Anggota bomba bertarung selama beberapa jam untuk memadamkan kebakaran yang menjejaskan sekurang-kurangnya dua ladang penternakan ikan terapung berhampiran Pulau Ubin pada 24 Jun.

Kebakaran bermula di sebuah ladang dan dipercayai merebak ke dua lagi ladang bersebelahan sebelum ia berjaya dipadamkan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan, namun kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada panahan petir yang terkena panel solar pada ladang penternakan ikan berkenaan, lapor akhbar Lianhe Zaobao.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ketika dihubungi menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada sekitar 8.10 malam hari kejadian. 

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Ladang penternakan ikan tersebut terletak di luar perairan jeti Lorong Halus berhampiran Pasir Ris, berdekatan dengan dua pulau kecil iaitu Pulau Ubin dan Pulau Ketam.

Kebakaran itu dipercayai mengakibatkan kerosakan serius, dengan seorang pemilik ladang menganggarkan jumlah kerugian mencecah sehingga $120,000.

Pemiliknya menambah bahawa beliau tidak dapat membuat tuntutan insurans bagi kebakaran tersebut.

“Ini bukan kali pertama panel solar rosak akibat disambar petir, tetapi sebelum ini ada pekerja di situ, jadi mereka dapat menanganinya dengan segera dan membendungnya daripada (merebak) menjadi satu kebakaran besar,” kata pemilik berkenaan.

Menurutnya lagi, tiada pekerja berada di kawasan berkenaan ketika kebakaran berlaku kali ini.

Kebakaran itu memusnahkan peralatan penting bagi memancing ikan, termasuk makanan ikan, generator, panel solar, sebuah bot nelayan dan sekurang-kurangnya tiga perangkap ikan, antara barangan lain.

Jaring ikan juga turut rosak, menyebabkan sekurang-kurangnya separuh daripada stok ikan di ladang berkenaan terlepas, tambah pemilik itu.

SCDF menyatakan bahawa kapal marin daripada Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) serta Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang (AES) telah dikerahkan untuk memadamkan api, manakala orang ramai daripada ladang ternakan ikan berhampiran turut tampil membantu mengawal kebakaran.

Agensi Makanan Singapura (SFA) ketika dihubungi berkata pihak mereka sedang menghulurkan bantuan kepada ladang-ladang yang terjejas.