapi ladang tempatan sejak pandemik Covid-19, termasuk gangguan rantaian bekalan, meskipun sebelum itu keyakinan pelabur terhadap pertanian inovatif adalah tinggi.

Sejak itu, ladang tempatan berdepan penurunan pengeluaran dan penutupan, khususnya ladang berteknologi tinggi.

Dengan Singapura mengimport lebih 90 peratus makanannya, ladang tempatan kekal penting untuk keselamatan makanan.

Agensi Makanan Singapura (SFA) kini melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk kajian kemudahan berbilang penyewa bagi membolehkan ladang berkongsi sumber.

Kadar kitar semula isi rumah merosot

Kadar kitar semula isi rumah Singapura pada 2024 jatuh ke paras terendah 11 peratus, terutamanya akibat penurunan kitar semula kertas dan kadbod, mengikut NEA.

Pemerintah sedang bekerjasama dengan industri bagi menangani cabaran kos dan mencari kaedah pengasingan bahan sisa baru.

Kerjasama kredit karbon diperkukuh

Pada 2025, Singapura memperoleh kelompok pertama kredit karbon bagi memenuhi komitmen iklim di bawah Perjanjian Paris, termasuk melalui projek pemulihan alam semula jadi di beberapa negara.

Singapura menganggarkan penggunaan kredit karbon berkualiti tinggi bagi mengimbangi sekitar 2.5 juta tan pelepasan karbon setahun hingga 2030.

Langkah iklim dipercepat

Pada Februari, Singapura mengemukakan sasaran baru kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada 45 hingga 50 juta tan menjelang 2035, meletakkannya pada landasan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Kemajuan turut dicapai dalam pembiayaan campuran bagi menyokong pembangunan mampan dan peralihan hijau Asia, serta pelaksanaan langkah penyesuaian seperti perlindungan pesisir di Greater Southern Waterfront dan Changi, yang akan dibina mulai dekad 2030-an.

Struktur ini bertujuan melindungi pesisir pantai tenggara Singapura, antara kawasan paling rendah, bagi melindungi penduduk dan infrastruktur daripada kenaikan paras laut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg