Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan baru permudah golongan kurang upaya ke Pantai Siloso

Aug 10, 2024 | 2:42 PM
(Dari kiri) Timbalan Ketua Eksekutif SG Enable, Cik Lee May Gee; Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sentosa Development Corporation, Cik Thien Kwee Eng, memasang jubin terakhir laluan pantai untuk golongan kurang upaya di Emerald Pavilion, Pantai Siloso di Sentosa pada 10 Ogos.
(Dari kiri) Timbalan Ketua Eksekutif SG Enable, Cik Lee May Gee; Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sentosa Development Corporation, Cik Thien Kwee Eng, memasang jubin terakhir laluan pantai untuk golongan kurang upaya di Emerald Pavilion, Pantai Siloso di Sentosa pada 10 Ogos. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Golongan kurang upaya kini boleh mengakses pesisir dan pasir di Pantai Siloso dengan pelancaran laluan pantai baru.

Ia adalah sebahagian daripada matlamat Sentosa Development Corporation (SDC) yang lebih luas untuk menjadi inklusif dan memenuhi keperluan pelbagai pengunjung.

Laluan tersebut, yang boleh diakses individu yang menggunakan kerusi roda dan kereta sorong, bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian ke Pantai Silosa bagi individu yang pergerakannya terhad.

Sepanjang 23 meter dan seluas 2.4 meter, laluan itu diperbuat daripada lebih 200 jubin polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), yang dipasang dari Emerald Pavilion sehingga merentasi persisiran Pantai Siloso.

Laluan itu dilancarkan di acara Beyond the Waves oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, pada 10 Ogos di hadapan Emerald Pavilion di Pantai Siloso.

Acara itu dianjurkan bersama SDC dan agensi perkhidmatan sosial orang kurang upaya, SG Enable, serta disokong Politeknik Republik (RP).

Penggunaan laluan tersebut akan diuji hingga 31 Oktober, dan pengguna digalakkan memberi maklum balas melalui kod QR yang terletak berhampiran laluan itu.

Menurut SDC, maklum balas tersebut akan membantu mereka menilai lagi kebolehlaksanaan laluan itu supaya ia dapat dipasang di pantai Sentosa lain.

Selain pelancaran laluan pantai, acara Beyond the Waves juga bertujuan menunjukkan sokongan kepada atlet paralimpik Singapura dan meningkatkan kesedaran tentang sukan inklusif.

Encik Chua mencatatkan ucapan selamat maju jaya pada beberapa nota kepada atlet yang bakal bertanding dalam Paralimpik 2024 yang akan bermula pada 28 Ogos.

Di samping laluan pantai itu, Sentosa juga baru-baru ini melancarkan Sentosa Wheel Venture Accessibility Tour (Lawatan Kebolehcapaian Sentosa Wheel Venture) pada Julai.

Lawatan itu termasuk laluan mudah untuk ke daya tarikan seperti Sentosa Nature Discovery, SkyHelix Sentosa, Pantai Palawan dan padang golf UltraGolf.

Setiap lawatan bertujuan untuk memberi pengunjung pengalaman menyeronokkan sambil memastikan mereka yang pergerakannya terhad dapat meneroka dan menghargai tarikan di pulau itu.

Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Korporat dan Kemampanan SDC, Cik Lee Cheh Hsien, berkata SDC berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran inklusif agar semua pengunjung dapat mengalami keindahan Sentosa.

“Dengan laluan pantai ini, serta rangkaian lawatan inklusif baru yang disediakan, kami menetapkan penanda aras baru dan mengambil langkah penting untuk menjadikan destinasi kami mesra dan menyeronokkan untuk semua.

“Kami percaya bahawa semua orang harus mempunyai peluang untuk mencipta kenangan yang berkekalan di sini, dan kami komited untuk menjadikannya satu hakikat,” jelas Cik Lee.

Bekas atlet para negara, Theresa Goh, berkata pelancaran laluan pantai itu memudahkan pengguna kerusi roda sepertinya untuk mengakses pantai.
Bekas atlet para negara, Theresa Goh, berkata pelancaran laluan pantai itu memudahkan pengguna kerusi roda sepertinya untuk mengakses pantai. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Bekas atlet para negara, Theresa Goh, turut hadir di acara pelancaran itu.

Beliau, yang merupakan pemenang pingat gangsa bagi acara renang Paralimpik 2016, sangat mengalu-alukan laluan pantai tersebut.

Beliau kelihatan menggunakan kerusi rodanya untuk menguji kestabilan laluan itu.

Menurut SDC, laluan pantai itu setebal 4 sentimeter.

Dengan saiz selebar 2.4 meter, laluan itu boleh memuatkan dua individu berkerusi roda pada satu-satu masa, dan ia juga cukup lebar untuk membolehkan seseorang berkerusi roda membuat pusingan U.

Mengulas tentang pelancaran laluan pantai baru itu, Theresa, 37 tahun, berkata:

“Ia adalah idea yang baik kerana pengguna kerusi roda seperti saya kini boleh mengakses pantai.

“Adalah sukar untuk golongan seperti saya ke pantai sebelum ini, kerana mereka tidak tahu betapa stabil dan kerasnya pasir di pantai itu.”

“Bagi saya, jika saya tidak bertanding atau berlatih, saya tidak ke pantai kerana saya tidak mempunyai cara untuk ke sana secara berdikari – saya bergantung kepada orang lain untuk mengangkat saya atau menggunakan kerusi roda khas untuk ke pantai.”

Seorang lagi golongan kurang upaya yang hadir di acara itu, Encik Victor Cheng, juga berpendapat bahawa laluan pantai itu memudahkannya untuk mengunjungi Pantai Siloso.

“Mempunyai permukaan keras seperti laluan ini adalah berguna kerana ia membolehkan kami yang berkerusi roda untuk bergerak dengan mudah,” jelas Encik Cheng, 53 tahun.

Di samping pelancaran laluan pantai itu, permainan sukan para juga disediakan untuk orang umum bagi memupuk pemahaman lebih mendalam tentang pengalaman dijalani golongan kurang upaya.

Pelajar Diploma Pengurusan Acara Bersepadu di RP ,Cik Nur Izzaty Mohamed Nasir, 20 tahun ialah antara yang terlibat dalam penganjuran permainan sukan para tersebut.

Menurut Cik Nur Izzaty, yang menganjurkan permainan itu sebagai sebahagian daripada Projek Tahun Terakhirnya (FYP), ia bertujuan mendedahkan orang ramai kepada cabaran yang dilalui golongan kurang upaya setiap hari.

“Melalui permainan ini juga, saya harap untuk menghapuskan sebarang salah tanggapan tentang golongan tersebut,” terang Cik Nur Izzaty.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg