Dari 2019 hingga 2023, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menarik balik sekitar 70 flat kerana pemiliknya didapati melakukan pelanggaran berat seperti melanggar peraturan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) dan penyewaan tanpa kebenaran.
Ini merupakan sebahagian 800 kes sedemikian yang ditangani HDB dalam tempoh tersebut.
Sekitar 400 pemilik telah diberi amaran bertulis, manakala 330 lagi telah dikenakan denda sehingga $50,000.
HDB berkata kes-kes ini melibatkan pemilik yang telah melanggar peraturan termasuk menyewakan bilik atau seluruh flat HDB tanpa kebenaran; tidak menetap dalam flat tersebut semasa MOP; dan pemerolehan kepentingan dalam harta privet semasa MOP.
“Rumah flat HDB bertujuan digunakan sebagai penginapan pemilik dan terdapat peraturan yang ditetapkan untuk mengawal penyalahgunaan.
“Maklumat mengenai peraturan yang berkaitan boleh didapati di HDB InfoWEB. HDB memandang serius pelanggaran peraturan HDB, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemilik flat yang ingkar,” tegas HDB.
Antaranya, ia menjelaskan pemilik mesti menginap di flat mereka semasa MOP sebelum mereka dibolehkan menjual flat tersebut di pasaran terbuka atau menyewakan keseluruhan flat itu.
Pemilik flat yang berdepan masalah dan tidak boleh tinggal di flat HDB mereka semasa MOP, misalnya mereka yang perlu dihantar ke luar negara untuk bekerja, harus menulis kepada HDB untuk mendapatkan pengecualian peraturan MOP. HDB akan menilai rayuan sedemikian berdasarkan kes demi kes.
Pemilik flat, suami atau isteri mereka dan penghuni yang sah juga tidak dibenarkan memperoleh kepentingan dalam harta privet setempat atau di luar negara semasa MOP.
Untuk menyewakan keseluruhan flat atau bilik semasa atau selepas MOP, pemilik flat mesti mendapatkan kelulusan HDB sebelum berbuat demikian, serta mematuhi terma dan syarat kelulusan HDB.
Untuk menyewakan bilik, pemilik flat dan penghuni yang sah mesti terus tinggal di flat itu bersama penyewa sepanjang tempoh penyewaan.
“HDB ingin mengingatkan semua pemilik flat untuk mematuhi terma dan syarat HDB apabila menyewa flat dan bilik, seperti memastikan kelulusan HDB telah diminta dan semua penghuni didaftarkan sebelum tarikh penyewaan dimulakan.
“Pemilik flat yang menyewakan bilik mesti terus tinggal di flat sepanjang tempoh penyewaan - mengunci bilik dan menyewakan seluruh flat tanpa pemilik secara fizikal tinggal di dalamnya dianggap sebagai menyewakan keseluruhan flat dan bukannya sewa bilik.
“Pemilik flat yang menyewakan flat mereka juga harus mematuhi had penghunian sedia ada...Pemilik flat yang melanggar undang-undang atau menyebabkan kesulitan kepada awam boleh melihat kebenaran penyewaan mereka ditarik balik,” jelas HDB.
Menurut HDB, dari 2019 hingga 2023, ia telah menjalankan sekitar 29,000 pemeriksaan rutin flat bagi pelanggaran pajakan, atau sekitar 500 pemeriksaan setiap bulan.
Pemeriksaan sedemikian dilakukan secara rambang di seluruh negara.
HDB menjelaskan, ia mengesan pelanggaran peraturan melalui pelbagai cara, termasuk dengan memantau pengiklanan penyenaraian flat, menjalankan pemeriksaan rutin unit HDB dan menyiasat maklum balas daripada orang awam serta ejen hartanah mengenai kes yang disyaki.
Untuk memastikan penguatkuasaan yang berkesan, HDB juga bekerjasama dengan agensi lain dan berkongsi maklumat yang berkaitan dengan penyiasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg