Dalam dunia yang semakin kompleks, masyarakat Islam di Singapura memerlukan pemimpin agama yang bukan sahaja fasih dalam ilmu agama, malah peka terhadap realiti semasa.
Oleh itu, usaha memperkukuh pendidikan asatizah dan membentuk pemimpin agama masa depan melalui Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) adalah satu langkah strategik yang sangat penting.
Hakikatnya, kemajuan teknologi yang pesat dan norma sosial yang semakin berubah mewujudkan pelbagai cabaran baru yang kompleks.
Bagi mengharungi cabaran itu, masyarakat Islam memerlukan bimbingan agama yang selari dengan konteks masa kini.
Di Singapura, sekitaran negara ini yang berbilang kaum dan agama bermakna asatizah perlu memahami kedua-dua prinsip agama mereka dan fabrik unik masyarakat kita.
Berdasarkan realiti hari ini, masyarakat Islam juga berdepan dengan isu-isu kontemporari sejagat yang belum pernah timbul dalam sejarah terdahulu seperti etika kecerdasan buatan (AI), pengaruh media sosial, isu seksualiti hingga ke krisis iklim.
Masyarakat Islam, baik di Singapura ataupun di dunia, memerlukan bimbingan apabila persoalan agama timbul daripada isu-isu kontemporari ini.
Oleh itu, pemimpin agama perlu celik terhadap isu semasa dan mahir menyampaikan panduan Islam dalam cara yang difahami, terutamanya oleh generasi muda dan masyarakat pelbagai latar belakang, bukan sahaja masyarakat Islam, bahkan yang bukan Islam.
Tanpa bimbingan yang tepat dan relevan bagi menghadapi isu-isu ini, golongan muda Islam khususnya mungkin akan terkeliru dalam menentukan batas nilai, identiti dan pegangan mereka dalam masyarakat majmuk.
Ketiadaan panduan boleh menyebabkan segelintir masyarakat terpengaruh dengan ideologi yang ekstrem sehingga terjerumus dalam radikalisme dan pengganasan.
Malah, tanpa suara yang boleh memberi pandangan Islam terhadap isu-isu kontemporari ini, masyarakat Islam mungkin mencari dan membuat andaian sendiri daripada sumber-sumber yang tidak sahih atau tidak tepat.
Oleh itu, SCIS memainkan peranan amat penting dalam membentuk barisan asatizah yang berwibawa, menggabungkan kefahaman agama yang mendalam dengan keupayaan memberi panduan berkesan terhadap cabaran semasa.
Seperti kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim:
“(Kita perlu membangunkan asatizah masa depan atau lulusan SCIS kita sebagai) pemimpin pemikir yang boleh menjelaskan dan membimbing amalan Islam dalam masyarakat moden, majmuk – yang menyatukan ilmiah agama yang baik dengan keperluan kontemporari.’’
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya di mesyuarat pertama Panel Penasihat SCIS pada 24 Jun di hotel Swissotel The Stamford.
Beliau merupakan pengerusi panel itu, yang dianggotai sembilan ahli akademik dan pakar dari dalam dan luar negara.
Mereka termasuk Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), Profesor Koutoub Moustapha Sano; serta Profesor Pengajian Islam dan Antara Agama Universiti Edinburgh, Dr Mona Siddiqui; serta Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Salama Dawood.
Selain Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, anggota dari Singapura termasuk Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong; dan Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Lily Kong.
Gabungan anggota cendekiawan agama antarabangsa dan pakar akademik dapat membina jaringan kerjasama antarabangsa, menjadikan SCIS terlibat dalam wacana sejagat dan meletakkan pemikiran Islam Singapura di persada dunia.
Dengan lain perkataan, kehadiran pakar akademik bukan sahaja memperkukuh mutu pendidikan dan penyelidikan, malah mengangkat kredibiliti SCIS sebagai institusi yang mampu melahirkan asatizah pemikir yang mempunyai pandangan tempatan dan sejagat.
Anggota panel itu dapat memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program serta mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan dalam barisan pemimpin agama masa hadapan.
Walaupun terdapat persamaan dan kesalinghubungan dalam kalangan masyarakat Islam yang berbeza di dunia, Dr Nazirudin berkata ada tradisi dan pengalaman yang unik kepada masyarakat Islam di Singapura yang memerlukan perhatian.
Oleh itu, SCIS bertujuan menangani cabaran unik tersebut demi memastikan kemampanan kepimpinan agama di Singapura.
Dalam masyarakat Singapura yang majmuk, SCIS membantu memperkukuh identiti Muslim yang seimbang yang berpegang teguh pada prinsip agama, namun terbuka, terangkum dan harmoni dalam hidup bersama masyarakat lain.
Ini amat penting apatah lagi bagi pelajar Islam Singapura yang menuntut dari luar negara yang perlu sedar mengenai konteks Singapura dan isu-isu masa kini.
Bimbingan yang diberikan kepada masyarakat di sini perlu terkait dengan apa yang dihadapi masyarakat hari ini.
SCIS yang sedang dibangunkan bakal menawarkan tiga program utama apabila ia menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.
Antaranya ialah program ijazah sarjana muda sepenuh masa dalam Pengajian Islam yang baru.
Ini di samping program sedia ada, iaitu Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).
Pembangunan SCIS merupakan detik penting dalam landskap pengajian Islam setempat kerana ia menggabungkan ilmu agama dengan kebijaksanaan praktikal dalam menangani isu kontemporari.
Apa yang ingin dilihat ialah generasi lulusan yang menjadi pemimpin pemikir yang bukan sahaja dapat membimbing masyarakat Islam di Singapura, bahkan juga dapat berdiri teguh sebagai suara Islam yang dapat memberi bimbingan relevan dan progresif di pentas dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg