Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan baru tepi laut dibuka di Taman Labrador

Jan 25, 2025 | 2:25 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, menikmati pemandangan dari pelantar laluan atau ‘boardwalk’ di Keppel Coastal Trail di Taman Labrador yang rasmi dibuka pada 25 Januari.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, menikmati pemandangan dari pelantar laluan atau ‘boardwalk’ di Keppel Coastal Trail di Taman Labrador yang rasmi dibuka pada 25 Januari. - Foto ST

Laluan baru dengan pemandangan indah tepi laut di Taman Labrador serta 100 spesies pokok dan kehijauan kini dibuka kepada orang ramai.

Laluan sepanjang 340 meter yang dinamakan Keppel Coastal Trail itu, yang merentasi sebahagian hutan yang telah menjalani pemulihan, terletak agak jauh dari kawasan taman itu yang lebih sibuk untuk menawarkan pengalaman yang lebih aman dan tenang buat pengunjung, lapor akhbar The Straits Times.

Laluan itu antara lain memaparkan pelantar laluan atau ‘boardwalk’ dengan akses bagi pengguna kerusi roda.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan spesies burung seperti helang laut putih (White-bellied Sea Eagle) dan burung sambar belakang kuning (Yellow-rumped Flycatcher) di laluan itu.

Laluan itu dihubungkan dengan jeti di bahagian selatan Taman Labrador.

Berucap di upacara pembukaan rasmi laluan tersebut pada 25 Januari, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata dengan pembukaan laluan itu, ia melengkapi usaha pemerintah untuk mengubah Taman Labrador menjadi taman destinasi, akan menjadikannya salah satu daripada tiga taman terbesar di sini, dengan ciri unik untuk menarik pengunjung.

Taman Labrador merupakan sebahagian daripada kelompok 13 taman di bahagian barat daya Singapura, yang sedang dipertingkat untuk memperluas tawaran riadahnya yang berasaskan alam semula jadi buat pengunjung.

Sebagai contoh, satu lagi taman dalam kelompok ini, iaitu Taman Pasir Panjang, akan diperluas sebesar 2 hektar, menjadikan taman itu sebesar 8 hektar kelak.

“Ia akan menjadi pusat kegiatan utama dengan ciri permainan dan laluan bagi pengunjung untuk berbasikal atau berjalan di tepi laut.

“Kami akan membangunkan pusat itu dengan berhati-hati dan memperkukuh kawasan tepi laut di mana kerja memperluas taman sedang dijalankan,” kata Encik Lee.

Apabila siap sepenuhnya, Taman Pasir Panjang yang diperluas akan dihubungkan dengan taman lain seperti Taman West Coast dan Taman Tasik Jurong, sehingga Taman Labrador menerusi Rangkaian Penghubung Taman (PCN).

Lembaga Taman Negara (NParks) juga akan membuka tender bagi khidmat perundingan reka bentuk.

Encik Lee menarik perhatian bahawa banyak yang boleh dijangkakan, dengan pembukaan Keppel Coastal Trail dan usaha memperluas Taman Pasir Panjang.

“Ini merupakan sebahagian usaha kami untuk mengubah Singapura menjadi Bandar dalam Alam, dengan usaha mendekatkan orang ramai dengan alam semula jadi sementara memperkukuh daya tahan ekologi habitat kita,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg