Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolej Pengajian Islam S’pura bakal tawar 3 program apabila dibuka pada 2028

Jun 24, 2025 | 8:28 PM
Kolej Pengajian Islam S’pura, mula operasi 2028, Faishal, Mufti
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dari kanan), beramah-tamah dengan anggota Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dalam mesyuarat sulungnya di Swissotel The Stamford pada 24 Jun. Bersama beliau ialah Naib Presiden Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, Profesor Driss Fassi Fihri; Presiden Universiti Al-Azhar, Dr Salama Dawood dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir. - Foto BH oleh KHALID BABA

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang sedang dibangunkan bakal menawarkan tiga program utama apabila ia menerima kohort pertama seramai 60 pelajar pada 2028.

Antaranya ialah program ijazah sarjana muda sepenuh masa dalam Pengajian Islam yang baru.

Ini di samping program sedia ada iaitu Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).

Program tersebut diumumkan semasa mesyuarat sulung Panel Penasihat SCIS di Swissotel The Stamford pada 24 Jun.

Mesyuarat selama hampir tiga jam itu menghimpunkan ulama tersohor dari institut pengajian Islam terkemuka seperti Universiti Al-Azhar di Mesir dan ahli akademik tempatan.

Panel tersebut dibentuk bagi memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program, selain mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan oleh barisan pemimpin agama masa hadapan.

Menjelaskan kepentingan program itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:

“Keperluan bagi kepimpinan pemikir yang mengikut konteks, seimbang dan progresif menjadi semakin penting hari ini.

“Kemajuan pesat teknologi, norma sosial yang kian berubah dan kesinambungan sejagat menimbulkan masalah yang bertambah kompleks dan memerlukan pendekatan baru kepada pendidik dan panduan keagamaan.”

Lantaran itu, para asatizah memainkan peranan penting bagi memberi panduan kepada masyarakat Islam dalam mengatasi cabaran ini – sesuatu yang ingin dibangunkan dan diterapkan kepada asatizah atau lulusan SCIS kelak, tambah Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis itu selaku pengerusi Panel Penasihat SCIS setelah mengambil alih peranan tersebut daripada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS), yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jun.

Dr Faishal berkata antara inti pati yang dibincangkan dalam pertemuan sulung itu termasuk pembangunan pedagogi dan ilmu Islam serta bagaimana asatizah dapat menyumbang kepada cara kehidupan, khususnya dalam konteks Singapura yang bermasyarakat majmuk.

Turut dibincangkan adalah bidang tenaga fakulti, segmen pelajar yang ingin dijadikan tumpuan, bagaimana program dapat mengisi jurang (pembelajaran) yang ada – apatah lagi sedang anggota panel melihat penubuhan SCIS sebagai berpotensi memperkukuh ekosistem pembelajaran Islam, ujarnya.

Memberi perincian lanjut tentang program yang bakal ditawarkan, Pengarah Kanan di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustazah Farah Aljunied, berkata kesemua sijil yang diberikan adalah di bawah pentauliahan SCIS.

Sebagai contoh, ijazah sarjana muda dalam Pengajian Islam akan mengambil masa empat tahun untuk diselesaikan, dengan pelajar diberi pilihan bagi pengkhususan pada tahun ketiga dan keempat dalam bidang Pengajian Islam atau Sains Kemasyarakatan.

Ustazah Farah berkata: “Kami ingin memberi ruang kepada bidang pengkhususan pada tahun ketiga dan keempat supaya pelajar mempunyai pilihan memilih program yang sealiran dengan minat atau aspirasi pembelajaran mereka.”

Beliau menambah selepas tamat pengajian, lulusan program sarjana muda Pengajian Islam itu mempunyai pilihan melanjutkan pengajian ke Sarjana Muda Sains dalam Psikologi yang ditawarkan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Sebagai permulaan, program itu akan dibuka kepada lulusan madrasah tempatan atau pelajar yang memenuhi kriteria kemasukan seperti keupayaan memahami bahasa Arab serta pemahaman asas pengajian Islam.

Ini sedang lulusan madrasah setempat yang ingin meneruskan pengajian agama ke peringkat tinggi pada masa ini, lazimnya ke universiti luar negara, seperti Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Islam Madinah di Arab Saudi, ujar Ustazah Farah.

Beliau menambah seramai 460 pelajar Singapura sedang menuntut di universiti luar negara – sekitar 68 peratus daripada mereka di negara Timur Tengah dan Afrika Utara, seperti Mesir, Maghribi, Turkey, Jordan, Kuwait, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yaman.

Baki 32 peratus pelajar melanjutkan pengajian di universiti Asia Tenggara termasuk di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Beliau berkata ini menunjukkan keinginan dan jangkaan tinggi lulusan madrasah secara amnya terhadap, antara lain, cara program pendidikan di institut pengajian tinggi harus dikendalikan.

Begitu juga wawasan yang dikongsi asatizah hasil laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2020, yang menggariskan cara meningkatkan profil dan peranan asatizah di Singapura.

Ustazah Farah berkata: “Salah satu saranan hasil laporan itu adalah penubuhan sebuah kolej – dengan kita mampu melahirkan graduan (lulusan) agama yang dinamik dan akan berfungsi sebagai model bagi rantau ini serta sejagat.

“Ini hanya dapat dilakukan dengan penubuhan kolej SCIS. Kita dapat mereka program yang dianggap sesuai bagi keperluan dan aspirasi kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg