Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ladang sayur mega, I.F.F.I akan ditutup

May 26, 2024 | 4:07 PM
I.F.F.I telah mengosongkan ladangnya – yang terletak di Space@Tuas – dan mengembalikan unit tersebut kepada JTC Corporation pada April 2024.
I.F.F.I telah mengosongkan ladangnya – yang terletak di Space@Tuas – dan mengembalikan unit tersebut kepada JTC Corporation pada April 2024. - Foto ST

Satu lagi syarikat tempatan telah menjadi ‘mangsa’ dalam sektor pertanian berteknologi tinggi Singapura sekaligus menandakan cabaran dalam industri yang baru muncul itu.

Ladang tertutup tempatan I.F.F.I,yang dikatakan mempunyai keupayaan menghasilkan kira-kira 300 tan sayur-sayuran berdaun setahun, telah menutup kemudahan mega seluas 38,000 meter perseginya di Tuas.

Syarikat induk I.F.F.I, firma kejuruteraan ketepatan TranZPlus Engineering, dalam proses pembubaran, dengan dokumen mahkamah menunjukkan bahawa ia memfailkan ketakmampuan bayar pada November 2023, menurut laporan The Straits Times.

Syarikat itu menghasilkan pelbagai tanaman daripada daun ‘arugula’ dan ‘kale’ kepada salad hijau dan bok choy merah, menjual sayur-sayurannya di bawah jenama, Next Farmers.

Hasilnya sebelum ini boleh didapati di pasar raya FairPrice.

I.F.F.I telah mengosongkan ladangnya – yang terletak di Space@Tuas – dan mengembalikan unit tersebut kepada JTC Corporation pada April 2024.

Menurut laporan itu, semua peralatannya ditinggalkan di sana.

JTC tidak menjawab pertanyaan sama ada syarikat itu ada hutang sewa.

I.F.F.I adalah penerima geran ekspres Agensi Makanan Singapura (SFA) 30 by 30 pada 2020 – yang memberi sembilan ladang bernilai $39.4 juta untuk membantu mereka meningkatkan pengeluaran di tengah-tengah pandemik Covid-19.

SFA tidak menjawab pertanyaan tentang jumlah dana geran yang dikeluarkan kepada ladang itu, tetapi menurut penyata kewangan I.F.F.I pada 2021, ia menerima sekurang-kurangnya $2.9 juta geran tunai daripada SFA untuk pembinaan ladang.

Menurut kenyataan media SFA mengenai geran ekspres 30 kali 30 pada 2020, I.F.F.I menerima pembiayaan untuk membina ladang dalaman berteknologi tinggi mega dalam persekitaran terkawal sepenuhnya dan bebas racun perosak.

Ladang itu dikatakan memanfaatkan teknologi seperti sistem pertanian kecerdasan buatan dan sistem kawalan alam sekitar yang canggih untuk mencapai keadaan pertumbuhan optimum sepanjang tahun.

Ia juga telah menggunakan sistem rawatan air yang inovatif untuk mengurangkan bilangan bakteria, meningkatkan kadar hasilnya, dan memanjangkan jangka hayat hasilnya.

I.F.F.I tidak menjawab permintaan berulang untuk mengulas.

Berita mengenai penutupan I.F.F.I timbul apabila pengeluaran sayur-sayuran tempatan pada 2023 merosot sekitar 15 peratus, menyumbang hanya 3.2 peratus daripada penggunaan tempatan. Ini berbanding 3.9 peratus pada 2022, menurut laporan statistik makanan SFA pada 20 Mei.

Pada April, ST melaporkan keputusan VertiVegies untuk membatalkan rancangan membina ladang dalamannya di Lim Chu Kang, selepas ia menghadapi masalah dengan rakan usaha samanya, syarikat perladangan China SananBio, yang membekalkan ladang itu dengan perkakasan pengeluarannya.

Sementara itu, difahamkan juga bahawa ladang tempatan, Sky Greens, yang menyifatkan sistem pertanian vertikal yang dipatenkan sebagai kaedah penanaman sayur-sayuran inovatif dan mesra alam, sedang mengurangkan operasinya.

Apabila ditanya sama ada ia menghairankan yang ladang berteknologi tinggi di Singapura mula ditutup, perunding teknologi pertanian, Encik Lee Eng Keat berkata bahawa ini dijangka kerana beberapa ladang tidak dapat memperoleh keuntungan, atau tidak dapat mengumpul dana baharu untuk terus beroperasi.

Dengan pelabur menjadi lebih memilih dan konservatif dengan pelaburan mereka, pembiayaan menjadi lebih sukar diperoleh, memaksa banyak ladang untuk berjimat seberapa boleh dan cuba mendapatkan pulangan ke atas pelaburan mereka.

Namun, ini mungkin lebih sukar kerana mereka bergelut dengan peningkatan kos tenaga dan kos buruh yang agak tinggi, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg