Pengguna jalan raya dijangka mengalami kelewatan berhampiran AMK Hub selama 18 bulan apabila susunan jalan raya diubah bagi mengeluarkan kabel keluli yang terbelit di bawah tanah sehingga menghalang kerja pembinaan terowong Laluan Rentas Pulau (CRL).

Lencongan lalu lintas akan dilaksanakan dari 14 November 2026 hingga Mei 2028.

Jalan raya di Ang Mo Kio Avenue 3 yang melalui AMK Hub, berhampiran persimpangan Ang Mo Kio Avenue 8, akan ditutup sebahagiannya kepada kenderaan bermotor, dengan satu lorong dikhaskan untuk bas.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 16 Oktober berkata perubahan itu membolehkan juruteranya meneliti kabel keluli tebal yang menghalang kerja pembinaan terowong CRL.

Kerja pembinaan terowong fasa pertama CRL dihentikan sementara LTA menilai tahap halangan, asal usul bahan tersebut dan kesannya terhadap jadual projek. Kerja pengukuhan tanah turut dijalankan.

Fasa pertama CRL sepanjang 29 kilometer (km), yang dijadualkan siap pada 2030, merangkumi 12 stesen dari Aviation Park di Changi hingga Bright Hill, termasuk Ang Mo Kio, satu daripada empat stesen pertukaran.

Pengarah Kumpulan LTA bagi CRL, Encik Ng Choon Yeang, berkata kesan penangguhan kerja terhadap tarikh siap projek masih dinilai. Siasatan lanjut akan dijalankan selepas lencongan dilaksanakan.

“Kami akan berkongsi maklumat lanjut sebaik sahaja kami memperolehnya,” katanya.

Menurut Encik Ng, halangan itu tidak dijangka kerana kabel berkenaan tidak dikesan dalam penyiasatan tanah awal atau ditunjukkan dalam pelan kejuruteraan.

LTA menjelaskan bahawa sampel tanah hanya diambil pada tapak dan sela jarak tertentu, menyebabkan sauh tanah sukar dikesan melainkan melalui lubang gerudi yang menembusinya.

“Setakat ini, sauh serupa belum ditemukan di kawasan lain sepanjang jajaran terowong CRL. Masalah ini hanya berlaku di tempat itu,” katanya.

Apabila kabel ditemukan pada Mei, LTA cuba mengeluarkannya daripada kepala pemotong mesin pengorek terowong, iaitu roda keluli berputar yang menggali tanah atau batuan.

Antara Mei dengan Julai, pekerja menemukan lebih banyak halangan dan terpaksa menghentikan mesin sebanyak 100 kali untuk mengeluarkan kabel secara manual.

Sebanyak 22 alat pemotong rosak dan perlu diganti, manakala kira-kira 800 kilogram kabel dikeluarkan.

Siasatan mendapati kabel itu sebahagian daripada sauh tanah, iaitu struktur keluli yang ditanam untuk menyokong sementara dinding penahan atau struktur lain daripada beralih semasa pembinaan.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan LTA berkata sauh sementara lazimnya dipasang dan dikeluarkan oleh pihak projek mengikut pelan diluluskan.

Kedua-dua agensi sedang bekerjasama dengan pihak terlibat, termasuk kontraktor pembinaan AMK Hub, bagi mengenal pasti punca kewujudan sauh tersebut.

Menurut LTA, sauh tanah boleh merosakkan alat pemotong, mengganggu pengorekan serta mengancam keselamatan kerja bawah tanah dan jalan raya di atasnya.

Oleh itu, pengorekan dihentikan bagi membolehkan tanah diperkukuh dan dimantapkan sebelum halangan dikeluarkan daripada mesin dan kerja disambung dengan selamat.

Bagi tujuan itu, susunan jalan raya sepanjang 180 meter di Ang Mo Kio Avenue 3 berhampiran AMK Hub akan diubah selama satu setengah tahun mulai 14 November.

Jalan raya tiga lorong menghala ke timur menuju Ang Mo Kio Avenue 8 akan dijadikan satu lorong khusus untuk bas.

Jalan raya tiga lorong menghala ke barat menuju Ang Mo Kio Central 1 pula dikurangkan kepada dua lorong.

Arah lalu lintas di tempat mengambil dan menurunkan penumpang AMK Hub akan diterbalikkan. Kenderaan keluar perlu berhenti di lampu isyarat baharu sebelum membelok ke kanan menuju Ang Mo Kio Central 1.

Kenderaan keluar dari tempat letak kereta AMK Hub pula perlu membelok ke kanan menuju pusat beli-belah 51@AMK.

Lintasan pejalan kaki berlampu isyarat akan dibina berhampiran pintu keluar tempat letak kereta.

Pejalan kaki masih boleh menggunakan jejantas sedia ada, tetapi hanya boleh memasuki AMK Hub melalui tingkat dua, bukan tingkat bawah, sepanjang waktu operasi.

LTA berkata beberapa pilihan pengurusan lalu lintas dikaji. Lorong khusus bas dianggap paling praktikal kerana jalan itu digunakan beberapa perkhidmatan bas menuju Hab Pengangkutan Bersepadu Ang Mo Kio dan trafik kekal tinggi walaupun di luar waktu sibuk.

Pengguna jalan raya dijangka berdepan barisan kenderaan lebih panjang untuk memasuki AMK Hub pada waktu sibuk, dengan tambahan perjalanan sekitar 10 hingga 15 minit.

“Keselamatan kekal keutamaan kami. Kami memahami perubahan sementara ini menyusahkan penduduk, pengguna jalan raya dan peniaga setempat,” kata Encik Ng.

“Namun, perubahan ini perlu bagi menyediakan laluan dan ruang selamat untuk siasatan, penilaian serta kerja pemulihan.”

LTA memberi jaminan kawasan itu kekal selamat untuk orang ramai dan keadaan tanah sekitar pusat beli-belah akan dipantau rapi.

Kesan terhadap kos masih dinilai. Menurut LTA, terlalu awal menentukan pihak bertanggungjawab atau kemungkinan tindakan sementara siasatan dan penilaian kejuruteraan diteruskan.

Jurucakap Link Asset Management, pengurus AMK Hub, berkata pusat beli-belah itu tetap dibuka dan beroperasi seperti biasa.

“Pengunjung masih boleh membeli-belah dan menjamu selera,” katanya.

“Laluan keluar telah diubah dan papan tanda arah yang jelas disediakan bagi melancarkan perjalanan kenderaan keluar masuk.”

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kejuruteraan Awam dan Struktur di Institusi Jurutera Singapura, Encik David Ng, berkata penemuan kabel sauh tanah di bawah jalan raya awam semasa pengorekan terowong amat luar biasa.

Menurutnya, kemungkinan kelewatan fasa pertama CRL bergantung pada sama ada pembinaan struktur kotak stesen bawah tanah memerlukan terowong MRT disiapkan terlebih dahulu.

Jika penggalian terbuka atau pengalihan tanah dari permukaan bagi struktur stesen boleh diteruskan, kesan terhadap jadual CRL mungkin tidak ketara.

Beliau berkata siasatan lanjut diperlukan untuk menentukan jumlah sauh yang masih tertanam sebelum kesannya terhadap kemajuan projek dapat dipastikan.