Perkhidmatan laluan LRT Sengkang West kembali beroperasi sepenuhnya pada 4 Oktober – dua minggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan.

Ini menyusuli penutupan gelung dalam (inner loop) selama enam bulan bagi kerja naik taraf di depoh LRT Sengkang-Punggol (SPLRT).

Depoh yang pada asalnya mempunyai keluasan kira-kira saiz lima padang bola sepak atau 3.5 hektar itu telah menjalani kerja peluasan sejak 2022.

Apabila siap sepenuhnya pada 2027, depoh itu akan mempunyai keluasan sehingga 11.1 hektar dan menyediakan ruang yang diperlukan untuk menempatkan jumlah kenderaan rel ringan lebih tinggi bagi memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.

Bagi menguruskan permintaan sehingga tempoh itu, skim tambang percuma luar waktu sibuk yang telah dilaksanakan untuk penumpang dari kawasan timur laut Singapura akan dilanjutkan sehingga 26 Disember 2027.

Diperkenalkan pada Disember 2025, skim berkenaan membolehkan penumpang menikmati perjalanan rel pertama mereka secara percuma apabila mereka mengimbas kad sebelum 7.30 pagi atau antara 9.00 pagi dengan 9.45 pagi pada hari bekerja di mana-mana stesen SPLRT atau salah satu daripada enam stesen Laluan Timur Laut (NEL).

Ketika bercakap kepada media di depoh SPLRT pada 2 Oktober, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata sasaran awal adalah untuk menggalakkan kira-kira 7 peratus pengguna mengubah waktu perjalanan mereka, namun kira-kira 10 peratus didapati telah berbuat demikian.

“Kami berharap dengan program ini dilanjutkan, lebih ramai pengguna akan menggunakan perkhidmatan rel pada luar waktu sibuk, yang akan membantu menangani isu kesesakan,” tambahnya.

Menghubungkan penduduk di bahagian timur laut Singapura ke pusat bandar, NEL merupakan antara laluan kereta api yang paling banyak digunakan di negara ini.

Pengendali laluan tersebut, SBS Transit, dalam kemas kini perniagaan separuh tahunnya melaporkan laluan tersebut mencatatkan purata 602,000 perjalanan penumpang setiap hari.

Ini menunjukkan peningkatan 1.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Sementara itu, SPLRT mencatatkan purata 151,000 perjalanan penumpang setiap hari.

Dengan peningkatan bilangan keseluruhan penduduk di Sengkang dan Punggol kepada lebih 450,000 orang, laluan NEL dan SPLRT kerap mengalami kesesakan semasa waktu sibuk.

Bagi mengurangkan kesesakan ini dan meningkatkan kapasiti rangkaian, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2 Oktober berkata ia akan menambah lapan lagi kenderaan rel ringan dua gerabak generasi ketiga.

Ini akan meningkatkan jumlah keseluruhan kenderaan dua gerabak yang berkhidmat untuk SPLRT kepada 41 menjelang 2030, sekali gus membolehkannya menampung lebih ramai penumpang.

Purata kapasiti bagi keseluruhan rangkaian SPLRT akan meningkat sebanyak 30 peratus sebaik sahaja kesemua gerabak berkenaan mula beroperasi.

Sebanyak 25 kenderaan generasi ketiga sedang diserahkan secara berperingkat bagi menggantikan kenderaan generasi pertama yang semakin usang – termasuk 25 model satu gerabak dan lapan model dua gerabak.

Sementara itu, lapan model dua gerabak generasi kedua pula akan kekal digunakan.