Kira-kira 53,000 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dinaik taraf di bawah pusingan terbaru Program Peningkatan Rumah (HIP), yang bertujuan mempertingkat flat lebih berusia.
Flat-flat itu terletak di seluruh negara, termasuk Jurong West, Hougang, Choa Chu Kang, Woodlands, Tampines dan Pasir Ris.
Sebanyak $742 juta akan diperuntuk bagi kerja naik taraf itu, yang termasuk penyelenggaraan biasa seperti konkrit retak atau terkelupas dan siling bocor, kata HDB dalam satu kenyataan pada 28 Julai.
“HDB komited untuk mempertingkat keselesaan dan keselamatan penduduk HDB. Kami juga akan terus membuat kajian dan menggunakan teknologi inovatif bagi mempertingkat kehidupan di estet dan flat HDB,” kata kenyataan itu.
Menurut HDB, flat yang mempunyai masalah konkrit di tandas terkelupas akan diperbaiki menggunakan cara baru, yang dinamakan Pembaikan Tahan Hakisan (CRR).
Cara baru itu melibatkan kaedah menyalut seluruh siling tandas dengan beberapa lapisan salutan perlindungan, berbanding cara yang dilakukan sekarang, iaitu memperbaiki bahagian terkelupas sahaja.
Menurut HDB, cara itu, yang diuji dengan jaya sejak 2021, lebih berkesan tetapi kosnya lebih tinggi dan memerlukan lebih banyak masa untuk dilakukan.
Bercakap kepada penduduk Nanyang semasa menghadiri acara kemasyarakatan di Blok 953, Jurong West Street 91 pada 28 Julai, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata cara baru itu membolehkan lapisan perlindungan bertahan lebih lama dan mengurangkan gangguan kepada penduduk.
“Apabila rumah flat kita semakin berusia, dan jika kita tidak mengecat siling secara kerap, kelembapan dari persekitaran kita akan menyebabkan bahagian siling retak dan terkelupas.
“Walaupun selepas bahagian terjejas dibaiki dan ditampal menggunakan kaedah sedia ada, masalah mungkin berulang di siling bahagian lain, jadi isi rumah mungkin akhirnya perlu membaiki konkrit retak beberapa kali sebelum masalah itu diselesaikan sepenuhnya,” ujar Encik Lee.
HIP terbahagi kepada dua bahagian – Peningkatan Asas, yang dibiayai pemerintah sepenuhnya dan Peningkatan Ikut Pilihan, yang sebahagian besar kosnya ditanggung pemerintah.
Memperbaiki konkrit retak atau terkelupas termasuk dalam Peningkatan Asas HIP.
Selain memperbaiki konkrit retak atau terkelupas, Peningkatan Asas turut merangkumi kerja menggantikan paip saluran najis di tandas, tempat jemuran dan peningkatan pemasangan wayar seluruh rumah.
Peningkatan Ikut Pilihan termasuk peningkatan tandas atau bilik air, memasang pintu dan pagar baru, serta menggantikan tempat pembuangan sampah.
Pada awalnya, HIP ditawarkan untuk mempertingkat sekitar 320,000 flat yang dibina hingga 1986, tetapi sejak 2018 ia dilanjutkan kepada lagi 230,000 flat yang dibina antara 1987 dengan 1997.
Sekitar 410,000 flat telah dipilih menjalani HIP sejak program itu dimulakan pada 2007.
Menurut HDB, hingga 30 Jun, sekitar 370,000 flat, atau 90 peratus, daripada flat itu telah dipertingkat dengan belanja sekitar $4 bilion.
HIP biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun dari tarikh pengumuman untuk diselesaikan.
Antara penduduk yang akan meraih manfaat daripada HIP kali ini ialah ialah Encik Mohamed Mubarak Mohamed Yusof, 58 tahun, yang tinggal di Blok 951, Jurong West Street 91.
Pesara penjawat awam itu memberitahu Berita Harian beliau amat gembira apabila mendapat tahu flatnya, yang telah didiami selama 24 tahun, dipilih menjalani HIP dalam masa dua tahun.
“Walaupun saya sudah tinggal di sini selama 24 tahun, flat saya sebenarnya berusia 30 tahun dan saya fikir sudah tiba masanya untuk ia menjalani kerja peningkatan, terutama tandas saya.
“Saya pun ada mencari kontraktor sendiri, namun saya dinasihati supaya tunggu pengumuman HIP bagi blok saya.
“Mujur saya tunggu kerana dengan adanya HIP ini, saya dapat jimat sekurang-kurangnya 80 peratus daripada kos ubah suai,” kata Encik Mubarak, yang tinggal bersama isteri dan tiga anak.
Selain daripada estet perumahan HDB, Encik Lee turut berkongsi bahawa estet perumahan privet Westwood, juga di Jurong West telah dipilih untuk menjalani kerja peningkatan di bawah Kelompok 10 Program Peningkatan Estet (EUP).
“Saya gembira untuk berkongsi bahawa melalui cadangan dan idea anda, kami telah merancang untuk Taman Keluarga Westwood baru yang akan menampilkan pentas terlindung, gelanggang badminton terbuka, taman permainan, dan sudut senaman.
“Kerja pembangunan dijangka bermula hujung tahun ini (2024) dan apabila ia siap, taman ini akan menjadi tempat yang kondusif bagi masyarakat Westwood untuk berinteraksi, bersenam, dan menghabiskan masa di luar rumah,” kata Encik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg